ISMA ekstrim dalam adab ikhtilat?
“ISMA ni extreme sangat lah dalam isu ikhtilat!”
“Takkan kena asingkan brothers dan sisters sampai macam tu sekali?”
“Tak bestlah macam ni kalau tiada aktiviti yang campur lelaki dan perempuan.”
Begitulah antara keluhan yang sering diajukan oleh adik-adik kepada ahli-ahli ISMA mengenai extremenya kami mengenai isu ikhtilat. Extreme yang dimaksudkan oleh adik-adik itu mungkin hasil daripada pemerhatian mereka sepanjang penglibatan dalam program-program anjuran ISMA Australia. Lalu, timbul kehairanan dalam pemikiran mereka apabila melihat dalam kalangan ahli-ahli ISMA ini, antara lelaki dan perempuan kami tidak bertegur sapa, apatah lagi bergurau senda, malah komunikasi antara kami amat minimum sekali. Hairan!
Sebagai contoh, dalam program Winter Gathering 2013 anjuran ISMA Australia cawangan Victoria baru-baru ini, peserta lelaki dan perempuan hanya duduk bersama dalam program berbentuk kuliah atau pembentangan sahaja (peserta lelaki di bahagian hadapan dewan manakala peserta perempuan di bahagian belakang dewan).Adapun aktiviti-aktiviti lain seperti riadhah, bengkel dan LDK, semuanya dijalankan secara berasingan antara lelaki dan perempuan.
Adik-adik sekalian,
Sebenarnya, apa yang kami yang lakukan ini bukanlah suatu perkara yang ekstrim. Sebaliknya, kami hanya melaksanakan tuntutan asas dalam ikhtilat. Dalam masa yang sama, kami ingin memberi kefahaman kepada adik-adik mengenai pelaksanaan ikhtilat secara praktikal.
Allah telah berfirman di dalam Al-Quran:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka…” (Surah An-Nur: 30)
Sudah jelas di sini bahawa Allah memerintahkan hamba-Nya yang beriman untuk menundukkan pandangan. Jika kita kaji dengan lebih mendalam tentang aspek ini, kita akan dapati bahawa kita bukan sahaja dilarang untuk melihat aurat bukan mahram, bahkan bahagian bukan aurat pun turut dilarang.
Sebuah hadis menyebut:
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam berkata kepada Ali radliyallahu ‘anhu:
“Wahai Ali janganlah engkau mengikuti pandangan (pertama yang tidak sengaja) dengan pandangan (berikutnya), kerana bagi engkau pandangan yang pertama dan tidak boleh bagimu pandangan yang terakhir (pandangan yang kedua),” (HR Abu Dawud dan At-Tirmidzi, dihasankan oleh Syeikh Albani)
Selain menjaga pandangan, kita juga dituntut untuk menjaga batas-batas pergaulan. Berjumpa, bercakap, dan berbincang hendaklah dilakukan berdasarkan keperluan dan objektif yang jelas serta mengikut syariat Islam. Islam melarang lelaki dan perempuan berdua-duaan di tempat tertutup, perbincangan yang diselangi dengan gurauan, gelak tawa, kata-kata manis, dan juga nada suara yang manja hendaklah sedaya upaya dielakkan. Semua ini bertujuan untuk mencegah daripada kita terjebak ke jurang kemaksiatan dan juga menjaga maruah diri terutamanya bagi wanita.
Maka atas kefahaman inilah, kami (ahli-ahli ISMA) beramal dalam kehidupan kami. Walaupun kami bergerak dalam satu organisasi yang ditunjangi ukhuwwah, kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan tiada ruang percampuran antara kami sama ada di dalam program umum, program khusus mahu pun mesyuarat.
Sememangnya pada masa kini, arus permodenan menyebabkan nilai-nilai Islam semakin kurang diamalkan manakala nilai-nilai dari Barat pula menjadi ikutan. Oleh sebab itulah, pemuda dan pemudi yang menjaga ikhtilat akan dipandang pelik dan dilabel ‘jumud’. Namun kenapa perlu bersedih? Bukankah Islam itu datang dalam keadaan asing dan akan kembali menjadi asing? Maka beruntunglah jika kita memilih untuk menjadi “asing”.
Muhammad Farid Nazmi Md Lazim
Timbalan Ketua ISMA Victoria
Sumber: http://www.ismaaustralia.com/?p=5223
Masyaallah…