Perkahwinan di usia muda atau perkahwinan kanak-kanak?
Perkahwinan di usia muda menjadi suatu perdebatan hangat akhir-akhir ini. Akhbar The Star menyiarkan gambar gadis bertelekung, sebagai gambar hiasan ketika ia menyiarkan laporan perkahwinan kanak-kanak, sekaligus memberi gambaran bahawa ia adalah masalah besar bagi umat Islam di negara ini. Gambaran sedemikian amat dikesalkan.
Ini adalah kerana faktor sebenar yang mendorong perkahwinan kanak-kanak yang berbentuk paksaan dan zalim, ialah faktor kemiskinan dan tahap pendidikan. Faktor ini mendorong gejala sedemikian merentasi kaum, agama dan budaya.
Di Malaysia sendiri, undang-undang menetapkan bagi umat Islam, mereka di bawah umur 16 tahun bagi wanita, dan 18 tahun bagi lelaki, perlu mendapatkan kebenaran khas Mahkamah Syariah untuk berkahwin. Terdapat peningkatan kes yang didaftarkan di Mahkmah Syariah iaitu dari 900 permohonan yang diluluskan pada tahun 2011 kepada 1,165 pada tahun 2012.
Peningkatan permohonan ini dikritik keras oleh NGO hak asasi wanita seperti Joint Action Group for Gender Equality (JAG) dan Sisters in Islam (SIS) yang menuntut supaya had umur dinaikkan kepada 18 tahun bagi kedua-dua jantina, dan dengan lebih agresif menuntut agar Mahkamah Syariah tidak diberi kuasa langsung memutuskan kes seumpama ini.
Tiada akal yang sihat yang suka melihat kekerasan ke atas golongan lemah dalam isu perkahwinan. Wanita ISMA membantah kes anak-anak kecil dipaksa berkahwin dengan individu yang jauh lebih tua, atau dalam kes menjual anak apabila ibubapa cuba keluar dari jalan kemiskinan.
Namun menaikkan had umur kepada 18 tahun untuk usia layak berkahwin bukan jalan penyelesaian kepada masalah perkahwinan kanak-kanak, kerana ia melibatkan golongan remaja atau hampir dewasa (young adult), yang mana di dalam sesetengah komuniti di anggap sudah cukup dewasa. Maka kita perlu membezakan antara 2 golongan ini, kanak-kanak dan remaja hampir dewasa.
Tambahan pula, kajian perubatan mengatakan dengan pemakanan dan penjagaan kesihatan yang lebih baik telah menyebabkan permulaan baligh, atau puberti berlaku pada usia yang lebih muda berbanding dahulu. Sebuah kajian secara khusus menyebut kematangan mungkin berlaku lebih muda kerana kadar puberti adalah semakin awal sebanyak 2.5 bulan bagi setiap 10 tahun sejak abad ke 18.
Biologi manusia juga berbeza-beza. Mereka tidak matang secara serentak. Bergantung kepada faktor keturunan, kesihatan, pemakanan juga didikan keuarga, ada yang menginjak dewasa lebih awal berbanding rakan sebaya. Oleh itu, peranan Mahkamah Syariah, dalam menyemak dan menapis permohonan bawah umur, adalah satu langkah tepat dalam memperakui kepelbagaian dan variasi dalam kematangan individu.
Apa yang nyata, kumpulan hak asasi wanita, khususnya SIS yang sudah acapkali cuba menafikan perundangan syariah dalam tadbirurus umat Islam di Malaysia, dilihat sebagai cuba mengenengahkan unsur sekularisasi dalam ketetapan CEDAW.
Di manakah penekanan tentang seks di luar perkahwinan (pre-marital seks) yang lebih perlu mendapat perhatian NGO-NGO wanita ini? Pernahkan mereka mengadakan kempen NO to ZINA? Di manakah usaha mendokong institusi perkahwinan dalam gesaan mereka? Kes manakah yang lebih banyak, remaja mengandung ditemani suami (kerana kahwin muda) atau remaja mengandung tanpa suami?
Bagi Wanita ISMA, kita mengakui bahawa perkembangan fizikal harus disertai dengan kematangan pemikiran. Oleh itu, semenjak tahun 2011 lagi, kursus keibubapaan telah diadakan di seluruh negara di bawah program Anak Soleh Anak Cemerlang (ASAC) di mana gabungan penceramah dari kalangan ahli agama dan profesional contohnya pakar bidang psikiatri, kaunseling, teknologi maklumat mengembeling tenaga memberi panduan kepada ibu bapa dalam memahami anak remaja mereka. Ini adalah penting agar sebarang keputusan, termasuklah perkahwinan, dicapai dalam keadaan kedua-dua pihak memahami tanggungjawab yang terletak di atas bahu masing-masing.
Langkah ini, yang mendokong institusi perkahwinan, lebih sejajar dengan tuntutan syariat, yang menggalakkan perkahwinan daripada terdedah kepada elemen seks bebas yang mungkin berlaku jika had umur yang rigid dikenakan.
Sebagai ibu dan muslimah yang prihatin akan kesejahteraan anak-anak kita, saya menyeru kepada semua wanita agar menjadikan agama sebagai sendi kepada pendidikan anak-anak.
Saya menjemput pembaca untuk menghadiri Konvensyen Wanita ISMA (KONWANIS) pada bulan April 2014 kerana banyak isu pendidikan anak-anak dan ancaman pemikiran sekular yang menggoyah institusi keluarga berselindung di sebalik tabir hak asasi wanita, akan diketengahkan sebagai panduan kita Insya Allah.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.konwanis.net dan http://m.facebook.com/KONWANIS?_user=566201338
Tulisan ini adalah olahan kepada kenyataan rasmi Wanita ISMA seperti di pautan di bawah berhubung isu bantahan JAG dan SIS ke atas Mahkamah Syariah dalam permohonan perkahwinan bawah umur.
http://www.malaysiakini.com/browse/a/en/Rafidah%2520Hanim%2520Mokhtar
Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
Ketua Penerangan Wanita ISMA
https://www.facebook.com/drrafidahhanim