LGBT dari sudut perubatan: Apakah asasnya?
LGBT DARI SUDUT PERUBATAN : APAKAH ASASNYA?
Dewasa ini, pengamal dan pejuang isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) semakin lantang menekan pelbagai pihak, dari kalangan awam, sehinggalah kepada penguasa, malah tidak terkecuali pengamal perubatan, agar mengiktiraf LGBT sebagai sesuatu yang:
-
“nature” – bersifat semulajadi dan bukannya “nurture” – asuhan atau pengaruh persekitaran.
-
merupakan “sexual orientation” – yang mendefinisi seseorang, bukannya “sexual preference” – yang dihajati seseorang.
Benarkah begitu?
Tulisan ini bukan bertujuan meminggirkan atau memangsakan golongan yang telah terjebak di dalam gaya hidup yang dicela oleh agama Islam ini, sebaliknya ingin membuktikan bahawa gejala LGBT adalah sesuatu yang bersifat asuhan atau pengaruh negatif yang tidak dibendung, dan bukannya sesuatu yang diwarisi atau ditentukan oleh genetik. Dengan menyedari hakikat ini, semua pihak dapat terus mencari jalan dan memberi keyakinan bahawa mereka yang telah terjebak, dapat dirawati dan usaha berterusan perlu dilakukan bagi membendung dan mencegah gaya hidup kaum Nabi Lut yang telah secara terang-terangan dikutuk Allah melalui firmannya:
“Dan (Kami juga telah mengutus) Luth (kepada kaumnya). (Ingatlah ) tatkala dia berkata kepada mereka: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu?”. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melampiaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: “Usirlah mereka (Luth dan para pengikutnya) dari kotamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri .” (QS. Al A’raaf, 7: 80-82)
SEJARAH PERUBATAN HOMOSEKSUALITI
Adakah benar dari sudut perubatan, LGBT merupakan hasil pengaruh genetik?
Bidang perubatan dalam tahun 1952 menyenaraikan homoseksualiti sebagai gangguan sosiopathi personaliti di dalam Manual Diagnostik dan Statistik Penyakit Mental atau Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM). Dalam tahun 1968, di dalam DSM edisi ke 2 (DSM II), homoseksualiti dipindahkan ke kategori Seks Songsang (Sexual Deviation). Malahan homoseksual adalah di tempat teratas di dalam kategori ini dituruti oleh keabnormalan seksualiti lain seperti fetishism, pedophilia dan sebagainya.[1]
Namun, banyak laporan menyetujui bahawa desakan kuat para pengamal homoseksualiti, dan lobi ahli politik dan pengamal perubatan yang mengamalkan gaya hidup ini, telah mendorong Persatuan Psikiatri Amerika mengeluarkan homoseksualiti daripada dikategorikan sebagai penyakit mental pada tahun 1973.[1]
Ini dilaporkan oleh Dr Ronald Bayer dalam bukunya bertajuk Homosexuality and American Psychiatry: The Politics of Diagnosis yang menyimpulkan keputusan tersebut adalah tekanan politik yang hebat dan bukannya dari hasil kajian saintifik yang objektif.[2]
BUKTI KAJIAN HOMOSEKSUALITI
Sehingga kini, tiada bukti kukuh yang menyokong bahawa LGBT adalah sesuatu yang diwarisi dan tidak dapat diubah. Berbagai kajian telah dilakukan untuk cuba membuktikan bahawa orientasi seks ini berpunca dari struktur anatomi dan fisiologi manusia.
Saiz otak. Sebagai contoh, pengkaji Simon LeVay pada tahun 1991, melaporkan bahawa terdapat perbezaan saiz struktur otak di antara pengamal heteroseksual dan homoseksual, dimana bedahsiasat mayat menunjukkan saiz otak pengamal homoseksual lebih kecil dari pengamal heteroseksual, menyerupai struktur otak wanita.[3]
Ini menggambarkan orientasi seks mereka seolah-olah sesuatu yang telah ditetapkan sejak dari azali. Walaubagaimanapun, kajian ini mendapat kritikan hebat kerana sampel kajian bagi pengamal homoseksual adalah mereka yang telah meninggal dunia akibat penyakit AIDS. Penyakits AIDS telah diketahui menyebabkan kadar hormon testosteron lebih rendah dari biasa dan virus AIDS sendiri dalam kajian yang lain telah dibuktikan menyumbang kepada perubahan saiz struktur otak.
Hormon. Selain daripada itu, homoseksualiti juga dikatakan berpunca dari ketidakseimbangan hormon semasa di dalam rahim lagi tetapi kajian-kajian ini juga dikritik sebagai kajian yang lemah kerana mereka hanya mengukur panjang tulang fetus sebagai proksi atau gambaran kepada paras hormon dalam badan dan bukannya menggunakan hormon itu sendiri.[4-5]
Genetik. LGBT juga cuba dibuktikan berasaskan pengaruh genetik dalam kajian yang menggunakan kembar. Seperti kajian-kajian di atas, metodologi kajian ini dipersoalkan kerana terdapat ralat yang serius, kerana pertamanya, ada kajian yang mengiklankan secara terbuka sesiapa yang ingin menjadi sampel kajian mereka, menyebabkan hanya mereka yang telah ada kecenderungan ke arah gaya hidup seksualiti sahaja yang melibatkan diri. Ini bermakna, sampel kajian mereka tidak rawak.[6] Keduanya, kajian menggunakan pasangan kembar dalam memastikan genetik adalah faktor, tidak lari dari pengaruh asuhan kerana kedua-dua kembar lazimnya tinggal bersama dalam satu unit keluarga.[7]
Pembuktian genetik sebagai penyelesaian kepada sesuatu masalah perubatan dipandang serius oleh pakar-pakar genetik sendiri. Mereka memberi amaran, jika kecenderungan kajian terlampau menjurus ke arah genetik, ianya hanya akan meminggirkan atau meremehkan faktor yang benar-benar menjadi penyebab seperti faktor pengamalan (behaviour) dan faktor alam sekitar kita. Apa tidaknya, sudah ada kajian yang mengatakan pembenci amalan homoseksual atau homophobia, juga diwarisi secara genetik![8]
Tindakan pejuang hak asasi yang cuba menggunakan genetik dalam masalah rumit dan berunsurkan diskriminasi, bukan sahaja tidak beretika dari sudut perubatan, malah menjadi pedang dua mata, yang berupaya menghiris mangsa dan pemangsa, kenyataan amaran ini dikeluarkan oleh the Council for Responsible Genetic (CRG) yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan berpengkalan di Massachuset, Amerika Syarikat yang memantau kajian-kajian bioteknologi.
HOMOSEKSUALITI DAN MASALAH AIDS
Pada bulan Julai 2012, jurnal kesihatan Lancet melaporkan hasil kajian dari Sekolah Kesihatan Awam John Hopkins telah mendapati kadar jangkitan virus HIV di kalangan pengamal seks homoseksual masih tinggi. Data ini diambil dari laporan tahunan kesihatan di kalangan negara berdaftar di bawah Bangsa-bangsa Bersatu.[9]
Fakta ini mengejutkan para pengkaji.
Ini kerana 10-15 tahun lalu, faktor penyebaran virus HIV di kalangan pengamal homoseksual dikatakan berpunca dari kurang ilmu pengetahuan seperti mengamalkan seks yang tidak selamat apabila tidak memakai kondom, mengamalkan seks berbilang-bilang pasangan dan disertai pengamalan dadah secara suntikan.
Kini, setelah berbagai program kesedaran, kursus, seminar dan konvensyen giat diadakan tentang risiko dan seks selamat di kalangan pengamal homoseksual, ia masih tidak menghalang penularan virus HIV yang tinggi dikalangan mereka. Tambah menghairankan apabila fakta peningkatan kes di kalangan homoseksual ini adalah sama di negara-negara membangun dan negara-negara maju seperti Amerika, Australia dan Britain di mana gaya hidup ini semakin diterima.
Begitu juga, laporan yang sama menyatakan pendapatan atau status ekonomi seseorang tidak membezakan kadar jangkitan HIV. Di Amerika Syarikat sendiri, peningkatan kadar HIV di kalangan homoseksual meningkat sebanyak 8 % setahun sejak tahun 2001. Ini menjadikan Amerika Syarikat sekarang, mempunyai kadar jangkitan setinggi 15% di kalangan pengamal homoseksualnya, sama seperti kadar jangkitan di negara-negara seperti Thailand dan Malaysia sendiri, yang dikatakan masih kurang kesedaran tentang bahaya AIDS dan homoseksual, juga kekurangan bekalan ubat-ubatan menangani infeksi HIV.
Jadi apakah kesimpulan saintis?
Mereka terpaksa mengakui bahawa faktor biologi memainkan peranan di sini di mana kadar jangkitan virus HIV melalui penetrasi dubur (anal sex) adalah 18 kali lebih berisiko dibandingkan dengan penetrasi vagina (vaginal sex).[10]
Ini hanya membenarkan fakta bahawa suatu amalan yang berlawan dengan fitrah, yang dilarang oleh agama, yang dicela oleh Rasulullah SAW dan Allah SWT pasti mempunyai sebab kenapa ia dihalang.
LGBT DAPAT DIRAWATI
Kita menyeru kepada pengamal LGBT agar kembali ke jalan yang benar, kerana tidak ada bukti dari sudut perubatan bahawa ia sesuatu yang diwarisi. Bahkan, dengan tersingkir homoseksualiti dari kategori penyakit jiwa, menidakkan peluang ramai pengamal LGBT untuk cuba mendapatkan rawatan, kerana sama seperti penyakit gangguan jiwa yang lain, amalan LGBT ini dapat dirawat. Adalah mustahil bagi sifat Allah SWT yang menjadikan seseorang ‘terperangkap dalam jantina yang berlainan’ dan dalam masa yang sama menghukum mereka.
Bahkan, di negara Barat sendiri sudah semakin ramai yang menukar gaya hidup homoseksual mereka kepada heteroseksual, berkahwin dan mempunyai anak, sekali gus menidakkan kaitan genetik (yang sudah pasti tidak akan mengubah orientasi seks mereka) di kalangan LGBT. Contoh terkenal ialah ikon lesbian Kerry Pacer, yang dinamakan oleh majalah Advocate, majalah yang memperjuangkan isu LGBT, pada tahun 2005 sebagai “Person of the Year”. Empat tahun kemudian dilaporkan beliau telahpun mempunyai teman lelaki dan telahpun melahirkan bayi.
Sesungguhnya kita harus meyakini bahawa isu LGBT sebenarnya adalah suatu “preference” atau kehendak yang di “nurture” atau dipupuk, dan sesungguhnya ia dapat di rawati. Setiap lapisan masyarakat baik dari kalangan pengamal perubatan, ahli politik dan ahli agama harus berganding bahu menangani masalah ini. Pengamal perubatan harus jujur dengan kajian mereka, dan Dr Walter Schumm, seorang profesor kajian kekeluargaan di Universiti Kebangsaan Kansas menyatakan, terlalu banyak kajian yang disalahgunakan bagi kepentingan pejuang hak asasi sehingga sebuah buku boleh ditulis mengenainya. Ahli politik dan pemerintah pula harus tegas untuk membendung gejala ini agar tidak merebak melalui saluran undang-undang sedia ada. Ia merugikan bukan sahaja dari sudut sosial malah sudut kesihatan dengan meningkatnya jangkitan HIV.
Adalah jelas bahawa isu LGBT bagi umat Islam merupakan isu akidah yang serius kerana selain dari disebutkan berulang kali di dalam Al-Quran tentang keharamannya, hukum hakam perkahwinan, nasab dan faraid adalah berkait rapat dengan status mengelirukan seperti LGBT. Pendekatan agama adalah yang terbaik dan masalah LGBT harus dibendung dengan berhemah dan tidak bersifat menghukum, dengan secara perlahan-lahan menarik balik golongan ini kepada kehidupan yang lebih diredhai Allah SWT.
Profesor Madya Dr Rafidah Hanim binti Mokhtar
Pensyarah Fisiologi
Dan Ketua Jabatan Sains Perubatan I
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
No tel: 03-24892450
Email: [email protected]
Catatan:
Penulis juga adalah merupakan Naib Presiden II I-Medik iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kepada para Pengamal Perubatan Muslim.
Rujukan:
- Spitzer, R L. 1973. A proposal about homosexuality and the APA nomenclature: Homosexuality as an irregular form of sexual behavior and sexual orientation disturbance as a psychiatric disorder. American J. Psychiatry 130: 1214-1216.
- Bayer, R. 1987. Homosexuality and American Psychiatry: The Politics of Diagnosis. Princeton: Princeton University Press.
- LeVay, S., A difference in hypothalamic structure between homosexual and heterosexual men. Science 253:1034-1037 (1991).
- Manning, J.T., D. Scutt et al. 1998. The ratio of the 2nd to 4th digit length: a predictor of sperm numbers and concentrations of testosterone, luteinizing hormone and human oestrogen. Human Reproduction, 13:3000-3004
- Williams, T.J., M.E. Pepitone, at al. 2000. Finger-length ratio and sexual orientation. Nature 404:455-456.
- Bailey, J.M., and R.C. Pillard. 1991. A genetic study of male sexual orientation. Arch. Gen. Psychiatry 48:1089-1096.
- McConaghy, N., D. Hadzi-Pavlovic, C. Stevens, V. Manicavasagar, N. Buhrich, and U. Vollmer-Conna. 2006. Fraternal birth order and ratio of heterosexual/homosexual feelings in women and men. J. Homosex. 51:161-74.
- Eaves, L. J., and P. K. Hatemi. 2008. Transmission of Attitudes Toward Abortion and Gay Rights: Effects of Genes, Social Learning and Mate Selection. Behav. Genet. 38:247–256.
- Beyrer C, Baral SD, van Griensven F, et al. Global epidemiology of HIV infection in men who have sex with men. Lancet 2012.published online July 20. http://dx.doi.org/10.1016/S0140-6736(12)60821-6.
- Grulich A, Zablotska I. Commentary: probability of HIV transmission through anal intercourse. Int J Epidemiol 2010; 39: 1064-1065