Pendapat

Tiada alasan untuk berlembut dengan Comango – Ustaz Shuhaib Ar-rumy

arrumy1
Muncul seruan segolongan manusia yang mahu mempertahankan tuntutan COMANGO agar ISMA lebih menggunakan pendekatan dialog dan dakwah secara hikmah berbanding cara pengedaran puluhan ribu risalah penerangan yang digambarkan oleh mereka sebagai provokatif. Beberapa ayat al-Quran seperti firman Allah swt “Kemudian hendaklah kamu berdua (Musa dan Harun) berkata kepadanya (Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia mengambil peringatan atau takut.”(Surah Ta Ha: 44)

Mereka berhujah berdasarkan ayat ini bahawa Allah swt memerintahkan Nabi Musa as dan Nabi Harun as untuk berdakwah dengan kata-kata yang lembut kepada Firaun. Jadi siapakah ISMA untuk menggunakan pendekatan keras dan tegas dalam menangani ancaman liberalisme, Syiah dan kristianisasi di Malaysia?

Hujah mereka yang tidak menggunakan kaedah Usul Fiqh yang tepat membawa kepada kefahaman bahawa umat Islam HANYA boleh menegur secara lemah lembut iaitu dialog dan perbincangan.

Bagi kelompok ini, walaupun ancaman itu dahsyat dan membahayakan Islam, umat Islam tidak dibenarkan untuk marah atau bersikap garang dalam mempertahankan Islam mahupun berdakwah.

Sebahagian masyarakat akan mudah bersetuju dengan pandangan ini lebih-lebih lagi apabila mereka menjadikan dalil Al-Quran sebagai sandaran (ketika menyebelahi kehendak nafsu dan kepentingan sendiri).

Bagi umat Islam semua dalil al-Quran dan juga hadis Rasulullah saw mesti difahami dengan merujuk tafsir dan kitab-kitab fiqh karangan para ulamak muktabar. Bukan dengan sesuka hati mengambil petikan ayat-ayat Al-Quran tanpa panduan ilmu tafsirdan Usul Fiqh yang kukuh.

Al-Qarafi (684 H) seorang ulamak mazhab Maliki berkata:

Firman Allah swt : “ Kemudian hendaklah kamu berdua (Musa dan Harun) berkata kepadanya (Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia mengambil peringatan atau takut.”(Surah Ta Ha: 44)

Ini adalah hokum asal (iaitu berdakwah secara lemah-lembut). Di dalam keadaan yang lain, menjadi WAJIB untuk bersikap marah dan menegah dengan tegas sekiranya sikap lembut itu membawa kepada kehinaan kepada kebenaran dan mematahkan hujah.

(Kitab“Al-Ihkam fi tamyiz al-Fatawa ‘an al-Ahkam”: 274)

Ini merupakan salah satu prinsip asas di dalam Fiqh Islam iaitu al-Nisbiyyah (konsep relatif).

Sekiranya sesuatu pendekatan lebih mendatangkan keuntungan kepada Islam dan membawa kerugian kepada musuh, maka itu adalah pendekatan yang terbaik. Aplikasi sesuatu hukum fiqh mengambil kira keadaan manusia, suasana persekitaran, masa dan tempat hukum tersebut dilaksanakan. Ini menjadikan aplikasi kepada sesuatu hukum itu anjal dan tidak jumud. 

Dalam konteks ini, ISMA bertindak mewakili suara umat Islam di Malaysia yang menolak sebarang usaha untuk mempromosi amalan LGBT, hak asasi mutlak untuk murtad yang bertentangan dengan syarak dan norma masyarakat timur.

ISMA memahami tuntutan untuk berdakwah secara hikmah itu adalah perkara penting. Namun, dalam situasi terkini yang menyaksikan serangan bertubi-tubi oleh gerakan dan individu yang mengancam kedaulatan Islam di Malaysia, ini menuntut ISMA untuk bersikap tegas dan lantang dalam memperjuangkan isu-isu dan kepentingan Islam.

Imam Al-Ghazali (505 H)turut menegaskan berkenaan konsep relatif di dalam berdakwah:

“Lemah lembut mestilah diletakkan pada tempatnya, dan juga ketegasan mestilah diletakkan pada tempatnya.”

( Kitab Ihya ‘Ulumuddin: Jilid 3:186 )

Musuh merancang pelbagai usaha untuk menukar status negara menjadi sebuah negara tiada agama melalui tuntutan Comango, gerakan kristianisasi, penyebaran fahaman Syiah, tuntutan penggunaan kalimah Allah di mahkamah, penganjuran seminar berkenaan liberalisme dan pluralisme, tekanan oleh parti politik dan berbagai-bagai cara lain.

Jadi adakah kita sekadar berdialog dan berpeluk tubuh dalam menangani semua ancaman ini?

ISMA sebagai sebuah gerakan Islam masa kini memahami konsep dakwah dan menjadikan asas syarak sebagai tunjang perubahan umat. Kita marah kepada mereka kerana kita sayangkan Islam dan Malaysia yang tercinta ini.

Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat Al-Hafiz
Aktivis ISMA dan pensyarah di sebuah kolej swasta

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Asslamualaikum…. Saya ingin bertanya. Kebiasaannya dalam webpage NGO Islam, akan diselitkan pautan berkenaan asas fekah, akidah, muamalat dan sebagainya. Saya assume ianya dimasukkan sekali dalam silibus usrah/halaqah ISMA. Saya ingin mengetahui apakah ciri2 akidah Islam yang di pegang ISMA? Eg: Tauhid 3 (rububiyyah, uluhiyah, asma’ wa sifat)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker