Pendapat

Tol naik: Kerajaan digesa beri penjelasan berhemah

tol naik
Isu kenaikan tol adalah salah satu daripada proses rasionalisasi subsidi yang telah dimulakan oleh kerajaan sejak September yang lepas. Selepas satu persatu kenaikan bahan dan perkhidmatan yang diisytiharkan oleh kerajaan dan semestinya bebanan itu ditanggung oleh rakyat dan pengguna.  

Rasional privatisasi pembinaan lebuh raya

Sebelum saya mengulas tindakan kerajaan yang menaikkan kadar tol untuk 13 buah lebuh raya, izinkan saya untuk menerangkan rasional privatisasi pembinaan lebuh raya.

Kebanyakan kita mengetahui bahawa hampir 90 peratus lebuh raya di Malaysia dimiliki oleh syarikat swasta. Kerajaan telah menganugerahkan konsesi dengan hak eksklusif kepada mereka untuk membina, mengendali dan menyelenggara lebuh raya bagi tempoh konsesi yang dipersetujui.

Timbul persoalan mengapakah kerajaan perlu meminta syarikat-syarikat swasta untuk membina lebuh raya di Malaysia? Mengapakah kerajaan tidak boleh membina lebuh raya sendiri? Dalam isu ini, kita perlu memahami bahawa secara amnya, kerajaan memang mempunyai tanggungjawab untuk membiayai dan membina kemudahan infrastruktur negara.

Namun begitu, kerajaan juga mempunyai limitasi dalam perbendaharaan negara dan pembinaan infrastruktur kebiasaannya menelan perbelanjaan yang besar. Perkara ini bukanlah perkara baru, kebanyakan negara di dunia perlu mengimbangi keperluan untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan lebuh raya dengan keperluan lain seperti menyediakan penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Itulah sebabnya walaupun pembangunan infrastruktur mempunyai kesan positif ke atas ekonomi, kerajaan tidak mampu untuk menumpukan semua sumbernya ke arah penyediaan infrastruktur. Mengapakah kerajaan tidak boleh menggunakan duit pungutan cukai untuk membina lebuhraya?

Antara teori ekonomi yang popular iaitu sumber yang terhad (scarcity) akan menghadkan keupayaan kerajaan untuk berbuat demikian. Secara mudah, pendapatan kerajaan diperoleh daripada kutipan cukai, dan sekiranya kerajaan ingin meningkatkan hasil pendapatan negara, kerajaan hanya perlu menaikkan kadar cukai yang dikenakan kepada rakyat dan syarikat di Malaysia.

Dana pembangunan projek-projek infrastruktur yang menelan belanja berbilion ringgit ini boleh disediakan oleh pihak kerajaan dengan kutipan cukai pada kadar yang lebih tinggi. Namun begitu, ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh kerajaan kerana sudah pasti kenaikan cukai ini akan mendapat tentangan daripada rakyat.

Jadi, majoriti negara di dunia ini telah menyedari bahawa kutipan cukai sahaja tidak akan dapat membiayai keperluan yang besar bagi menampung kos projek pembinaan infrastruktur. Oleh itu, kerajaan membuat tawaran kepada sektor swasta untuk membina lebuh raya di Malaysia pada masa itu. Membina  lebuh raya bukanlah tanggungjawab sektor swasta, dan sektor swasta hanya berminat untuk meraih keuntungan dalam menjalankan apa sahaja projek yang berkenaan. Memandangkan sumber pendapatan sektor swasta bukannya daripada hasil kutipan cukai, jadi ia tidak mempunyai limitasi dari segi dana seperti yang dihadapi oleh sektor awam.

Masalah yang dihadapi oleh sektor awam dan kelebihan yang dimiliki oleh sektor swasta boleh diselesaikan dengan memeterai sebuah perjanjian kerjasama bagi membolehkan  sektor swasta dengan segala sumber yang dimilikinya menceburi industri penyediaan infrastruktur di Malaysia.

Kebanyakan perjanjian konsesi ditandatangani sekitar tahun 90-an. Pada masa itu negara kita sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat dan kerajaan perlu memberi prioriti dana yang ada kepada perkara yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi.

Mengapakah kerajaan perlu menaikkan kadar tol?

Apakah yang akan terjadi sekiranya kerajaan tidak memenuhi perjanjian yang telah dibuat dan tidak menaikkan kadar tol lebuh raya? Mengapakah kerajaan tidak menaikkan kadar tol ini sebelum pilihan raya lalu? Menagapakah ia perlu dinaikkan selepas pilihan raya?

Sewaktu kerajaan menganugerahkan konsesi tersebut kepada syarikat konsesi, beberapa perkara yang kita perlu fahami bahawa terdapat beberapa perkara yang dibincangkan oleh wakil Majlis Ekonomi dengan syarikat konsesi seperti:

a. Tempoh konsesi – Tempoh yang diberi oleh kerajaan kepada syarikat untuk mengutip dan menyelenggara lebuhraya.

b. Kadar tol yang dikenakan – Kadar tol yang dipersetujui perlulah mengambil kira pertumbuhan pengguna lebuh raya dan juga tempoh konsesi. Kadar tol juga perlu mengambil kira kadar keuntungan yang sesuai dengan tempoh dan risiko yang telah diambil oleh pihak syarikat konsesi. Pihak syarikat perlu memberi sebab yang kukuh untuk meletakkan kadar tersebut kepada pihak Majlis Ekonomi supaya ia tidak mengaut keuntungan yang banyak dan menindas pengguna.

Untuk sebuah syarikat swasta menerima sesebuah projek, ia harus memastikan pulangan yang bakal diterimanya setimpal dengan risiko yang perlu diambil. Antara risiko yang perlu dihadapi oleh mereka adalah risiko pembinaan, risiko traffic volume growth (pertumbuhan pengguna lebuh raya), interest rate risk, force majeure, dan risiko-risiko lain.

Dalam pengiraan kadar pulangan yang sesuai, carta aliran tunai yang disediakan oleh pihak syarikat dalam siri rundingan dengan Majlis Ekonomi telah mengambil kira kenaikan kadar tol yang sesuai dan dikira tidak membebankan para pengguna dan akan disemak mengikut sela masa yang telah ditentukan.

Semasa proses semakan dijalankan, wakil Majlis Ekonomi akan meminta pihak syarikat konsesi untuk menyediakan laporan terkini dan proposal yang munasabah untuk menaikkan kadar tol.  Laporan tersebut perlulah disertakan sekali dengan kajian trafik di lebuh raya berkenaan. Sekiranya laporan tersebut munasabah dengan kadar kenaikan yang diminta, pihak kerajaan perlu mengumumkan kenaikan kadar tol tersebut. Sekiranya kerajaan tidak menaikkan kadar tol, maka pihak kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi dengan bayaran tunai atau memanjangkan lagi tempoh konsesi.

Seperti negara-negara lain, contractionary fiscal policy bukanlah sesuatu yang akan dilakukan oleh pihak kerajaan menjelang pilihan raya. Ini bukanlah sesuatu yang asing dan sering menjadi praktis kepada kebanyakan kerajaan lain di seluruh dunia menjelang pilihan raya.

Jadi adakah wajar tindakan kerajaan menaikkan kadar tol di 13 lebuh raya serentak?

Soalan yang sepatutnya ditanya adalah mengapakah kerajaan menangguhkan kenaikan kesemua kadar tol tersebut dan mengakibatkan kenaikan mendadak untuk kesemua lebuh raya tersebut. Sekiranya kerajaan akur dan membuat kenaikan tol tersebut mengikut sela masa yang telah ditentukan, kemungkinan besar kadar kenaikan tidaklah setinggi kali ini dan tidak terasa terlalu membebankan rakyat.

Kadar kenaikan kali ini terlalu tinggi dan sangat membebankan rakyat kerana beberapa siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang dilakukan oleh kerajaan sejak September yang lalu. Kenaikan ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada pengguna lebuh raya tetapi juga kepada harga barang-barang. Lori kontena yang menggunakan lebuh raya yang dikenakan cas tol pada kadar yang baru sudah pasti akan meningkatkan kos pengangkutan dan seterusnya kenaikan harga barangan di pasaran.

Benarkah kerajaan berupaya mengawal kenaikan kadar tol?

Ada yang berpendapat bahawa kerajaan berupaya untuk mengawal kenaikan kadar tol kerana kebanyakan pemegang saham syarikat konsesi adalah GLC. Adakah ini benar?

Syarikat konsesi adalah entiti yang berbeza dengan pemegang saham. Walaupun KWSP, PNB dan Khazanah adalah pemegang saham terbesar di dalam sesetengah syarikat konsesi, harus diingat mengapakah kesemua entiti ini melabur sejumlah wang simpanan rakyat ke dalam syarikat konsesi ini? KWSP dan PNB adalah entiti bisnes yang menjamin pulangan tetap kepada pencarum jadi ia memerlukan sebuah pelaburan yang stabil dan menjamin pulangan yang konsisten seperti lebuh raya.

Pulangan yang sepatutnya diperolehi oleh pemegang saham (KWSP,PNB) ini bergantung kepada projected cashflow yang telah dikira dengan mengambil kira kadar kenaikan tol pada setiap sela masa yang ditetapkan.

Apakah penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu ini?

Kerajaan boleh memberi penerangan yang jauh lebih baik dari sekadar mengarahkan rakyat untuk menggunakan jalan raya biasa yang tidak bertol (seperti kata seorang menteri semalam). Dalam usaha kita menjadi negara berpendapatan tinggi yang berkepakaran dalam pelbagai bidang, rakyat tidak sepatutnya dimomokkan dan dibodohkan dengan alasan-alasan yang sangat tidak munasabah sebaliknya rakyat perlu dididik dan dijelaskan dengan baik serta alasan yang boleh diterima akal.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu menangani masalah ketirisan dan keborosan melampau dalam penggunaan dana awam (seperti yang dilaporkan oleh Laporan Audit Negara 2012 dan tahun-tahun sebelumnya). Isu kenaikan yang tidak dapat dielakkan seperti tol ini tidak akan menjadi isu yang besar sekiranya kerajaan sudah mula cermat dalam menguruskan perbendaharaan negara sejak awal lagi. Namun perkara ini tidak berlaku. Kerajaan tetap berbelanja dengan cara yang tidak cermat dan sebaliknya meminta rakyat untuk berjimat. Sekiranya isu ketirisan melampau ini dapat ditangani oleh kerajaan, nescaya kenaikan tol ini dapat dirasionalisasikan oleh rakyat dengan lebih mudah.

Muhamad Nur Farhan Muhamad Fadzil
Aktivis ISMA
17 Disember 2013

Pendapat di atas adalah berdasarkan pengetahuan terbatas penulis terhadap isu kenaikan tol.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker