Tuntutan Comango dan jerutan Islam Moderat
COMANGO dan sejumlah tuntutannya yang menggugat syariat dan kedudukan Islam di Malaysia tidak boleh dilihat sebagai satu gerakerja terpencil dan bersendirian. Walaupun hanya sebilangan kecil daripada NGO-NGO yang bergabung sebagai COMANGO itu sah berdaftar dan tidaklah pula mewakili majoriti rakyat Malaysia seperti didakwa, percubaan mereka sebenarnya sebahagian daripada sinergi bersepadu yang digiatkan menerusi pelbagai pendekatan yang bermatlamat mencairkan keaslian Islam, menjauhkan umat Islam daripada asas-asas Islam yang sahih dan menyemai sikap mesra kepada polisi dan agenda Barat terutamanya Amerika Syarikat.
Seperti tidak dapat terselindung lagi, perkembangan sekitar tuntutan-tuntutan COMANGO kini dilihat sangat jelas berkait rapat dengan apa yang telah dirangka beberapa tahun dahulu oleh sebuah NGO pemikir berpangkalan di AS bernama RAND Corporation. NGO pemikir ini merupakan satu pertubuhan yang berfungsi mengkaji dan merumuskan pelbagai pelan tindakan yang menjadi asas kepada pembentukan dasar-dasar AS.
Pada tahun 2007, badan pemikir ini yang operasi nya dibiayai sebahagiannya oleh kerajaan AS, telah mencadangkan satu pelan tindakan dasar luar yang bertajuk Membina Jaringan Muslim Moderat (Building Moderate Muslim Networks). Pelan ini memperincikan bagaimana AS akan lebih berjaya dalam usahanya untuk mendekati dan seterusnya menguasai dunia Muslim jika menumpukan sumbernya kepada kerja-kerja membina rangkaian Muslim moderat ini.
Seperkara penting yang perlu difahami terlebih dahulu ialah ciri-ciri muslim moderat yang digariskan dalam pelan ini. Senarai ciri-ciri di bawah jika diperhatikan sangat selari dengan tuntutan COMANGO terutama yang berkenaan dengan syariat dan kedudukan Islam di Malaysia.
- Muslim moderat yang dimaksudkan ialah mereka yang mendokong demokrasi total (yang merangkumi segenap aspek termasuk pluralism dan hak asasi manusia secara mutlak).
- Muslim moderat yang dimaksudkan ialah mereka yang menolak konsep Negara Islam.
- Muslim moderat yang dimaksudkan ialah mereka yang menolak penguatkuasaan undang-undang syariah.
- Muslim moderat yang dimaksudkan ialah mereka yang mendokong idea kesamarataan gender dalam segala sudut.
- Muslim moderat yang dimaksudkan ialah mereka yang bersetuju bahawa Islam tidak wajar dianggap lebih tinggi berbanding agama-agama lain.
- Muslim moderat yang dimaksudkan ialah mereka yang mempertahakan kebebasan untuk keluar meninggalkan Islam.
Dalam membina jaringan muslim moderat ini, penekanan diberikan kepada pemilihan dan pembangunan pendokong idea (partners) di samping menentukan kaedah penyaluran sumber dan bantuan yang sesuai.
Antara kelompok berpotensi yang disasarkan ialah para aktivis komuniti dan golongan feminis terutamanya yang berlabelkan Islam seperti Sisters in Islam (SIS Forum). Mereka ialah antara pendokong kepada idea penafsiran semula hukum-hakam Islam di luar kerangka asalnya.
Golongan akademik dan pemikir juga antara mereka yang berpotensi kerana mereka mempunyai akses kepada sumber penyelidikan dan mampu mempengaruhi pendirian umum. Islamic Renaissance Front (IRF) misalnya merupakan antara badan yang memenuhi hampir kesemua senarai ciri Muslim moderat di atas. Perlu diingat bahawa walaupun IRF tidak menganggotai COMANGO, sejumlahtuntutan-tuntutannya yang menyanggah kedudukan dan syariat Islam di Malaysia didapati selari dengan mesej-mesej yang dibawa IRF.
Pelan tindakan itu turut menggalakkan pengembangan media-media alternative tempatan yang tidak semestinya berteraskan Islam tetapi cukup jika boleh diakses oleh majoriti Muslim. Media ini berperanan besar menentukan halatuju perbincangan yang berkisarkan isu-isu semasa berkaitan Islam dan sering memaparkan Islam dengan imej yang kolot dan sentiasa bersalah dalam setiap isu yang diketengahkan. Kita dapat saksikan sendiri bagaimana media seperti The Malaysian Insider dan Malaysiakini memanipulasi kandungan dan kaedah penyampaiannya seperti dalam isu kalimah Allah dantuntutan COMANGO ini.
Bagi memastikan kelangsungan perkembangan gagasan muslim moderat ini, pendokong idea ini tidak menghadkan usaha mereka dalam lingkungan sempadan negara masing-masing sahaja. International Centre for Islam & Pluralism yang berpusat di Indonesia ialah contoh kesungguhan kelompok ini untuk menyebarkan idea pluralism dan muslim moderat di rantau ini. Perlu kita maklum bahawa antara ahli lembaga pegarah ICIP yang berasal dari Malaysia ialah Zainah Anwar (SIS Forum), Dr Chandra Muzaffar (Presiden JUSTdan Yayasan 1Malaysia) dan Dr Farish Noor (ahli akademik).
Pelbagai aspek lain turut dibincangkan dengan terperinci dalam pelan tindakan tersebut.
Antaranya penekanan kepada keperluan untuk mengaburkan saluran bantuan dan sumber supaya tidak dilihat datang secara terus dari AS. Juga dihuraikan tentang keperluan untuk tidak dilihat terlalu secular dan memencilkan Islam kerana ini akan mudah menimbulkan kesangsian di kalangan masyarakat Islam secara umum.
Kajian terperinci ini dihasilkan setelah mengambil kira pandangan dan fikiran ramai tokoh dari kalangan orang Islam sendiri. Dalam senarai penghargaan di akhirpelan ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut disenaraikan sebagai antara penyumbang semasa beliau menjadi Felo Kanan di Universiti Georgetown.
Usaha untuk meletakkan label moderat kepadakelompok-kelompok ini sangat tidak tepat dan menyeleweng.
Bahkan pendekatan dan kecenderungan mereka boleh dikategorikan sebagai satu bentuk ekstremisme kepada kefahaman Islam yang syumul, sama seperti pendekatan yang cenderung kepada keganasan, Cuma berbeza pada polariti yang berlawanan. Apa yang diimpikan oleh mereka sebagai jaringan muslim moderat ini tidak mustahil akan menjadi satu jerutan kepada asas dan kefahaman Islam yang sahih jika dibiarkan terus berleluasa.
Kesimpulannya, umat Islam di Malaysia sangat perlu cermat dalam menilai sesuatu pendekatan dan pemikiran terutama sekali yang kelihatan asing dan didokongi pula oleh kelompok yang mesra kepada idea yang ditaja Barat.Umat Islam juga perlu melihat sebarang usaha menggugat kedudukan Islam di negara ini dalam konteks pertembungan sebenar yang lebih besar iaitu pertembungan antara Islam dan ideology hegemoni Barat. Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh cuai dan alpa dengan usaha-usaha giat di tanah air seperti tuntutan COMANGO yang sentiasa memanfaatkan semua peluang untuk mempersoalkan dan menjatuhkan kredibiliti Islam sebagai agama persekutuan.
Kepada umat Islam di Malaysia, bersatu dan bangkitlah.
Umar Hakim Mohd Tajuddin
Aktivis ISMA Gombak