Di sebalik muslihat barat
Untuk memahami krisis penjajahan di Palestin kita mesti melihat visi dan matlamat negara berkuasa besar dan percaturan kuasa politik di Amerika dan juga di negara-negara Eropah. Daripada kefahaman ini kita mungkin dapat gambaran punca masalah sebenar serta jalan keluar dari konflik.
Obama merupakan Presiden Amerika Syarikat, kali ini adalah penggal kedua bagi Obama berperanan menjaga kepentingan Israel. Dari sudut politik Obama sangat berkuasa dan berpengaruh di Eropah dan Timur Tengah, beliau sangat berpeluang bagi menyelesaikan konflik penaklukan Israel ke atas Palestin. Sewajarnya konflik Palestin yang sangat panjang ini diselesaikan oleh Presiden Amerika Syarikat sekarang.
Dari satu sudut lain, umat manusia sejagat dan negara-negara dunia begitu lama memerhatikan cara dan penyelesaian yang diambil oleh Amerika dan barat yang dilihat tidak menyelesaikan keadaan di Palestin dan di negara timur tengah.
Keadaan jiran Palestin, Syria yang bergolak dalam peperangan yang menunggu campur tangan ketenteraan kuasa dunia. Sedangkan isu Palestin dibiarkan melalui projek damai yang telah memakan masa berpuluh tahun, ini jelas menampakan isu perdamaian bagi Palestin merupakan permainan dan sandiwara politik hegemoni blok barat. Kenapa? Kerana Palestin telah berada di bawah cengkaman kuasa dan pengaruh ketenteraan mereka.
Analogi ini dapat difahami dengan melihat pergolakan dan pertumpahan darah di Syria mungkin akan berlarutan kepada campur tangan kuasa-kuasa dunia. Sekarang ini pun bantuan senjata pemusnah bom dari Amerika dan Eropah telah berada dalam kancah konflik di sana. Mereka akan terus berada di sana untuk menguasai lokasi paling strategik dunia tersebut. Mereka akan mempergunakan tenaga manusia tempatan yang diberikan senjata dan dana, termasuk kumpulan Islam atas nama pembebasan seperti yang berlaku di Iraq dahulu.
Pada masa yang sama kuasa besar di Asia seperti Rusia, China, Iran dan sekutu mereka menyokong Syria dalam konflik yang berpanjangan tersebut dengan dana dan senjata. Pakatan ini juga berperanan untuk menentukan lokasi strategik itu berpihak kepada pakatan mereka. Hakikat perperangan di Syria adalah antara blok Barat dan blok Asia. Orang muslim hanyalah mangsa kepada nafsu barat dan kemudian mereka terpaksa akur dengan perjanjian baru apabila selesai perperangan.
Kejayaan menangani dan menyelesaikan konflik di Syria akan menentukan status Lubnan dan juga penjajahan regim Zionis Israel di Palestin. Sekiranya kemenangan peperangan di Syria kepada kumpulan pro barat maka Israel akan bertukar menjadi regim yang lebih dominan, kerana ancaman dari Utara yang lebih keras telah hilang.
Tetapi sekiranya Syria dipulihkan tanpa campur tangan barat serta kerajaan baru nanti mendaulatkan kebebasan dan keadilan kepada rakyat, maka Israel menghadapi masalah besar. Agak sukar bagi Syria baru yang tidak berpihak kepada mana-mana blok kuasa besar. Masalah ekonomi, pembangunan negara, sumber kewangan, persenjataan akan terus menjadi pokok masalah kerajaan yang bersendirian. Pada akhirnya kerajaan baru di Syria akan tetap bersama blok kuasa barat atau blok kuasa Asia.
Negara Islam dan orang Islam perlu sedar mereka perlu bangun sebagai kuasa kesatuan dan satu umat contoh yang sejahtera. Mereka boleh bersahabat dan berpakat dengan siapa yang boleh menguat dan menguntungkan mereka. Serta bermusuhan dengan mereka yang merugikan mereka.
