Pendapat

Ariff Alfian: Mangsa kelalaian kita

Kisah seorang mahasiswa jurusan perubatan di Dublin, Republik Ireland yang telah ‘berkahwin’ dengan orang yang sejantina dengannya sedang hangat diperkatakan. Beliau yang dahulunya seorang pelajar cemerlang ketika di sekolahnya telah menghampakan harapan keluarganya yang ingin melihat beliau menjadi seorang doktor yang berjaya.

Pencarian keluarganya sekian lama, kini berakhir dengan berita ‘perkahwinan’ beliau. Bagai jatuh ditimpa tangga, bapanya bukan sahaja telah mencari beliau sejak tiga tahun yang lalu bahkan terpaksa menanggung saman Petronas yang menuntut mengembalikan wang pengajian anaknya yang berjumlah puluhan ribu ringgit daripadanya sebagai penjamin pertama.

Jika isu gay ini pelakunya orang barat, kita mungkin tidak terlalu risau kerana memang itu gaya hidup orang yang tidak beriman. “Mereka itu seperti binatang bahkan mereka lebih sesat lagi,” (Al-A’araf: 179). Contoh yang dapat dilihat di California, mereka bukan sahaja mengiktiraf perkahwinan sejenis bahkan menghalalkan penceraian sesama meraka! Tetapi yang membuat kita merasa gundah gulana ialah isu gay ini berlaku pada orang yang sebangsa dengan kita. Dan yang paling penting seagama dengan kita.

Mungkin ramai yang membuat kesimpulan, beliau terikut-ikut gaya hidup barat. Namun hakikatnya di Malaysia, aktiviti golongan homoseksual ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Laman-laman mereka di Facebook, Twitter dan blog-blog adalah bukti komuniti ini sedang subur berkembang di neagara kita.

Sejarah berulang kembali. Kaum Nabi Lut yang telah diterbalikkan dan ditimpa hujan batu yang sepatutnya telah menghapuskan mereka dari muka bumi ini, kini muncul kembali.

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?”

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum Yang melampaui batas.” (Al-A’araf :81- 82)

Menurut Syed Qutb dalam tafsirnya:

Kaum Nabi Lut melampaui batas  pada fitrah manusia dan pada kemampuan yang telah Allah berikan kepada mereka untuk melaksanakan peranan mereka iaitu meneruskan kelangsungan hidup. Mereka menumpahkan air mani bukan pada tempat persenyawaan yang sepatutnya. Maka ini adalah semata-mata syahwat yang tidak normal. Ini kerana, Allah telah menjadikan kelazatan fitrah yang sebenar ialah pada merealisasikan sunnatullah yang asli. Jika terdapat kelazatan yang serupa tapi pada perkara yang berlawanan dengan sunnah, maka ia adalah suatu perkara ganjil, satu penyelewengan dan juga satu  kerosakan fitrah sebelum berlakunya kerosakan akhlak.

Inilah kesan yang berlaku akibat ketiadaan suasana yang baik di sekeliling kita. Suasana baiklah yang akan mencorakkan seseorang individu itu, baiknya suasana maka baiklah manusia yang hidup dengannya. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk anak-anak. Sahabat dan masyarakat yang baik juga adalah antara elemen yang membantu pembaikan diri individu.

Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Seseorang (diukur) berdasarkan agama temannya; maka hendaklah salah seorang di antara kamu melihat siapa yang ia jadikan kekasih (teman).” (HR Abu Daud)

Tanpa sahabat yang baik tidak akan lahirlah individu yang akan sentiasa memperbaiki dirinya dan sentiasa merasai keenakan dan keindahan beribadah kepada Allah.

Kita juga dapat melihat betapa hebatnya cabaran kepada masyarakat di zaman teknologi kini, lebih-lebih lagi peringkat umur remaja yang sedang tercari-cari identiti mereka.

Seperti yang pernah dinukilkan oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan  dalam tulisannya, cabaran pemuda itu adalah pada sepanjang kehidupannya, bukan hanya pada usia remaja. Kerana sesungguhnya musuh-musuh Islam telah merencana makarnya bermula seawal alam persekolahan remaja itu sendiri. Kita didedahkan dengan perlakuan Barat dan digalakkan supaya bergerak dengan arus kebaratan. Suasana ini mustahil berlaku dengan sendirinya kerana suasana ini bertentangan dengan fitrah. Jelas wujudnya tangan-tangan dan pihak yang mahukan suasana ini.

Tidak hairanlah jika kita lihat sebahagian besar daripada lapisan para pemuda dan pemudi terjunam ke lembah kerosakan dan ketandusan akhlak yang mulia, selain daripada kekontangan akidah Islam yang menjamin kebahagian di dunia dan akhirat. Mereka lari daripada cara hidup Islam.

Namun, kita tidak menyalahkan mereka seratus-peratus. Ini adalah kerana kadang-kadang, mereka yang rosak itu disebabkan ketiadaan orang yang membimbing mereka ke jalan Islam yang sebenar. Mereka hanya mengenali Islam ketika di bilik-bilik darjah semasa di alam persekolahan dahulu. Mereka adalah mangsa. Mangsa kealpaan umat Islam tentang tanggung jawab dakwah. Tanggung jawab kita untuk mengajarkan Islam dan mencipta dunia yang aman sejahtera suasananya.

Besarnya tanggungjawab yang perlu dipikul perlu dirasai oleh setiap muslim yang memahami hakikat iman yang sebenar. Tanggung jawab yang merentasi sempadan negara, umur, warna kulit dan bangsa. Kitalah yang berperanan untuk memberi kesedaran kepada mereka untuk kembali kepada kebenaran dan mendidik mereka.

Adakah kita ingin dikeluarkan bersama orang-orang yang beriman ke satu tempat yang lain atau adakah kita ingin ditimpakan hujan batu bersama dengan keturunan kaum Lut ini? “Bukankah subuh itu sudah dekat?” (Hud: 82)

Oleh: Suhaili binti Noredan,
Tahun 4, Kuliah Syariah Islamiyah,
Universiti Al-Azhar (Kaherah)

Sumber: Laman Web ISMA Mesir

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker