Contoh baik dari anak muda negara
Walaupun tidak berkesempatan menonton perlumbaan Moto GP tempohari, saya berasa kagum dan berbangga dengan tindakan pelumba Moto3 negara, di samping kejayaan podium pertama, Zulfahmi Khairuddin mengelak tradisi sambutan kemenangan podium dengan minuman keras pada upacara penyampaian hadiah Grand Prix Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang, Ahad lalu. Video tersebut telah dirakam oleh penyokong tempatan yang telah memuat turunkan ke dalam laman sosial, YouTube. Tindakan tersebut seharusnya mendapat pujian dari semua pihak.
Sebagai seorang Muslim, kita wajib mempertahankan kehormatan (‘izzah) beragama tanpa rasa malu menyatakan had dan batas tertentu yang perlu kita patuhi sekalipun hidup dalam ‘multi-cultural’ komuniti. Manakala kepada yang bukan Islam, kita menghormati hak mereka dan hak kita juga wajar dihormati. Dalam kontek ini, tindakan secara jujur anak muda kelahiran Banting, Selangor itu mengundang rasa kagum semua pihak yang berani menyatakan pendiriannya lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan sensitiviti agama Islam. Malah keberanian beliau bukan sahaja terbukti pada kehebatan pemanduan motorsikal, namun terserlah dengan pendirian agama. Syabas, Zulfahmi!
Saya menyeru dan meminta tradisi seperti siraman arak tidak menjadi sebahagian dari upacara sambutan kemenangan dalam sukan permotoran. Kita tidak perlu mempromosi budaya ini kerana telah maklum gejala buruknya sepertimana laporan dari WHO (Global Status Report on Alcohol and Health WHO, 2011) seramai 2.25 juta kematian dilaporkan setiap tahun akibat arak. Sebagai seorang doktor perubatan, saya tidak melihat apa logiknya arak dengan sukan. Sebaliknya ketagihan arak boleh membawa gejala penyakit yang serius seperti penyakit hati, kanser, inflamasi pancreas, darah tinggi, osteoporosis dan lain-lain lagi. Gejala lain juga termasuk masalah sosial serta keganasan rumahtangga, masyarakat dan kecederaan akibatkan kesan buruk arak. Oleh kerana gejala ini agak serius, lebih dari 30 klassifikasi atau kode telah digunapakai (International Classification of Diseases -10) untuk mendiagnosa gejala penyakit berkaitan arak ini.
Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga dengan tindakan Zulfahmi dan juga meminta semua pihak yang terlibat supaya tidak mempromosikan arak dalam kehidupan seharian ataupun aktiviti sukan.
Dr Azizi Ayob
Pengerusi, I-Medik Selangor/Wilayah Persekutuan