Pendapat

Hak Kanak-kanak: Di manakah silapnya?

“Anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang akan mencoraknya”, mereka adalah nikmat yang dikurniakan Allah dan sebagai tanda kesyukuran ibu bapa atau penjaga berperanan memberi didikan dan asuhan terbaik. Selain itu juga, menurut ahli psikologi, kehidupan manusia ini terbahagi kepada dua peringkat.

Peringkat pertama iaitu sejak ia lahir sehingga berusia 18 tahun atau 20 tahun. Peringkat kedua pula merujuk kepada usia 20 tahun sehingga meninggal dunia. Kanak – kanak juga memerlukan kasih sayang disebabkan kepada tiga faktor utama iaitu kanak-kanak memerlukan kabahagiaan dan ketenangan dalam hidupnya, pembentukan dari segi pemikiran dan masyarakat.

“Pakcik, makcik…tolonglah derma untuk bangunan sekolah baru kami..”, tidak kurang juga yang menjaja pelbagai jenis makanan ringan di jalanan , “kak, belilah kerepek ini. Emak saya sakit..”.

Fenomena ini mungkin biasa dilihat oleh orang-orang biasa tetapi tidak kepada hati yang ditarbiyah. Akta kanak-kanak 2001 611 jelas menyatakan undang-undang Malaysia MENGIKTIRAF bahawa tiap kanak-kanak berhak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan dalam segala hal keadaan tanpa mengira apa-apa jenis perbezaan, seperti ras, warna kulit, jantina, bahasa, agama, asal usul atau kecacatan fizikal, mental, atau emosi atau apa-apa status lain.

Pernah atau tidak dalam hati kita untuk menyiasat status sebenar kanak-kanak tersebut?

Abu Hamzah Anas Ibn Malik, Khadam Nabi Muhammad saw, baginda bersabda: “Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.” Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari dan Muslim.

Seksyen 1A, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966, “kanak-kanak adalah orang yang belum mencapai umur 14 tahun atau umur yang dinyatakan oleh Y.D.P Agung (& diwartakan). Bolehkah kanak-kanak meminta sedekah dan melakukan jualan?

Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 Seksyen 32 menyatakan mana-mana orang yang menyebabkan atau mengakibatkan mana-mana kanak-kanak atau sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak, membenarkan kanak-kanak itu berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud, dalam seksyen 32(a) mengemis, menerima sedekah, sama ada atau tidak dengan dalih menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa jua untuk jualan.

Seksyen 32(b) menjalankan penjajaan yang menyalahi undang-undang, loteri haram, perjudian atau aktiviti lain yang menyalahi undang-undang yang memudaratkan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak itu, melakukan suatu kesalahan da apabila disabit boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan laporan statistik seramai 1,023 orang mangsa daripada bulan Januari sehingga Mac 2013 yang mana 669 daripada mereka adalah kanak-kanak perempuan mengalami penderaan fizikal, emosi, seksual, termasuk kes kanak-kanak dibuang. Statistik ini meningkat daripada 3,831 jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsa sepanjang tahun 2012.  Eksploitasi dan penderaan terhadap mereka semakin lama kian menjadi-jadi. Dimanakah silapnya? Pihak kerajaan telah mengambil beberapa langkah seperti meletakkan mangsa-mangsa di rumah-rumah kebajikan dan berkerjasama dengan beberapa agensi kerajaan seperti polis dalam membanteras jenayah eksploitasi manusia.

Antara langkah penting yang telah diambil bagi menyokong usaha menghapuskan buruh kanak-kanak ialah peruntukan undang-undang melalui Akta Pendidikan 1996 (Akta 611) yang mewajibkan pendidikan prasekolah dan pendidikan sekolah rendah (Seksyen 29 & 29A).

Peruntukan undang-undang ini turut menjelaskan kegagalan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka memperoleh pendidikan rendah yang dianggap sebagai suatu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Pendekatan ini dilihat dapat mengurangkan bilangan buruh kanak-kanak di negara ini kerana kanak-kanak di bawah usia 12 tahun akan bersekolah dan bukannya bekerja.

Jenayah terhadap kanak-kanak yang berlaku di Malaysia boleh dikatakan mewakili sebahagian kecil sahaja daripada seluruh dunia. Jika kita masih ingat, surat khabar Berita Harian bertarikh pada 24 Ogos 2012 menceritakan kira-kira 1.5 juta kanak-kanak berusia di antara 5 dan 17 tahun bekerja di Colombia pada suku tahun ketiga 2011 sekaligus menyebabkan kadar buruh kanak-kanak meningkat kepada 3 peratus.

Persidangan Akademi Fiqh Islam Sedunia ke-12 anjuran Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) di Riyardh, Arab Saudi pada 23 hingga 28 September 2000 menetapkan hak asasi kanak-kanak Islam berdasarkan hukum syarak antaranya; menjadi tanggungjawab ibu bapa menjaga anak dalam kandungan daripada kecederaan, anak dalam kandungan berhak hidup, anak berhak dari segi fizikal dan moral, kanak-kanak yatim atau tidak bernasib baik atau kurang upaya memiliki ha yang sama dengan kanak-kanak lain,kanak-kanak berumur dua tahun pertama berhak mendapat penyusuan penuh daripada ibu, Islam melarang ibu bapa dan masyarakat mengekspoiltasi kanak-kanak sebagai buruh pertanian, perladangan, perindustrian dan perkhidmatan lain.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:  من لم يرحمْ صغيرَنا فليس مِنَّا

“Sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak kami maka dia bukan daripada kalangan kami” [hadith riwayat al-Bukhari].

Ingat kembali peristiwa mendiang adik S.Subashini, murid tahun 6 yang membunuh diri kerana kecewa gagal mendapat keputusan UPSR dengan cemerlang pada tahun 2007. Apakah reaksi kita? Penganut Kristian di Sri Gombak membina gereja khas untuk kanak-kanak dan bagaimana pula keakraban masjid dengan mereka?

Sumber:

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  2. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
  3. Akta Kanak-Kanak 2001
  4. Akta Pendidikan 1996
  5. Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966
  6. www.ikim.gov.my
  7. Berita Harian
  8. Buletin Perangkaan Sosial Malaysia 2012

 

Mimi Atieqa binti Noor Azam

Aktivis Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Melaka

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker