Adakah Mesir kekal di bawah As-Sisi?
Bagi sesiapa yang peka dengan keadaan Mesir sekarang akan mendapati situasi negara itu semakin menuju kepada dua keadaan yang jelas :
1. Semakin besar jurang antara rakyat penyokong Morsi dan penyokong tentera. Penyokong Morsi yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat biasa tidaklah menyokong Morsi sebagai Islamis namun mereka marah terhadap kekejaman yang berlaku.
2. Pihak askar semakin hari semakin ganas dan agresif. Ini dapat dilihat apabila bilangan yang ditangkap sudah mencecah 7 ribu orang berdasarkan laporan Aljazeera dan CNN sejak awal kejatuhan Morsi sehingga awal bulan Oktober.
Jumlah angka korban pula tidak dapat dikenalpasti. Namun yang jelas dalam demonstrasi aman pada 6 Oktober lalu seramai 53 orang telah dibunuh.
Persoalan yang timbul, di dalam keadaan begini apakah nasib Mesir selepas ini? Adakah akan kekal di bawah pemimpin kejam As-Sisi?
Bagi penyokong Morsi dan rakyat yang tidak berpuashati, untuk tunduk atas tuntutan tentera sudah ke tahap 99.9 peratus mustahil, kerana nyawa sudah menjadi harga, malah ribuan yang ditangkap jelas tidak akan memuaskan rakyat.
Manakala untuk tentera pula, jika mereka berhenti, ia menandakan kebaculan dan kelemahan mereka, jadi mereka juga di dalam keadaan tidak akan berundur.
Di dalam keadaan ini, faktor yang menentukan masa depan Mesir adalah pengaruh pihak yang mana satu yang akan lebih tersebar dan mempengaruhi rakyat Mesir yang berbaki lalu mengalahkan pihak lawan.
Contohnya, andai kekuatan pihak Islamis semakin naik dengan sokongan rakyat dan berjaya mempengaruhi sebahagian askar yang masih murni dan jelas dengan permainan musuh Islam yang berlaku, maka merekalah yang bakal menguasai dan membentuk keadaan Mesir untuk masa hadapan.
Begitu juga sebaliknya, andai askar mampu melumpuhkan gerakan rakyat dan mempengaruhi baki rakyat supaya tidak menyertai pro Morsi dan duduk bekerja dan beristirehat seperti biasa, maka pihak tentera bakal mendapat keuntungan.
Pada pemerhatian saya, petanda awal menampakkan pihak Islamis makin kukuh dan semakin berpengaruh terhadap rakyat Mesir yang lain. Sudah semakin jelas bahawa apa yang berlaku merupakan permainan musuh Islam dan tentera hanya menjadi boneka untuk sekalian lama.
Malah tentera tersepit dengan limitasi kewangan apabila hutang negara Mesir memuncak dan inflasi semakin meninggi. Bahkan sudah meningkat 5 kali ganda berbanding sebelumnya. Bayangkan harga bahan mentah seperti tomato, sebelum ini berharga 2 Le sekilo kini sudah naik menjadi 10 Le. Semua ini bakal membuatkan rakyat menuding jari kepada tentera.
Namun tidak dinafikan tindakan tentera memberikan cabaran yang berat dan bukanlah perkara yang mudah untuk ditempuh.
Walaupun begitu, penyelesaian krisis yang diharapkan tidaklah semudah tersebar pengaruh mana-mana pihak. Penyelesaian tidak akan muncul dalam tempoh setahun hingga dua tahun, dan boleh jadi impian kita melihat Islam kembali bertapak di Mesir berlaku dalam sepuluh tahun.
Namun keyakinan kita dengan janji Allah untuk memberi kemenangan kepada mereka yang beriman dan berjuang dengan ikhlas tidak akan padam. Kita yakin mereka akan bangkit dan kembali ke tempat sepatutnya, namun bila dan bagaimana itu terlalu sukar untuk diukur, yang pasti mereka di sana berusaha sedaya upaya dan di sini kita dituntut untuk berdoa sebagai usaha.
Semoga Allah menyelamatkan Mesir dan menjadikan aman dan Islam tertegak di sana. Wallahua’alam.
Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Ahli Jawatankuasa Pusat ISMA cawangan Mesir
org beriman berjihad; kalah/mati = sahid;
menang, kejayaan berganda…
apakah Mesir menjadi sama seperti Palestin? yg berbeza hanya nama, Palestin atau Mesir, Israel atau As Sisi. hakikatnya sama, Haq vs Bathil. Kita akan saksikan kehidupan Mesir spt kehidupan Palestin? Hamas serang Israel. Pro Morsi serang As Sisi? selepas ini ……