Kompromi: Antara penyakit mental dan penyakit ummah
Saya berkesempatan baru-baru ini mendengar ceramah Prof Jon Jureidini, seorang pakar psiaktri dan juga pengarah di Psychological Medicine Department, Women and Children Hospital, Adelaide. Beliau sememangnya seorang individu yang menarik. Bukan sekadar seorang pakar psikiatri, beliau juga merupakan seorang fellow dan pemegang PhD dalam bidang falsafah. Saya pernah berpengalaman berinteraksi dengan beliau sebagai pelajar perubatan pada tahun 2008. Pandangannya yang tidak tipikal terhadap arus psikiatri moden menyebabkan pandangan kritikal beliau sering menjadi kontroversi.
Walaupun caeramahnya bertajuk Fallacy of Middle Ground itu tidak secara langsung menyebut tentang politik, apatah lagi tentang Malaysia secara khususnya, namun pandangan beliau tentang konsep kompromi sebagai corrupting influence (pengaruh yang merosakkan) bagi saya sangat menarik untuk dijadikan sebagai satu titik refleksi.
“When we are faced with divergent possibilities,” he says, “we often seek the comfort of the middle ground.” Bad compromise can infect everything from child rearing to geo-politics relationships, to our personal responses to climate change. “Hedging our bets is often analogous to not betting at all,” according to Jureidini. Although we don’t like to acknowledge it, often hard choices with complex and risky short-term ramifications are the only way through difficult situations. (J. Jureidini, 2010)
Secara prinsipnya apa yang cuba ditekankan ialah, dalam banyak hal, apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal ketika membuat keputusan, terutamanya dalam konteks pelbagai tekanan, permintaan, jangkaan dari pelbagai pihak, kita biasanya akan mengambil jalan pertengahan atau kompromi bagi memuaskan hati semua pihak. Biarpun berkompromi dilihat sebagai bentuk kesederhanaan, jalan terbaik dan memuaskan semua pihak, ia sebenarnya adalah pintu kepada terbukanya pelbagai masalah baru.
Satu kes psikiatri yang dikongsi beliau jelas menunjukkan sesetangah hal kompromi bukan jalan terbaik, bahkan merupakan jalan yang mesti dielakkan. Kes tersebut berkenaan seorang kanak-kanak yang terpaksa berhadapan dengan penceraian kedua ibu bapanya. Dalam konflik yang berlarutan, dengan tekanan untuk memilih samaada untuk tinggal dengan ibu atau bapanya, dia akhirnya memilih untuk berkompromi dengan tinggal berselang-seli antara keduanya. Dia memilih untuk tinggal seminggu di rumah bapa dan seminggu di rumah ibunya walaupun mereka tinggal hampir 50 kilometer antara satu sama lain. Akibat pilihannya ini, dia terpaksa memilih untuk bersekolah di sebuah bandar antara dua rumah ibu dan bapanya ini.
Akibat pilihan yang dibuat, dia akhirnya terpaksa melalui hidup yang penuh tekanan. Penat akibat sentiasa berulang-alik antara dua bandar, kedudukan sekolah yang jauh, tiada kawan disebabkan dia tinggal jauh dari sekolah dan takanan akibat terpaksa ‘membahagikan’ kasih sayang antara kedua ibu bapanya setiap minggu menjadikannya tertekan dan akhirnya mengalami kemurungan.
Kes ini merupakan contoh klasik di mana jalan tengah merupakan pembuka kepada lebih banyak masalah. Ia juga menjadi titik penting untuk kita memahami bahawa dalam kontek tertentu, jalan terbaik adalah bertegas dengan keputusan, walaupun ekstrem dan seterusnya mengambil sepenuh tanggungjawab peribadi dari pilihan yang dibuat.
Saya tidak dapat lari dari merefleksi apa yang saya fahami dari kes ini dan cuba melihatnya dari perspektif politik Islam dan Malaysia secara khususnya. Saya kira ramai yang bersetuju bahawa umat Islam hari ini tersepit dalam percaturan politik seperti tersepitnya seorang anak kecil yang menghadapi perceraian ibu bapanya. Dalam keadaan tertekan dan ditekan, ia harus memilih satu diantara dua. Tambah rumit apabila disekeliling merka penuh dengan ancaman, tekanan, tuntutan dan tawaran yang datang dengan pelbagai bentuk oleh pelbagai pihak.
Dalam sudut yang berbeza, pihak yang menawarkan diri menjadi ‘ibu dan bapa’ juga berhadapan dengan pelbagai bentuk dan rupa tekanan, ancaman dan tawaran yang mendesak mereka menjawab dan bertindak dengan respon masing-masing.
Jalan mudah yang menjadi kebiasaan dan pilihan ialah memilih jalan tengah dan berkompromi, supaya akhirnya semua pihak berpuas hati dan tidak ada mana-mana pihak yang rugi. Namun saya kira hujah yang ditimbulkan diatas menuntut kita berfikir semula apakah berkompromi dan mencari jalan tengah merupakan penyelesaian atau sebenarnya mukadimah kepada permasalahan yang lebih besar.
Di sinilah tuntutan aqidah yang sejahtera, iman yang mendalam, fikiran yang matang, hujah yang jelas dan akhlak yang mulia menjadi bahan asas terpenting dalam kita membuat keputusan. Apatah lagi dalam setiap keputusan yang kita buat akan memberikesan kepada survival umat Islam secara amnya.
Artikel ini bukan bertujuan untuk menjadikan kita ektremis dan menjuarai tuntutan ektremis, tetapi sebagai peringatan yang datang dengan kasih sayang menuntut ummat Islam seluruhnya menilai tindakan kita dalam membuat keputusan. Jangan menjadi ummat yang malas dengan membiarkan suasana membut keputusan bagi pihak kita, apatah lagi dalam soal masa depan bangsa dan agama. Ia menuntut kita berfikir, menimbangkan sebaiknya dengan neraca yang betul supaya kita tidak terjebak dengan gelaja ambil mudah dan pilih jalan tengah.
Kalau kompromi yang dituntut zaman Nabi jelas – bergilir menyembah tuhan, berselang menunaikan tuntutan agama, malangnya tuntutan hari ini lebih halus dari itu. Musuh yang datang dalam bentuk yangberbeza masih kekal dengan agenda yang sama iaitu menghakis jati diri kita. Namun apa yang dituntut ialah, dalam soal akidah, sama ada tuntutan itu terang atau samar, reaksinya wajib tetap serupa. Tidak ada jalan pertengahan – Islam atau sebaliknya, wahyu atau nafsu.
“Untuk kamu agama kamu, untuk aku Agama aku”. (Surah Al -Kafirun: 6)
Oleh:
Dr. Rozanizam Zakaria
Aktivis ISMA Australia
Blog: Fussilat
Jalan mudah yang menjadi kebiasaan dan pilihan ialah memilih jalan tengah dan berkompromi, supaya akhirnya semua pihak berpuas hati dan tidak ada mana-mana pihak yang rugi. Namun saya kira hujah yang ditimbulkan diatas menuntut kita berfikir semula apakah berkompromi dan mencari jalan tengah merupakan penyelesaian atau sebenarnya mukadimah kepada permasalahan yang lebih besar.