Kemelut politik dan perpaduan Melayu
Perpaduan Melayu, menurut catatan sejarah bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia telah ditunjukkan menerusi tindakan rakyat dan pembesar Melaka, apabila Melaka ditakluk Portugis, Sultan Mahmud tidak hanya melarikan diri berseorangan, baginda bergerak bersama-sama rakyat yang mendukungnya. Begitu juga akan halnya penjajahan Malayan Union. Apabila orang Melayu sedar penjajahan Malayan Union bererti hilanglah kedaulatan Raja-Raja Melayu ke atas negeri dan diambil-alih oleh Raja England secara mutlak. Maka bangkit keseluruhan orang Melayu bersatu dan berpadu mempertahankan tanah air.
Namun itu kisah zaman lampau, era di mana orang Melayu bersatu dan bangkit bersama-sama demi survival bangsa dan agama. Zaman berlalu dan memperlihatkan persaingan politik negara diterajui oleh parti UMNO dan PAS untuk memandu Islam dan
Melayu. UMNO dan PAS gah menguasai persada politik negara namun persaingan pada awalnya dilihat dapat memberi kelebihan kepada Islam dan Melayu akhirnya dilihat terbantut kerana persengketaan politik berpanjangan.
Polemik parti
Persengketaan politik UMNO dan PAS telah mencapai satu tahap ekstrim apabila kekuasaan lebih diutamakan berbanding kemaslahatan ummah. Persengketaan ini memperlihatkan penguasaan parti chauvinis DAP yang meningkat dari 28 buah kerusi parlimen (2008) kepada 36 buah kerusi (2013), mereka juga menguasai posisi penting di beberapa buah negeri seperti speaker Dewan Undangan Negeri dan portfolio berkepentingan yang lain. Secara total jumlah kerusi bukan Islam yang dimenangi pakatan pembangkang adalah sebanyak 50 orang berbanding 39 orang Melayu.
Dalam keadaan orang Islam di dalam pakatan pembangkang mengalami defisit yang teruk, PAS masih tidak mampu menonjolkan ketokohan, tidak berjaya meyakinkan masyarakat awam bahawa PAS adalah parti yang bertunjangkan perjuangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah apabila calon pro Khomenei dilantik menjadi Timbalan Presiden parti. Adakah Ulamak PAS dungu belaka kerana tidak berjaya menyingkirkan manusia ini? Adakah Ulamak PAS memang sengaja memperjudikan perjuangan mereka untuk tempoh dua tahun akan datang? Sesunguhnya diam Ulamak PAS adalah satu malapetaka bagi ummah ini, bala dan bencana!
Tidak adil sekiranya komentar hanya pada PAS.
UMNO dalam masa yang seharusnya bermuhasabah, walaupun berdegar-degar Najib Razak mempromosikan Islam dan transformasi di dalam Perhimpunan Agung UMNO, kredibiliti UMNO jelas tercabar. Perlantikan Sharizat jalil sebagai Ketua Wanita nyata hanya menyimpang pekung UMNO. Sharizat Jalil tidak layak di kedudukan berkenaan memandangkan isu Feedlot masih lagi membara di hati rakyat. Komitmen Barisan Nasional untuk mengurangkan kos hidup rakyat jelas hanya satu retorik apabila mereka berpakat pula untuk menaikkan hampir kesemua keperluan asas rakyat. Kenaikan harga minyak , tol, tarif elektrik dan gula sudah pasti sesuatu yang membebankan rakyat lebih-lebih lagi golongan bawahan dan pertengahan. Apabila mengumpulkan segala isu ini, ianya hanya akan memberi satu jawapan iaitu kekalahan UMNO dan Barisan Nasional ketika PRU 14.
Menjadi persoalan apakah yang tinggal lagi untuk bangsa ini? Bukankah erti merdekanya negara adalah untuk memimpin bangsa ke mercu kejayaan? Sudah lupakah UMNO dan PAS mengenai perjuangan asal mereka? Sudah luputkah ingatan mereka akan tangungjawab terhadap generasi masa hadapan di dalam membangunkan tanah air ini?
Solusi ISMA
Melihat segala kemelut politik yang melanda, ISMA mengutarakan sudut pandang politik baru. Permusuhan yang bertahun lama perlu ditamatkan demi survival bangsa dan agama, tiada lagi perkara menyedihkan melainkan melihat orang Melayu berpecah di tanah sendiri. Tanah yang dipertahankan nenek moyang mereka demi kesenangan anak bangsa. Pemimpin Melayu seharusnya menginsafi dan berusaha untuk mengukuhkan perpaduan Melayu. Kembali bersatunya Melayu tidak bermakna kita akan menyisihkan rakan bangsa yang lain, kembali bersatunya Melayu akhirnya memperlihatkan arus Islam yang akan memandu negara dan bangsa lain akan turut sama ke arah graviti Islam. Inilah konsep sebenar baldatun toyyibatun warobbun ghofur.
“Melayu Sepakat Islam Berdaulat”
Luqman Abd Hamid
Ahli Jawatankuasa PEMIKIR ISMA
Luqman Abd Hamid merupakan aktivis ISMA, pelajar tahun akhir bidang pembangunan manusia dan merupakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia sesi 2013/2014.