Pendapat

Comango melanggar fitrah manusia

isma1
Semua orang inginkan kehidupan yang sejahtera dan harmoni. Kehidupan sejahtera yang menjamin penerusan generasi demi generasi, yang menjamin kesejahteraan kesihatan, yang menjaga maruah keluarga, bangsa, negara dan agama.

Kehidupan harmoni ialah apabila masyarakatnya hidup dalam adab dan akhlaq yang mulia dan jauh daripada pertelingkahan sesama kaum apatah lagi peperangan. Kehidupan harmoni juga menjadikan agama Islam sebagai petunjuk dan panduan tertinggi, manakala agama lain bebas untuk diamalkan bagi penganutnya.

Keinginan kita kepada keharmonian dan kesejahteraan adalah fitrah asasi manusia yang tidak boleh dinafikan. Fitrah ini tidak berubah walaupun zaman berubah.

Perhentian nasab dan pembantutan potensi

Anak-anak, keturunan dan warisan adalah satu kebanggaan dan kurnia yang paling berharga bagi seorang manusia. Segala yang menyekat dan menghalang penerusan ini adalah melanggar fitrah asasi manusia.

Penciptaan Adam a.s dan isterinya Hawa telah menyebabkan manusia berkembang dari generasi ke generasi. Pengamalan yang melanggar fitrah ini seperti lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT) akan menyebabkan rosaknya satu keturunan malah menghentikan nasab keturunan tersebut.

Bahkan, potensi dan kemajuan satu negara juga akan terjejas. Ini kerana untuk sebuah negara maju, sumber manusia adalah penting. Pengamalan LGBT akan membantutkan sumber manusia. Setiap manusia lelaki dan perempuan ada peranan yang hanya boleh dilakukan oleh lelaki atau perempuan sahaja.

Penyakit yang tiada sembuhnya

Dalam usaha menjamin kesejahteraan sebuah keturunan, bangsa dan negara, aspek kesihatan sangat diambil berat. Tiada seorang pun yang mahukan penyakit, apatah lagi penyakit yang tiada sembuh dan diwariskan dari keturunan ke keturunan seperti AIDS.

Pengamalan yang Allah sifatkan sebagai “melampaui batas” seperti LGBT akan mendatangkan sexually tranmitted diseases (STD) sepert AIDS dan HIV. Penyakit-penyakit lain yang berbahaya juga banyak menimpa mereka yang mengamalkan LGBT seperti Hepatitis (A B C), Gonorrhea, Syphilis, Proctitis dan Proctocolitis, Enteritis.

Selain itu, penyakit Human Papillomavirus (HPV) yang mengumpulkan lebih 70 virus dan lebih daripada 20 virus tersebut adalah STD yang tidak boleh disembuh. HPV dalam kalangan homoseksual adalah “hampir universal”. Mengikut surat khabar homoseksual The Washington Blade, satu kajian tentang gay dan lelaki bisexual mendedahkan dapatannya bahawa jangkitan HPV adalah hampir universal dalam kalangan lelaki yang positif-HIV dan 60 peratus lelaki yang negatif-HIV mengidap HPV.

Firman Allah: “Apakah kamu tidak berfikir?”Apa lagi bukti yang tidak jelas?” Allah telah menunjukkan kesan buruk perkara yang ‘melampaui batas’ ini di dalam Al-Quran. Al-Quran adalah ubat kepada semua penyakit, dengan mengikut petunjuk untuk meninggalkan perkara “melampaui batas” ini. Maka beruntunglah mereka yang berfikir dan beriman.

Wanita dan keluarga tidak dijaga

Lelaki dan wanita dicipta dan dilahirkan berbeza. Mengapakah tidak sama? Adakah perlu untuk sama? Apakah hikmah di sebalik penciptaan ini?

Berbezanya lelaki dan wanita, menunjukkan perbezaan hak dan peranan. Lelaki mempunyai hak dan peranannya sebagaimana wanita mempunyai hak dan peranannya.

Hak wanita antaranya adalah untuk dijaga dan dipelihara. Bukan tanggungjawab wanita untuk mencari nafkah dan berkerja keras untuk menambah kewangan keluarga. Akan tetapi tidak dinafikan dan dihalang sekiranya wanita ingin bekerja. Lelakilah yang bertanggungjawab menjaga, memelihara, mencari nafkah untuk wanita. Bahkan, lelaki yang tidak menjalankan tanggungjawab ini boleh dipersoalkan.

Peranan sebagai seorang ibu dan isteri hanya boleh dilakukan oleh wanita. Emosi, jiwa dan sifat wanita yang penuh dengan kasih sayang, lemah lembut dan sensitif menjadikan hanya wanita boleh menjalankan peranan sebagai ibu dan isteri. Sifat ini adalah fitrah dan peranan ini juga adalah fitrah ciptaan wanita. Sekiranya diberikan peranan khusus seorang wanita ini kepada lebih sepuluh orang lelaki pasti tidak dapat dilakukan.

Dalam perwarisan harta, wanita pasti mendapat bahagiannya kerana wanita adalah ashabul furud (ada haknya dalam pembahagian harta warisan), sekiranya terdapat waris lelaki, lelaki akan mendapat 2 kali ganda bahagian yang diperolehi wanita. Ini semua adalah ketetapan wahyu untuk menjaga hak dan peranan seorang wanita.

Sekiranya hak dan peranan wanita ini tidak dijaga, maka hancurlah keharmonian sebuah keluarga dan masyarakat. Inilah antara bukti kehebatan Allah yang menciptakan dan menjamin kesejahteraan seorang wanita dan keluarga.

Akidah fitrah tertinggi yang dicabul

Adalah menjadi fitrah manusia memerlukan panduan dan petunjuk. Fitrah manusia adalah bertuhan. Tanpa panduan dan petunjuk tuhan yang menciptakannya, manusia menjadi sesat dan tidak ketahuan. Dari manakah asal-usulnya? Untuk apakah dia diciptakan? Ke manakah arah tuju kehidupannya?

Seorang anak muda yang berada di tengah hutan, tanpa sebarang peta dan kompas pasti sesat jalannya. Seorang jurulatih yang baik pasti mengajar anak muda itu cara untuk hidup di dalam hutan, diberinya peta dan kompas supaya tidak sesat.

Islam adalah agama yang diturunkan Allah yang mengikut fitrah ciptaan manusia dan alam. Allah yang menciptakan manusia, Dia lah yang mengetahui perihal manusia, Dia lah yang memberi petunjuk dan panduan kepada manusia.

Dalam perlembagaan Malaysia, Alhamdulillah Islam masih menjadi agama persekutuan negara kita. Bukan agama rasmi tetapi agama negara kita. Malaysia adalah negara Islam, walaupun belum lengkap dan masih lemah pengamalan dan pelaksanaan Islamnya.

Remaja Islam masih ramai yang tidak menunaikan solat, banyaknya amalan khurafat, lemahnya akidah, kurangnya pengetahuan tentang syariat dan akhlak. Dalam keadaan ini, sebagai seorang muslim kita tidak mahu ramainya remaja Islam yang murtad dan tersebarnya akidah yang sesat seperti Syiah di negara kita ini.

Akidah dan syariat Allah ini adalah fitrah tertinggi yang perlu dijaga bersama. Seperti Ashabul kahfi yang bersembunyi demi mempertahankan akidah. Seperti pemilik kebun yang beriman mengingatkan dan berdakwah kepada sahabatnya tentang akidah. Seperti Zulkarnain yang melaksanakan tanggungjawabnya memelihara akidah rakyatnya daripada akidah golongan yang sesat.

Memelihara fitrah asasi manusia  adalah hak asasi manusia

Sebagai seorang manusia yang bersih fitrahnya, segala perkara yang cuba mengotori fitrahnya perlu dihalang. Cubaan untuk mengiktiraf budaya LGBT, kebebasan untuk murtad, mengiktiraf akidah Syiah yang sesat, mendesak penghapusan undang-undang syariah adalah melanggar fitrah manusia.

Kesimpulannya tuntutan Comango yang kononnya menuntut hak asasi manusia, sebenarnya telah melanggar hak asasi manusia paling utama iaitu fitrah manusia.

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam) sesuai fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu” (Surah Ar-Rum : 30)

Muhammad Ramadhan Aldin bin Azlan Khalili
Aktivis ISMA

Penulis merupakan pelajar Fakulti Syariah di Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir. Minat menulis dan bercita-cita menjadi ulama’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker