Perlawanan yang berubah kepada ‘peperangan’
Hidup sentiasa ada lawan ataupun pasangan, sebagaimana sunnah alam. Baik ada, buruk pun ada. Positif lawan negatif. Si jantan pasangannya si betina. Yang menakjubkan, suami isteri adalah pasangan tetapi yang pelik pula tidak sedikit jua keadaan di mana mereka berlawan. Sesekali berlawan lain kali berkawan pula. Maknanya dalam berkawan itu ada berlawan dan dalam berlawan itu ada berkawan. Itu sepatutnya menjadi perkara biasa dalam kehidupan kita. Itu semua sedia faham terutama bagi orang yang mengaku cerdik.
Perlawanan banyak jenis, mari lihat perlawanan politik. Perlawanan ini adalah jalan untuk menentukan siapa yang kalah dan siapa yang menang. Menang jadi pemerintah dan kalah jadi pembangkang. Sistem ini dipanggil demokrasi untuk memilih bukan ketua negara tetapi pemerintah negara. Demokrasi ini ‘barang buatan’ barat. Sebagaimana semenjak Khilafah Uthmaniyyah runtuh sistem baratlah yang diguna pakai.
Adalah patut untuk mencurigai akan perlawanan kategori ini. Sebab dari asal usulnya itu pun sudah patut curiga. Takkan dah lupa yang sistem ini lahir dari pihak yang telah menjatuhkan Islam. Pihak yang berlawan dengan Islam. Kemudian ia dipaksakan untuk dilaksana di negara Islam jajahan. Umat pun terima ia kerana nampak baiknya (muslihat barat).
Terbukti kini demokrasi barat yang dianut ini telah menjelmakan rupa paras sebenarnya yang amat hodoh. Ia adalah ‘peperangan’ yang diselindungkan dalam ‘perlawanan’. Sesiapa yang memiliki sedikit ilmu atau pengalaman sudah tentu dapat melihatnya. Meletakkan harapan yang ‘total’ untuk membangunkan kesejahteraan manusia dari atas pentas perlawanan ini adalah bohong. Apatah lagi untuk membangunkan penguasaan Islam yang mulia pasti akan menemui kekecewaaan. Sesiapa melancarkan jihad di atasnya adalah sebuah penyelewengan yang tuntas.
Kalau nak guna pakai demokrasi sekali pun ia patut bersifat sementara, iaitu sementara mengumpul kekuatan semula ummat, melalui rawatan ummat dari kesan pertarungan lalu.
Teramat malang apabila makin beria-ia berlawan makin banyak dan cepatlah kerosakan. Lebih malang ia sama bangsa sama agama. Leka berlawan tak sedar kerosakan, bila sedar ada kerosakan yang salah tentulah si lawan. Lalu masing-masing sibuk mengumpul dan mencipta bukti akan kesalahan pihak lawan. Dibongkarnya segala keburukan akan agama lawannya. Maka terserlahlah akan keburukan agama itu. Pihak lain membongkar pula segala keburukan bangsa lawannya maka terserlah segala keburukan bangsa itu. Itulah untuk tatapan manusia seluruhnya dan generasi selanjutnya. Adakah di situ ada kebaikan? Bukankah merosak diri sendiri namanya?
Masyarakat pun kata, ‘Ya benar memang buruk bangsa itu’. Kemudian berkata lagi, ‘Ya benar, memang buruk agama itu’. Kerana orang-orangnya yang tak henti berlawan. Perlawanan berterusan menjadi lebih sengit, lebih inovatif hingga berubah menjadi ‘perang.’ Lalu makin luaslah medan pertarungan di mana saja, kedai kopi, masjid, surau, balai raya, pejabat-pejabat, sekolah, suratkhabar, tv, internet dan seterusnya. Tak kira pihak mana pun, kalau menyokongnya, akan suci belaka penyokongnya itu. Bangsa apapun, agama apapun, buruk manapun jua. Orang-orang terus leka.. demokrasi berdiam diri saja.
Dengan semua itu… apakah saat ketika diisytiharkan siapa saja pemenangnya nanti, akan lebih hebat agamaku begitu juga bangsaku ini?
Sepatutnya ia berlawan pada tempohnya sahaja. Waktu yang selebihnya ialah ruang berkawan, paling tidak pun tak berlawan demi membina ummat sebangsa dan seagama. Tetapi jika terus-terusan berlawan tak kira tempat dan waktu, itu petanda sampailah masa untuk keluar meninggalkan perlawanan. kerana mudarat lebih besar dari kebaikan. Umpama perlawanan bola sepak kalau dah tak terkawal lagi, sudah pasti akan ditamatkan.
Aduhai bangsaku, berpakatlah demi agamamu.
Dollah Sani Suratman
YDP ISMA Shah Alam
satu penulisan yan tajam dean bahasa yang tajam.