Krisis kekurangan pakar sakit puan wanita
Jika sebelum ini ramai orang bertanya ke mana perginya ramai lelaki yang tidak belajar di universiti, masyarakat yang prihatin tentunya tertanya-tanya ke mana perginya para doktor wanita hingga terlalu sedikit yang menjadi pakar sakit puan?
Isu ini adalah satu permasalahan serius yang memerlukan perancangan jangka panjang yang baik serta menagih pengorbanan daripada pelbagai pihak yang terlibat.
Sehingga tahun 2012 ini, saya telah berkecimpung selama 15 tahun di dalam bidang Obstetrik & Ginekologi (Perbidanan & Sakit Puan). Saya telah mengambil keputusan yang agak kontroversi terhadap diri saya sendiri iaitu untuk terjun ke bidang ini apabila melihat kebanyakan para pakar perbidanan dan sakit puan di Malaysia adalah lelaki yang non-Muslim. Saya meletakkan objektif utama untuk berada di bidang ini adalah untuk melatih dan melahirkan lebih ramai doktor Muslimah yang mempunyai kemahiran di bidang ini bagi memenuhi keperluan umat Islam di Malaysia.
Ya, kita memang telah berjaya melahirkan semakin ramai doktor pakar wanita di bidang ini. Bahkan ramai juga di kalangan mereka menjadi tokoh di peringkat nasional dan internasional. Namun jumlah yang diharapkan ini masih lagi terlalu jauh daripada sasaran.
Di antara faktor yang melambatkan pencapaian ini adalah disebabkan terlalu banyak halangan untuk para doktor wanita untuk memilih bidang ini sebagai kerjaya masa depan mereka dan di samping memerlukan pengorbanan yang besar bagi menamatkan latihan kepakaran mereka di bidang. Di samping itu, agak ramai juga wanita Muslimah yang telah berjaya menjadi pakar perbidanan dan sakit puan membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya mereka di hospital-hospital swasta.
Pada minggu yang lalu, saya telah diamanahkan menjadi pemeriksa luar (external examiner) bagi pelajar-pelajar perubatan tahun akhir di CUCMS, Cyberjaya. Adalah tidak mengejutkan apabila semua para pemeriksa yang merupakan pakar perunding Obstetrik & Gynaecologi di CUCMS yang bersama saya pada sepanjang minggu ini adalah lelaki. (Saya beranggapan bahawa pertemuan kami ini hanya berlaku secara kebetulan sahaja)
Ramai rakan-rakan saya yang turut prihatin dengan isu ini dan berharap agar lebih ramai para doktor dan bakal doktor Muslimah membuat keputusan untuk terus ‘berjihad’ dan mengambil-kira untuk membuat kepakaran di bidang ini.
Sememangnya bidang perbidanan dan sakit puan adalah kerjaya yang sangat mulia bagi memenuhi keperluan umat Islam di negara ini. Hukumnya adalah fardhu kifayah. Kerjaya yang berat ini menuntut kesabaran dan ketabahan di kalangan para doctor Muslimah dan juga kepada keluarga mereka.
Bagaimanakah cita-cita ini boleh terlaksana di Malaysia ?
- Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan mestilah mempunyai strategi dan perancangan yang tersusun oleh bagi memenuhi keperluan umat Islam ini.
- Kita ingin menyeru kepada doktor-doktor pakar perbidanan (muslimah) supaya dapat terus kekal bekerja di hospital kerajaan mahu pun di bidang akademik bagi terus memberikan perkhidmatan di bidang Obstetrik dan Ginekologi kepada masyarakat awam.
- Diharapkan agar lebih ramai doktor-doktor muda (muslimah) bertekad dan sanggup berkorban dengan memilih bidang ini sebagai kerjaya kepakaran mereka.
- Pusat pengajian perubatan seharusnya memberikan galakan kepada mahasiswi perubatan supaya mengambil-kira bidang ini sebagai kerjaya mereka di masa depan
- Sokongan suami dan keluarga (doktor muslimah ini) adalah sangat penting dan inilah di antara faktor yang memungkinkan doktor pakar wanita terus berkorban untuk memberikan khidmat bakti kepada masyarakat wanita yang memerlukan mereka.
- Sistem sokongan semasa bekerja dan latihan di hospital-hospital dan di universiti mesti diperkuatkan agar target melahirkan lebih ramai pakar sakit puan daripada kalangan wanita akan berjaya.
Saya amat pasti bahawa sistem sokongan yang baik adalah sangat penting bagi seseorang doktor Muslimah untuk berjaya menjadi pakar di dalam bidang ini terutamanya ‘memiliki’ suami yang faham dan sabar dengan perjuangan yang mulia ini.
Kepada para doktor Muslimah dan suami mereka… Selamat Berjihad !
Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin,
Naib Presiden I I-Medik
Blog: Peduli Ummah
* Dr Zainur Rashid juga merupakan Perunding Aman Palestin & AJK ISMA Seremban.