Menuju politik baru
“Tak praktikal! Cadangan hang memang bunyinya ideal, tapi hakikatnya tak praktikal!” Balas seorang teman ketika saya mengutarakan idea kesepakatan antara kumpulan-kumpulan Muslim di Malaysia dalam membina lanskap politik yang lebih baik pada masa akan datang.
“Mengapa pula tak praktikal?” Tanya saya kembali. Seronok juga sekali sekala berbincang begini. Berbeza pendapat adalah satu kemanisan andai ia dilakukan dengan penuh adab dan hikmah.
“Yelah, satu sekular, satu lagi ingin mendokong ISLAM, satu penuh dengan kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa, satu lagi ingin menegakkan ISLAM dan keadilan. Mana mungkin kedua kumpulan ini bersepakat. Dasar pun jelas berbeza. ISMA dengan IKRAM pun tak boleh nak sepakat, inikan pula UMNO dan PAS.” Jelasnya dengan nada tegas, ditambah dengan sedikit sindiran.
Saya hanya tersenyum. Jika datangnya dari orang lain, saya mungkin malas hendak menyambung perbincangan, tapi dengan teman yang seorang ini, saya cukup memahami.
“Habis, apa cadangan hang untuk membina politik baru yang lebih damai?” Tanya saya lagi, cuba mengorek cadangan penyelesaian. Ingin membawa perbincangan ke arah yang lebih praktikal.
“Mudah sahaja, tumbangkan UMNO dan BN, kemudian di atasnya kita bina lanskap politik baru, Jalan dakwah akan luas terbuka selepasnya. Puak-puak ini telah terlalu lama berkuasa hingga lupa diri dan perlu ditumbangkan dalam PRU akan datang!” Jawab teman saya, bersemangat.
Saya tersengih sambil menghirup sedikit teh yang masih panas. Serasa saya, ramai juga yang berkongsi pandangan sama dengan teman saya ini. Saya hormat pandangannya walaupun tidak sependapat.
“Kalau itu pandangan hang, aku hormat. Cuma apa yang aku nak bincang dan cadangkan hari ini adalah di luar dari kotak politik pilihanraya yang berasaskan peti undi. Untuk merealisasikannya, kita semua boleh terlibat, tidak kira parti mana yang menang dalam pilihanraya sekalipun.”
“Maksud hang?”
“Begini, apa yang ingin aku cadangkan adalah politik damai, politik berakhlak, politik kasih sayang dan politik menang-menang untuk ummah yang merentas politik kepartian dan kita semua boleh menjayakannya. Jalannya mungkin masih lagi jauh, tapi kita harus bermula sekarang.”
“Macamana? Hang tak usah berfalsafah sangat la.” Tanya teman saya, sedikit kurang sabar.
“Sabarla weh!” Saya tertawa, telah biasa dengan gelagatnya.
“Aku cuba nak bawa sesuatu yang praktikal, maksudnya, aku tak ingin bincang tentang strategi politik, kezaliman, salah guna kuasa, rasuah, kesalahan pihak itu dan pihak ini, siapa yang lebih zalim ataupun hukum hakam berkenaan mengundi dan pilihanraya.”
“Apa yang aku nak bincangkan adalah bagaimana kita, di peringkat bawahan ini boleh berperanan selain di peti undi, boleh bertindak dalam skala kita sebagai muslim yang prihatin untuk membentuk suasana politik baru.”
“Politik baru? Macamana?” Soal teman saya, pendek.
“Haaa, begini, kita boleh bermula dengan menghormati mereka yang punya pendapat dan cara fikir yang berbeza. Biar kita berbeza dan berselisih dengan professional. Sebagai contoh, elok kita tidak meletakan label buat mereka yang dari kumpulan yang berbeza, menyokong parti yang berbeza mahupun mempunyai pandangan politik yang berbeza. Elakkanlah menggunakan istilah ‘munafiq’, pencacai, kaki kipas, barua UMNO, UMNGOK, kuda AMBIGA, bodoh, sesat, dan kata-kata lain yang kurang sesuai dalam kamus kita sebagai seorang muslim.
“Elakkan juga sindir menyindir (sarcasm), kutuk mengutuk, tuduh menuduh dan yang seangkatan dengannya. Muslim itu bersaudara dan seorang muslim sejati tidak akan mengapa-apakan saudaranya dengan lisan atau tangannya.”
Kalau kita boleh melaksanakannya tidak kira di alam nyata mahupun di alam maya, banyak perubahan positif yang bakal berlaku.”
“Biar kita jadi lebih bijak dan bertaqwa dalam memberi apa jua komen dan mengulas apa jua isu.”
Teman saya mengangguk-angguk setuju. Melihat label-label yang diberi oleh segelintir penyokong dan pendokong kedua parti terhadap musuh politik masing-masing, cukup menjengkelkan. Budaya politik label melabel, pijak memijak, tunjuk punggung, ludah meludah, caci maki, sumpah seranah, laknat melaknat, aib mengaib MESTI ditolak dengan tegas oleh mana-mana pihak yang berpolitik. Apatah lagi bila ia melibatkan antara saudara seagama dari kumpulan yang berbeza.
Bersaing, biarlah dalam rangka yang professional. Kedua parti bertanding dengan kematangan dan kemantapan manifesto yang ditonjolkan, bukan dengan melondeh dan mengaibkan pihak lawan dengan fitnah yang berterusan.
“Kemudian, adab kita dalam menerima berita.” Saya menyambung lagi setelah melihat teman saya diam tidak memberikan sebarang respon.
“Pertama sekali, siasat dulu apa jua berita yang hadir, tidak kira dari belah mana pun. Letakkan sangka baik sebagai penapis andai ia melibatkan individu muslim, apatah lagi yang jelas diketahui kebaikannya. Lagi-lagi jika ia melibatkan tuduhan-tuduhan berat yang mengaibkan.”
“Lebih baik kita tidak melibatkan diri dalam membicarakan atau menyebarkan apa jua isu yang melibatkan perkara-perkara yang kita tidak 100% pasti. Khuatir kita merasakan ianya benar dan perkara kecil, rupa-rupanya fitnah dan ianya besar di sisi Allah.”
“Fikir berkali-kali sebelum memberi komen, ‘like’ atau ‘share’ apa jua berita.
“Utusan atau Harakah, kita nyatakan pendirian tegas kita kepada mereka yang sering mempromosi politik lucah, aqidah yang menyeleweng, politik selak kain dan aib mengaibkan.” Saya mengakhiri ayat, teman saya yang diam sejak tadi, terus terdiam. Saya yakin, jauh di dalam, dia bersetuju dengan saya.
Saya pasti, ramai di luar sana yang telah bosan dengan persengketaan berpanjangan dalam arena politik Malaysia. Ramai yang tidak sabar-sabar ingin melihat perubahan dalam lanskap politik Malaysia.
Namun, jalannya masih lagi jauh, masih banyak lagi langkah dan ranjau yang perlu dilalui. Tidak dapat tidak, kita mesti berusaha jika inginkan perubahan, tidak cukup hanya sekadar angan-angan.
Kalau tidak kita, biarlah anak cucu kita mewarisi budaya politik yang lebih baik.
Mari bermula dengan diri kita sendiri. Mulakannya hari ini!
Mohd Hisham Mohd Sharif,
Timbalan Ketua,
ISMA South Australia
Blog: Hisham Sharif
Syukran
satu perbincangan yang segar dan matang…harap inilah perbincangan yang perlu dibawa oleh ISMA pusat…
satu perbincangan yang segar dan matang…harap inilah perbincangan yang perlu dibawa oleh ISMA pusat…
5 ciri-ciri khitab da’wie ISMA.
1) Pendekatan Islam yang sederhana.
2) Kefahaman yang syumul.
3) Kepentingan umum.
4) Uslub mendidik.
5) Ke arah perpaduan.
5 ciri-ciri khitab da’wie ISMA.
1) Pendekatan Islam yang sederhana.
2) Kefahaman yang syumul.
3) Kepentingan umum.
4) Uslub mendidik.
5) Ke arah perpaduan.
Setuju! 🙂
Setuju! 🙂
matang..
Terbaik!
retorik? adakah ini laungan yang retorik?
tiada londeh-melondeh? boleh jadi kah?