PTPTN dan CCRIS: Satu keperluan?
Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh telah membuat pengumuman bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merancang untuk menyenaraikan nama mereka yang telah disenarai hitam ke dalam senarai Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) oleh Bank Negara Malaysia. Selain dari bertujuan untuk memberi galakan kepada para peminjam untuk membayar pinjaman pelajaran tersebut, Datuk Seri Idris Jusoh juga berkata pelaksanaan CCRIS tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada generasi seterusnya.[i]
Langkah ini telah mendapat tentangan dari pelbagai pihak baik dari pihak pemerintah mahupun pembangkang. Ada yang menyatakan bahawa pinjaman PTPTN ini merupakan satu keperluan dan tidak sama seperti pinjaman rumah dan kereta. Ada juga yang menyatakan bahawa ini menyukarkan peminjam mendapat pinjaman rumah dan kereta akibat daripada tindakan yang bakal diambil oleh PTPTN. Dan ada juga yang tidak bersetuju dengan alasan pemerintah gagal untuk menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat meskipun menurut bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah, kos pengajian telah disubsidi sebanyak 90 peratus.[ii]
Akhirnya, cadangan tersebut telah ditangguhkan perlaksanaannya. Berdasarkan pembacaan dari komen-komen dan bantahan yang diketengahkan, tidak banyak yang cuba menekankan terhadap adjektif peminjam PTPTN yang akan dimasukkan ke dalam senarai CCRIS iaitu mereka yang disenarai hitamkan.
Mereka yang disenaraikan hitamkan mungkin terbahagi kepada 2 golongan :-
1) Golongan yang benar-benar tidak mampu membayar hutang.
2) Golongan yang sengaja tidak mahu atau tidak berusaha untuk membayar hutang.
Untuk golongan yang pertama, sekiranya anda tidak mampu untuk membayar pinjaman pelajaran anda (mungkin kerana tidak mendapat pekerjaan dan lain-lain), PTPTN ada memberi tempoh untuk menangguhkan pembayaran.
Setelah pelbagai cara dilakukan dan anda masih tidak mampu lagi untuk membayar hutang anda; anda sememangnya tidak mampu untuk berhutang lagi. Maka penyenaraian pinjaman PTPTN anda di dalam CCRIS dapat membantu pemberi pinjaman menilai kemampuan anda untuk berhutang. Jika anda memang tidak layak untuk berhutang, langkah ini dapat melindungi anda dari masalah hutang yang lebih banyak. Khidmat nasihat dan bantuan boleh didapati dari Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu untuk menyelesaikan masalah hutang anda.
Untuk golongan yang kedua, beringatlah pada maksud sabda Nabi SAW: –
“Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya”
(Riwayat Al-Bukhari, 2/83)
Maka penyenaraian pinjaman PTPTN bagi golongan yang kedua dalam CCRIS dapat membantu agar profil lengkap kredit mereka dapat dilihat oleh pihak yang bakal memberi pinjaman kepada mereka. Pihak pemberi pinjaman juga dapat menilai sikap mereka terhadap bebanan hutang yang ditanggung. Selain itu tindakan ini juga boleh dianggap sebagai penalti atau insentif untuk mereka membayar hutang.
Berdasarkan maklumbalas daripada seorang pegawai pekhidmatan PTPTN ketika dihubungi serta melalui juga rujukan dari akhbar-akhbar, hal ini tidak perlu dibimbangi oleh mereka yang mempunyai rekod bayaran yang baik kerana hanya mereka yang disenarai hitamkan sahaja yang akan disenaraikan pinjaman mereka di dalam CCRIS.
Pinjaman pelajaran yang diberikan oleh PTPTN kepada para pelajar adalah satu bentuk hutang. Maka, tindakan PTPTN menyenaraikan peminjam yang disenaraikan hitamkan merupakan satu tindakan yang wajar jika mereka tidak mempunyai sebab yang relevan untuk tidak membayar pinjaman tersebut. Hal ini kerana hutang merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan oleh peminjam. Keseriusan pelunasan hutang oleh seseorang boleh dirujuk melalui maksud sabda hadis Nabi SAW: –
“Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)”
(Riwayat Muslim, 6/38)
Pelajar juga mempunyai alternatif dalam menyelesaikan hutang pinjaman pelajaran melalui pengecualian dari membayar pinjaman sekiranya mereka mencapai syarat pengecualian bayaran untuk pinjaman tersebut. Terdapat juga kes-kes di mana peminjam datang berbincang dengan pihak PTPTN dan mereka berjaya berunding dengan PTPTN dalam mencapai penyelesaian bagi pinjaman mereka seterusnya mengelak dari disenarai hitam.
Pinjaman PTPTN mungkin merupakan sebahagian daripada pinjaman yang perlu dihadapi oleh kebanyakan graduan atau pekerja. Beban untuk menyelesaikannya ketika peringkat permulaan bekerja amat difahami akibat kos hidup yang tinggi dan gaji permulaan yang mungkin kecil. Dicadangkan agar pihak kerajaan dapat mengimplementasi polisi-polisi (tidak terhad kepada bantuan yang dapat meringankan beban rakyat) dalam hal-hal berkaitan dengan keperluan asas seperti rumah pertama dan lain-lain yang berkaitan dengan lebih efisien agar dapat membantu golongan sasaran terutamanya mereka yang berkeluarga.
Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi pada ketika ini, para peminjam boleh memainkan peranan dengan menggunakan duit pinjaman tersebut dengan penuh berhemah selaras dengan maksud firman Allah swt: –
Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
(Al Furqan: 67)
Paling kurang, pastikan para pelajar mengenalpasti antara keperluan dan kemahuan ketika berbelanja. Bagi pelajar yang berpandangan jauh, mereka pasti memikirkan bagaimana untuk memastikan pinjaman tersebut dapat membantu mereka pada masa hadapan.
Nasihat yang sama juga perlu diambil perhatian bagi para graduan terutamanya yang baru mendapat pekerjaan dan juga mereka yang telah lama bekerja. Diharapkan kita dapat menilai objektif untuk memiliki sesuatu barang selaras dengan kemampuan. Ukurlah baju di badan sendiri sebelum membuat keputusan dalam berbelanja dan berhutang. Harus di ingat bahawa pendapatan yang diperoleh pada hari ini tidak semestinya kekal.
Kepada para ibu dan bapa yang mampu, mulakanlah menabung untuk pendidikan anak-anak anda di masa hadapan melalui pelbagai skim patuh syariah yang terdapat di pasaran.
“Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya“
(Riwayat Al-Bukhari, 2/83)