Islam: Identiti negara yang perlu dipertahankan
Saya berpeluang untuk sampai ke pelbagai buah negara di seluruh dunia. Ada yang saya singgah sebentar, ada yang saya menetap untuk tempoh yang lama. Dalam siri-siri perbualan sepanjang permusafiran ini, antara pemerhatian yang saya dapat simpulkan adalah, Malaysia dikagumi sebagai sebuah negara Islam yang sedang pesat membangun dan memiliki pencapaian dalam pelbagai bidang. Identiti Islam sememangnya telah diterima sebagai sebahagian daripada identiti negara. Bahkan, ada kalangan mereka yang terkejut apabila saya nyatakan bahawa orang Muslim di Malaysia adalah cuma lebih kurang 60% daripada keseluruhan penduduk, kerana sangkaan mereka peratusan orang Muslim melebihi 90% berdasarkan imej negara yang mereka kenal.
Namun isu identiti negara ini sememangnya perlu dilihat dengan lebih teliti disebabkan oleh dua realiti yang amat ketara pada pandangan saya. Realiti pertama ialah, sekiranya kita teliti perlaksanaan Islam di Malaysia dengan terperinci, sebenarnya apa yang membentuk imej atau identiti negara Islam itu cuma terbatas kepada perkara yang bersifat syiar atau simbol semata-mata sedangkan pengamalan Islam dalam semua aspek kehidupan belum pun terlaksana sepenuhnya. Realiti yang kedua yang perlu kita sedari ialah betapa syiar-syiar agama Islam yang ada pada hari ini pun sedang diganggu-gugat dan kelihatan seperti sedang dirombak satu persatu.
Realiti Pertama: Perlaksanaan Islam pada syiar semata-mata?
Realiti pertama yang saya sebutkan di atas, adalah satu tafsiran saya kepada suasana semasa. Malaysia dilihat sebagai sebuah negara Islam kerana masih dipimpin oleh pemimpin beragama Islam, dengan Islam tertulis dalam perlembagaan sebagai agama persekutuan, dengan adanya bacaan doa dalam majlis-majlis rasmi, dengan adanya institusi-institusi kerajaan yang berkait dengan agama Islam, dengan hari-hari kebesaran Islam diraikan sebagai cuti umum, dengan wujudnya sistem mahkamah syariah, perbankan Islam, universiti Islam dan wujudnya masjid-masjid yang menjadi sebahagian daripada landskap negara dan sebagainya.
Namun, adakah perlaksanaan Islam di Malaysia telah terlaksana sepenuhnya? Terus-terang bagi saya tidak sama sekali. Penghayatan Islam dalam ertikata melaksanakan ubudiyyah atau penghambaan sepenuhnya kepada Allah dalam segenap aspek kehidupan sebenarnya belum terlaksana. Kita cuma berhukum dengan undang-undang Islam dalam beberapa aspek tertentu dalam ruang lingkup yang sempit. Kita cuma menggunapakai beberapa asas dalam ekonomi Islam dalam sistem kapitalis dan sistem matawang dunia yang tidak selari dengan hukum-hakam Islam. Kita cuma mempelajari Islam sebagai salah satu subjek dalam kurikulum sekolah-sekolah kita. Kita cuma menggunakan beberapa penyelesaian yang bersifat Islam secara tempel-tempelan, untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul daripada sistem hidup yang tidak berasaskan Islam.
Tidak keterlaluan sekiranya saya katakan Islam cuma ‘digunakan’ dalam suasana yang membolehkan kita mendapat manfaat semata-mata, sebagaimana beberapa ayat Quran digunakan untuk memberi motivasi kepada pelajar dan pekerja, sebagaimana juga beberapa petikan ayat Quran dan Haadith yang cuma digunakan untuk mengubat masalah depresi dan menghilangkan tekanan. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa bagi sesetengah umat Islam, apa yang tinggal cuma amalan-amalan ritual yang tiada kaitan langsung dengan kehidupan mereka.
Adakah kita berpada dengan pencapaian kita dalam perlaksanaan Islam yang ada pada hari ini? Sesekali tidak, kita tidak akan berpada dengan apa yang ada, malah kita sepatutnya terus berusaha ke arah pengamalan Islam yang menyeluruh baik dari segi syiar mahupun dari segi maknanya. Baik dalam bentuk yang zahir mahupun perkara yang bersifat dalaman. Baik dalam perlaksanaan ritual-ritual, mahupun maksud yang sepatutnya dicapai daripada ritual tersebut.
Perubahan tidak bermula dari kosong
Apabila kita nyatakan bahawa kita tidak berpada dengan apa yang ada, kita juga tidak menidakkan pencapaian yang sudah sedia dicapai. Kita tidak sesekali menafikan usaha-usaha pembaikan yang telah pun diusahakan dalam pelbagai bentuk oleh mana-mana pihak sekalipun. Amat malang sekiranya ada pihak yang cuba untuk merombak pencapaian sedia ada atas alasan untuk menegakkan Islam yang sebenarnya. Islah atau usaha pembaikan tidak bermula daripada kosong, malah sebenarnya perlu dibina atas asas dan pencapaian sedia ada. Tindakan menidakkan apa yang telah dicapai sebenarnya adalah tindakan yang berundur ke belakang dan hanya akan merugikan umat Islam.
Realiti Kedua: Usaha merombak Identiti Sedia Ada
Banyak usaha yang telah dibuat oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab secara sedar dan terancang mahupun secara tidak langsung atau dipergunakan oleh pihak lain yang matlamat akhir mereka adalah untuk merungkai segenap perkara yang berkait dengan identiti Islam ini.
Sebagai salah satu contoh kewujudan usaha ini, saya bawakan apa yang telah dipamerkan untuk menggambarkan identiti negara kita Malaysia dalam Shanghai World Expo 2010. Antara yang menjadi tarikan pameran adalah pusat hiburan dan judi terkemuka di Genting Highland, gambar beberapa buah gereja, sejarah berkaitan masyarakat Cina peranakan (Baba Nyonya di Melaka) dan beberapa hasil seni berkaitan dengan agama Hindu. Penonjolan identiti negara dengan cara sebegini bukanlah satu isu remeh dan perlu dipersoalkan dengan terperinci. Apakah imej negara yang cuba ditonjolkan? Walaupun atas alasan `marketing` untuk menarik pelancong sekalipun, adakah kita mahu tonjolkan identiti negara kita melalui industri judi, gereja dan patung Hindu?
Mari kita perhatikan identiti-identiti yang mewakili negara kita Malaysia di mata dunia sekarang dan kita cuba fikirkan apa imej negara yang akan kita sedang tonjolkan di pentas dunia. Adakah negara Malaysia akan terus dikenali sebagai negara Islam dalam jangka masa sepuluh tahun lagi?
Usaha terbaru yang baru diwarwarkan untuk membina kuil Hindu di Klang yang disifatkan sebagai bakal menjadi tarikan pelancong ke Malaysia dengan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan perlu dilihat sebagai salah satu perkara yang bakal menyumbang kepada pembinaan identiti negara. Adakah kita perlukan kuil sedemikian sebagai salah satu identiti negara? Tidak cukupkah untuk kita gambarkan betapa kita memiliki toleransi agama yang cukup tinggi dengan wujudnya Pusat Pengembangan Agama Kristian terbesar di Asia bernama Calvary Convention Center? Tidak cukupkah dengan Malaysia memiliki patung emas Lord Murugan setinggi 42.7 meter di Batu Caves? Tidak cukupkah Malaysia memiliki patung Buddha sedang berbaring di Kelantan? Tidak cukupkah Malaysia dikenal sebagai pusat perjudian terkemuka Genting Highlands? Sekali lagi saya bawakan persoalan, apakah identiti negara Malaysia masa akan datang?
Dalam masa yang sama juga usaha-usaha untuk membawa masuk dan mengimport segala macam perkara daripada luar terus berlaku dengan pesatnya. Apa jua halangan dalam bentuk undang-undang, peraturan-peraturan dan peruntukan perlembagaan yang berkait dengan pemeliharaan identiti sedia ada dicabar satu persatu. Masyarakat Malaysia didedahkan dengan segenap perkara daripada luar atas nama globalisasi, hak asasi dan kebebasan media. Segala perkara yang membatasi usaha ini, seperti sekatan ke atas buku Irshad Manji, sekatan penggunaan perkataan-perkataan tertentu dalam penerbitan Kristian, sekatan ke atas penyebaran Al-Kitab yang dikatakan Bible dalam Bahasa Melayu, dan usaha-usaha ‘censorship’ akan dipersoalkan dan ditentang habis-habisan.
Jalan Keluar
Menghadapi dua realiti ini, menuntut rakyat Malaysia untuk kembali menilai pencapaian semasa dan menghargai keharmonian sedia ada. Umat Islam secara khususnya perlu keluar daripada zon selesa dan bertanya kepada diri sendiri, apakah identiti negara yang kita mahukan di tanah air kita ini? Adakah kita akan berpada dengan apa yang ada sedangkan apa yang tinggal pun sedang dirombak satu persatu.
Tentunya usaha mempertahankan pencapaian semata-mata tidak mencukupi. Usaha-usaha memperkasakan perlaksanaan Islam dalam segenap aspek kehidupan perlu dipesatkan dengan menggembeling setiap kekuatan yang masih bersisa. Kita berhadapan dengan arus perosak yang hebat yang sepatutnya menyedarkan kita untuk kembali bersatu demi agama Islam. Usaha ini seharusnya digerakkan dengan bersungguh-sungguh oleh segenap pihak tanpa mengira sempadan politik kepartian yang sempit, dan melewati segenap batasan yang memisahkan kita dan menjadikan kita umat yang boleh dicaturkan untuk mencapai agenda orang lain.
Zaizul Azizi Zaman
Aktivis ISMA
(Penulis adalah rakyat Malaysia yang pernah menetap di Australia dan Canada pernah berpeluang melawat pelbagai negara di Eropah, Asia dan Timur Tengah)
Kalo stakat ini jek pemikiran ko…rasa2 ko gi duk kat tengah2 laut tu….Identiti Melayu sendiri dah mula hilang dengan penerapan puak2 bukan Melayu seperti Banglastan, Pukistan, Bugistan, Sulukstan, Javastan, Batakstan, Keldaistan, Kerbaustan, Mamak Madeystan dan sebagainya, ni ko sibuk ngan identiti negara yg jauh lebih luas….Ko melawat negara tapi tidak berguna sebab negara2 ko lawat pong tu dan penduduk yg ko borak tu sama jek ngan puak2 ISMA…sama bodoh, sama bebal…merosakkan perpaduan dan porak perandakan negara……NGO camni patut dibubarkan dari menyebarkan penyakit2 kronik dikalangan masyarakat Malaysia…
krik2..krik2
saya tgk profil fb awak pun dah menunjukkan unsur pluralisme
awat la ko sibuk2 kat page isma ni…. layan IKRAM lah wey… geng depa ni tak patut layan pun….
awat la ko sibuk2 kat page isma ni…. layan IKRAM lah wey… geng depa ni tak patut layan pun….
Biasanya orang yang merendahkan orang lain dan buat statement takde hujah time serang orang ni ade penyakit hati. Tu jadi troll full time tu…
Biasanya orang yang merendahkan orang lain dan buat statement takde hujah time serang orang ni ade penyakit hati. Tu jadi troll full time tu…
Karam Al-Kiram ukhuwah teras kegemilangan. sesama NGO islam pun ada hak ukhuwah yang perlu dijaga.
apa yg anda komen menggambarkan peribadi anda,
peribadi anda cerminan pemikiran anda.
Allahu a'lam.