Comango: Peluang di sebalik ujian
Kemunculan Comango yang diterajui NGO-NGO liberal telah memberi satu lagi bukti jelas tentang usaha berterusan golongan ini yang begitu bertekad untuk merobohkan kedudukan dan syariat Islam di negara ini. Di sebalik desakan mereka yang beralasankan hak asasi manusia tanpa batasan, motif dan hajat utama mereka nyata tidak dapat disembunyikan lagi jika kita merujuk kepada tuntutan-tuntutan seperti kebebasan untuk murtad, penghapusan sistem perundangan Syariah, pengiktirafan amalan seks songsang, penghapusan hak istimewa Melayu, kesamarataan semua agama dan kebebasan untuk menyebarkan ajaran seperti Syiah kepada umat Islam. Sungguhpun begitu, dalam menyusun langkah mendepani asakan mereka, umat Islam di Malaysia seharusnya turut menyedari lalu memanfaatkan beberapa hikmah yang turut hadir bersama ujian ini.
Belang Sebenar Terserlah
Tindakan terkini golongan liberal menerusi saluran Comango akhirnya membuka pekung agenda mereka seluas-luasnya dan umat Islam seharusnya tidak mencari-cari alasan lagi untuk terus bermanis muka melayan karenah mereka ini. Tidak sekadar konsisten dalam menggugat kedudukan Islam menerusi gerakerja NGO mereka, peneraju Comango melangkah setapak lagi dengan mula berani melobi kuasa luar secara sulit dan terang-terangan untuk memberi tekanan kepada Malaysia supaya mengubah kedudukan istimewa Islam dalam perlembagaan negara dan mengiktiraf semua tuntutan mereka di atas. Ini membuktikan mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk menghalang syiar Islam sehinggakan sanggup berkompromi dalam soal kedaulatan negara. Inilah wajah sebenar mereka dan inilah sikap mereka terhadap Islam dan ia telah terdedah dengan kemunculan Comango.
Giatkan Peranan
Kemunculan Comango juga telah membuka banyak ruang untuk seluruh umat Islam memainkan peranan dalam mendepani agenda liberalisme. Bahaya agenda ini mungkin agak kabur sebelumnya tetapi kini ia telah terzahir dan tersebar dengan berleluasa dan ini menuntut reaksi yang setara daripada umat Islam. NGO Islam seperti ISMA, Pembina, Muafakat, MACMA dan banyak lagi perlu terus menggiatkan program kesedaran dan perkongsian tentang bahaya agenda liberalisme ke segenap pelusuk negara. Kemampuan NGO ini dalam mendekati masyarakat awam, golongan mahasiswa dan profesional secara meluas perlu dimanfaatkan sepenuhnya lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan padu agensi kerajaan seperti JAKIM, YADIM, IKIM dan jabatan agama negeri untuk membawa mesej ini sampai lebih jauh. Badan khusus lain seperti Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) perlu mengekalkan ketangkasan dalam arena perundangan dan perlembagaan bagi menangkis asakan hujah pendokong liberal seperti yang dilakukan ketika sesi semakan UPR pada bulan Oktober lalu. Masyarakat awam pula boleh memainkan peranan dengan menyatakan bantahan secara lantang terhadap NGO dan tokoh liberal contohnya melalui penulisan surat terbuka, penerbitan media kreatif dan perkongsian di laman sosial. Masyarakat juga digalakkan menyumbang tenaga dan kepakaran dengan menyertai NGO Islam yang sedang giat dalam usaha-usaha seumpama ini.
Tingkatkan Kefahaman
Dalam mendepani agenda liberalisme ini, tiada senjata yang lebih ampuh daripada berterusan mengukuhkan diri dengan ilmu dan kefahaman Islam yang sahih. Doktrin liberalisme akan terus mencuba merosakkan prinsip pemahaman Islam yang tulen dan struktur perlaksanaannya bagi digantikan dengan penafsiran baru yang berteraskan hak asasi manusia tanpa batas menurut acuan sosial Barat. Setiap individu Muslim perlu menyedari hakikat ini lantas mengambil inisiatif memperbaiki amalan diri dan memperkasa kefahaman Islam terutamanya dalam sudut akidah. Penafsiran semula prinsip Islam oleh golongan liberalisme seringkali hanya berpaksikan logik akal dan kemahuan individu tanpa mengambil kira disiplin ilmu dan metodologi khusus penafsiran sebenar yang berlandaskan dalil-dalil syarak. Ini merupakan satu bencana kepada masa depan Islam di Malaysia khususnya tetapi ancaman ini boleh dibendung sekiranya umat Islam mengambil inisiatif melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang benar.
Peluang Kedua
Berakhirnya PRU13 yang lalu bermakna berlalunya musim berebut kuasa di kalangan umat Islam. Samada natijah perebutan itu telah membawa manfaat kepada masa depan Islam di negara ini, kita semua sudah mula dapat melihat kesannya. Kemunculan Comango yang oportunis patut dilihat sebagai panggilan kedua kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk sama-sama duduk berbincang dan bersepakat menyusun langkah mendepani ancaman ini. Terlalu banyak pengajaran yang boleh dirasai sekitar PRU lepas apabila dua teras utama politik umat Islam seolah-olah dipukau dalam agenda politik yang didominasi oleh pihak bukan Islam. Sudah tiba masanya untuk kita membebaskan diri daripada terus mengambil pendekatan lapuk yang melihat segala perkara dan peristiwa menerusi kaca mata politik kepartian. Sahutlah seruan persepakatan ini dan letakkan noktah kepada penyakit perpecahan yang tidak pernah menguntungkan Islam.
Kesimpulannya, tuntutan Comango telah mendedahkan wajah dan cita-cita sebenar golongan liberalisme di Malaysia. Ini adalah ancaman yang nyata dan bukannya permainan imaginasi seperti yang cuba dipaparkan oleh pendokong mereka. Walaupun begitu, ujian terbaru ini juga membuka banyak ruang dan peluang kepada umat Islam untuk bermuhasabah dan memperbaiki diri. Seluruh lapisan umat Islam perlu memainkan peranan masing-masing pada setiap peringkat di samping berusaha meningkatkan kefahaman Islam dan amalan diri. Episod ini juga akan menguji keikhlasan umat Islam untuk bersatu dalam menjaga kedudukan Islam di Malaysia seterusnya kembali meletakkan kepentingan Islam pada neraca yang sepatutnya.
Umar Hakim Mohd Tajuddin
Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)