Sejak regim Mubarak tumbang dan kerajaan baru pilihan rakyat memerintah Mesir, kedudukan Israel agak terancam dari sebelah selatan. Polisi Mesir yang menyokong Palestin merupakan kuasa besar yang menyokong kedaulatan Palestin serta mengancam penjajahan Israel. Walaupun begitu Mesir terpaksa bergantung kepada plan ekonomi barat dan juga kuasa Asia. Ini kerana negara-negara umat Islam masih belum bersatu dan menjadi satu umat yang berkuasa.
Umat Islam dan negara umat Islam di Afrika, Eropah, Asia Tengah dan Asia Timur menunggu-nunggu pembebasan Palestin daripada penjajahan Israel dan pencaturan kuasa imperialis barat. Perjuangan Palestin bagi umat Islam adalah perjuangan besar dan penting. Perjuangan tersebut sampai ke setiap orang muslim sehingga anak kecil di hujung kampung yang terpencil sudah memahaminya.
Umat Islam telah menyumbangkan berjuta-juta wang ringgit untuk membantu Palestin, bantuan zakat, bantuan perubatan, makanan, pakaian, pembinaan, biasiswa pendidikan, sejak berpuluh tahun. Mereka juga bersedia menjadi sebahagian daripada sukarelawan dan tentera negara umat Islam bagi perjuangan pembebasan tersebut.
Sewajarnya Presiden Amerika Syarikat dan negara barat dapat memahami kejayaan menamatkan konflik penjajahan Israel merupakan noktah penting pertama bagi mendamaikan konflik kemarahan dan ketidakpercayaan umat Islam terhadap agenda Amerika dan kuasa barat.
Hari ini umat Islam dan juga masyarakat dunia yang berada di blok timur dan sebahagian besar di barat tidak percaya lagi dengan inisiatif Amerika dan Barat, berkaitan penyelesaian isu-isu di Timur Tengah. Kebanyakan slogan dan seruan barat adalah sekadar retorika, tiada penyelesaian yang menguntungkan.
Pengalaman mengajar negara-negara umat Islam apabila berpakat dengan agenda kuasa asing barat, pakatan tersebut menjadikan mereka mangsa yang dikerumuni, disedut kekayaan mereka sehingga menjadi lemah, negara itu dibiarkan dalam krisis pembangunan, politik dan ekonomi, sebagai contoh lihatlah Iraq dan Afghanistan.
Ini merupakan faktor sebenar imej barat yang dilihat sebagai pemeras kekayaan, mengeksport budaya dan nilai materialistik, kelab malam, disko, pelacuran, mabuk, judi, pergaulan bebas, zina bebas, ajaran sesat dan songsang, merendahkan agama dan pelbagai masalah nilai. Barat menghalang nilai dan standard Islam melalui liberalisme dan sekularisme. Mewujudkan konflik di dalam negara umat Islam atas nama demokrasi.
Oleh yang demikian tindakan dan agenda barat merupakan sumber kejahatan. Imej barat ini akan menjadi semakin buruk pada umat Islam. Pandangan dan idea daripada pemikir atau perunding dari negara barat akan mengandungi norma yang bercanggahan dengan jiwa masyarakat timur dan nilai Islam. Mereka juga dicurigai mempunyai maksud tersirat yang merugikan ekonomi dan kuasa politik umat Islam.
Kesan peperangan di Iraq, Afghanistan dan Pakistan sewajarnya diingati oleh Amerika dan Barat bagaimana rakyat Iraq, Afghanistan dan Pakistan terus memusuhi dan memerangi Amerika, Eropah dan konco-konconya. Mereka melabel dan menjadikan tentera Amerika dan konconya serta syarikat barat sebagai pengganas dan anjing jahat.
Kesan kerugian dari sudut politik, ekonomi kepada Amerika dan barat adalah lebih besar dari keuntungan yang diperolehi dari peperangan dan penaklukan tersebut.
Ustaz Mukram Mohd Taib
Aktivis ISMA
masalahnya saudara mukram ; malaysia bersama barat untuk hancurkan islam. PM najib menyatakan kudeta ini kerana masalah arab spring dan kelemahan dr. Mursi. itulah sokongan bersama dgn obama. maka Obama pun sanggup datang melawat malaysia akhir tahun ini. amin.
syiah mcm yahudi.tak kuat ok.klu dah kuat.negara huru hara.