3 Mac 1924: Mencari penyelesaian kebangkitan umat
88 TAHUN GERHANA
Baiah para sahabat kepada Saidina Abu Bakar r.a yang telah membentuk sistem khilafah yang pertama akhirnya terpadam pada tanggal 3 Mac 1924 setelah 1291 tahun memimpin sebahagian besar dunia dalam misi mengembalikan penghambaan manusia kepada Allah s.w.t. Kesatuan umat yang telah mula dibentuk oleh muhajirin dan ansar sebagai asas kekuatan umat Islam di zaman Rasulullah akhirnya dihancurkan para musuh Islam dengan pelbagai bentuk serangan luaran dan dalaman. Kejatuhan khilafah telah menyaksikan bagaimana negara-negara Islam akhirnya dipecahkan kepada blok-blok kecil yang bukan hanya memisahkan sempadan namun telah turut memisahkan kekuatan umat dari kembali bangkit. Yahudi dan barat juga berjaya menerapkan pelbagai ideologi bermula dengan sekularisme pada zaman Mustafa Kamal Ataturk dan seterusnya telah berkembang kepada liberalisme, pluralisme, humanisme dan pelbagai fahaman yang berjaya menimbulkan kekeliruan terhadap Islam itu sendiri. Inilah yang dapat dilihat setelah 88 tahun, umat terus ditindas dan dilalaikan dengan kemaksiatan, malah cuba dipesongkan hala tuju agama itu. Namun kita perlu sentiasa meyakini janji Allah dalam firmanNya :
“Sesungguhnya telah tetap janji Kami bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi Rasul. Bahawa sesungguhnya merekalah orang yang diberikan pertolongan. Dan sesungguhnya tentera Kami (orang yang beriman) itulah yang pasti menang.” (As-Soffat: 171-173)
UMAT MENCARI SOLUSI
Kemenangan adalah suatu yang telah ditetapkan melalui sunnatullah dalam ayat-Nya,
“…Sesungguhnya Allah tidak akan merubah sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…” (Ar-Ra’d: 11)
Maka hari ini kita melihat pelbagai ideologi perubahan mula ditonjolkan dan dunia menyaksikan berlakunya kebangkitan demi kebangkitan terutama seperti yang dilihat di negara Arab seperti Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Syria dan lain-lain lagi. Namun kita perlu melihat apakah asas yang diletakkan sebenarnya dalam setiap rentetan revolusi yang berlaku, adakah umat benar-benar bangkit kerana telah diisi jiwanya dengan keimanan atau hanya kerana tekanan kezaliman yang berlaku yang telah menjejas hak asasi manusia, lalu rakyat hanya bangkit supaya tumbangnya pemerintahan zalim ini untuk mendapatkan kembali kehidupan yang selesa. Di sini pentingnya kita mencari rujukan yang betul dalam mencari solusi supaya kita tidak tertipu dengan penyelesaian yang hanya cukup memuaskan akal dan nafsu manusia tetapi akhirnya tidak menjadi penegakan tauhid sebagai matlamat. Akhirnya kita terpaksa kembali kepada formula pembentukan tamadun yang telah dilakukan oleh Rasulullah iaitu membina peribadi-peribadi yang akan membentuk masyarakat dan menggerakkan segala sistem tak kira dari segi sosial, ekonomi, politik dan lain-lain.
MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT
Usaha untuk mengembalikan kedaulatan Islam bukanlah dengan sekadar melaungkan kembali kebangkitan khilafah tanpa langkah praktikal yang jelas. Sepertimana Imam Hasan Al-Banna dalam maratib amalnya telah meletakkan i’adah al-kiyan ad-dauli (mengembalikan kewujudan negara) di fasa-fasa terakhir selepas usaha pembinaan peribadi, keluarga dan masyarakat berjalan dengan teratur. Dalam realiti umat Islam di Malaysia, kita tidak boleh menyangkal bahawa pendokong utama risalah ini telah ditaklifkan kepada bangsa Melayu, tanpa menafikan usaha-usaha muslim dari pelbagai bangsa yang lain. Bilangan majoriti bangsa Melayu ini sepatutnya memberi kuasa penentu yang kuat dalam menghalakan agenda Islam di Malaysia.
Kepimpinan Islam harus diletakkan kepada sebuah bangsa yang mempunyai dokongan yang kuat sepertimana yang telah berlaku ketika perlantikan khalifah Abu Bakar r.a yang berasal dari keturunan Quraisy yang mempunyai kuasa dominan untuk memimpin Arab ketika itu. Kewujudan Khilafah Turki Uthmaniyyah juga membuktikan bahawa kepimpinan Islam boleh beralih kepada suatu bangsa yang lain yang mempunyai kekuatan yang dominan. Akhirnya selama 407 tahun bangsa Turki Berjaya memerintah dunia Islam walaupun wahyu pertama diturunkan kepada bangsa Arab. Di sini kita melihat peranan suatu bangsa itu amat penting dalam menjayakan agenda Islam kerana Islam bukan agama magis yang akan tertegak dengan keyakinan tanpa usaha.
Dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia peranan bangsa muslim yang majoriti iaitu Melayu amat penting. Meskipun secara realitinya bangsa Melayu telah berpecah kerana perbezaan ideologi politik yang sangat ketara tetapi seharusnya bangsa Melayu masih boleh bersepakat dalam agenda yang sama iaitu agenda mempertahankan Islam. Perkara ini hanya boleh berlaku apabila semua pihak membebaskan diri dari kepompong pemikiran politik yang sempit. Ini kerana kita melihat sentimen politik yang turut dibawa dalam soal berkaitan agama Islam hanya akan memberi peluang kepada musuh-musuh Islam untuk mengambil kesempatan. Pertelingkahan Melayu di Malaysia akan melemahkan umat Islam itu sendiri dalam menentukan kata putus untuk bertegas terhadap ancaman yang berlaku.
Persepakatan yang diinginkan juga menuntut kita membina semula jadi diri orang Melayu terutamanya yang dilihat semakin terpengaruh dengan pelbagai aliran pemikiran yang mengelirukan supaya kembali kepada pemahaman Islam yang sebenar. Sesungguhnya apabila bangsa ini berjaya dibina secara tidak langsung ia akan menjadi bangsa qudwah yang memudahkan lagi dakwah terhadap bukan Islam. Suara Melayu yang sepakat ini juga akhirnya akan membentuk kuasa tawar-menawar yang kuat dalam menentukan hala tuju agenda Islam di Malaysia. Inilah antara langkah penyelesaian praktikal yang dapat dilihat dalam usaha mengembalikan kebangkitan umat bermula dengan tanah air kita yang tercinta Malaysia.
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: 4)
Oleh :
Ahmad Nu’man bin Mazlan
Tahun 1 Fiqh Usul
Universiti Yarmouk
Sumber: Laman Web ISMA Jordan