Pengajaran isu Mesir dari sudut manhaj perubahan – Ahmad Fahmi Abdullah
Tentu sahaja Revolusi 2011 di Mesir dahulu dianggap sebagai revolusi rakyat dalam menuntut sebuah negara demokrasi, bebas daripada kezaliman dan kebebasan bersuara. Pernah satu hari, saya bertanya kepada seorang pemandu teksi tentang apa yang mereka mahukan selepas revolusi ini. Rata-rata mereka menjawab “aku mahu harga minyak turun, harga barang-barang turun dan aku mahu hidup senang!” Pelik bukan? Semudah itu mereka berfikir. Namun, tidak ada salahnya membuat permintaan sedemikian. Bagi kami, penuntut di sini turut merasa bebanan ekonomi sedemikian. Namun, benarkah dengan demonstrasi menggulingkan kerajaan mampu mengabulkan 1001 permintaan itu?
Bermula selepas Mantan Presiden Husni Mubarak mengumumkan perletakan jawatannya, kemudian diganti dengan kerajaan tentera sementara (SCAF) yang diketuai oleh Omar Suleyman, pertabalan Dr Muhammad Mursi sebagai presiden sehinggalah penggulingan oleh tentera semula, saya kira ratusan bahkan ribuan demonstrasi jalanan menuntut seribu macam perkara. Bermula dengan pemilihan ahli kabinet, penggubalan perlembagaan Mesir, sehinggalah kepada kes keracunan makanan di asrama lelaki Universiti Al-Azhar, semuanya menggunakan metod demonstrasi bagi menyelesaikan satu-satu masalah.
Natijahnya, tiada perubahan besar yang mampu dilakukan, bahkan selepas General As-Sisi mengambil alih pemerintahan, terus beliau mengharamkan sebarang bentuk perkumpulan. Lebih teruk daripada itu, pengajian agama di masjid-masjid, khutbah-khutbah yang tidak berdaftar tidak dibenarkan sama sekali dan tindakan tegas akan diambil jika melanggar undang-undang tersebut. Pertama kali dalam sejarah, selepas pembunuhan beramai-ramai berlaku, tiada solat jumaat didirikan di Mesir. Mujur hanya sekali.
Rasulullah s.a.w. diutuskan untuk membawa perubahan. Bukan setakat pada masyarakat Arab, bahkan seluruh alam. Kita semua tahu latar belakang keadaan manusia ketika baginda dilahirkan dan seterusnya dibangkitkan sebagai Rasul yang terakhir. Kita juga tahu perubahan yang berlaku selepas itu. Sememangnya, suatu perubahan yang besar dan agung telah berlaku dan terus berlaku setelah pemergian baginda s.a.w. Baginda meninggalkan suatu tamadun yang tiada tolok bandingnya di sepanjang sejarah manusia di atas muka bumi ini. Soalannya ialah bagaimana baginda melakukan perkara yang hebat itu?
Hakikatnya, perubahan yang mencengkam dan mendasar perlu memiliki beberapa ciri-ciri khusus. Antaranya, mempunyai fasa-fasa tertentu dan beransur-ansur dalam perubahan di setiap fasa. Bermula dengan proses mendidik ummat, menyucikan jiwa, memastikan agar ruh kembali bernafas, menekankan tentang prinsip-prinsip kebenaran, jihad, amal dan kebajikan. Fasa awal Ar-Rasul di Makkah bermula dengan menanamkan aqidah yang utuh dalam diri setiap muslim ketika itu. Atas batu asas inilah arus Islam terus kekal ke hari ini walaupun kadang-kadang dicabar oleh perang salib 9 siri, serangan kuning dari barat dan banyak lagi ancaman kepada Islam hari ini. Mana mungkin tertegaknya daulah Islam di atas jasad-jasad yang mati.Tanpa batu asas yang kukuh, tidak mungkin sebuah bangunan mampu dibina.
Kemudian, dari asas tersebut barulah dakwah sedikit demi sedikit membentuk daulah. Bukan langkah ke arah itu yang mahu saya perincikan secara mendalam. Tetapi satu persoalan yang mahu dilontarkan. Adakah projek ke arah negara Islam itu satu matlamat?
Secara ringkasnya, negara Islam itu salah satu rantaian daripada rantaian masa dahulu dan akan datang. Rantaian dakwah yang sangat panjang bermula dari Ar-Rasul sehinggalah kiamat. Bahkan Negara Islam itu salah satu wasilah dan bukannya matlamat. Matlamat yang sebenar ialah, menegakkan syari’at Allah di bumi.
Satu lagi elemen penting dalam perubahan yang mendasar ialah, wujudnya pendokong-pendokong yang kuat, memiliki daya tahan yang tinggi, sanggup berkorban, mewakafkan jasadnya untuk dakwah. Seperti yang pernah diungkap oleh Imam Hasan Al-Banna,”dengan demikian, tidak diragukan lagi, kalian akan memasuki fasa diuji. Kalian akan dipenjara,dibunuh, ditahan, diusir,harta kekayaan kalian dirampas,dibuang kerja, rumah-rumah kalian akan digeledah serta diawasi.”
Derap sepatu rijal masih belum kedengaran. Ummat termanggu menanti sinar disebalik kegelapan yang semakin lama semakin tenat. Mana mungkin munculnya cahaya jika bukan kita bahan bakarnya. Bersediakan kita menjadi salah seorang daripadanya?
“Agama ini membangun melalui jihad generasi silam yang berlandaskan asas-asas yang kukuh iaitu keimanan kepada Allah, mengenepikan kesenangan hidup yang sementara kerana mengutamakan kehidupan yang kekal abadi. Berkorban dengan darah, nyawa dan harta demi menegakkan kebenaran. Cintakan mati pada jalan Allah dan semua ini dilalui dengan berlandaskan pimpinan al-Quran al-Karim.
Jadikanlah segala asas yang kukuh ini sebagai landasan kebangkitan kamu, perbaiki diri kamu, pusatkan dakwah kamu dan pimpinlah umat ini ke arah kebaikan. Allah akan bersama kamu dan Allah tidak akan mensia-siakan amalan kamu.”. – Risalah Muktamar Khamis, Imam Hasan Al-Banna.
Ahmad Fahmi Abdullah
Pelajar Kuliah Perubatan Universiti Al-Azhar Mesir
AJK ISMA Mesir
009:097 Orang-orang Arab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
009:098 Dan sebahagian dari orang-orang Arab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil menunggu peredaran zaman (yang membawa bala bencana) menimpa kamu; atas merekalah (tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh) peredaran zaman yang buruk itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.