Banjir Kemaman 2013: Suatu anekdot
Assalamualaikum.
Alhamdulillah. saya selamat kembali ke Universiti Pertanian Malaysia (UPM) setelah berkhidmat sebagai sukarelawan di Kemaman, Terengganu. Perjalanan saya ini sebenarnya tidak dirancang pada awalnya. Seminggu saya melihat iklan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UPM yang memerlukan sukarelawan. Sebaliknya pada masa yang sama, adik saya juga memerlukan sokongan. Masa seminggu saya gunakan untuk berfikir baik buruk keputusan saya.
Akhirnya, setelah saya menghadiri ceramah ‘Merempit ke Jalan Allah’ yang dilaksanakan oleh kolej saya, hidayah Allah telah membuka hati saya. Saya meminta izin daripada abah dan mak dahulu sebelum memaklumkan kepada pihak yang terlibat. Alhamdullilah. Segalanya diperkenankan dan diizinkan Allah untuk memberi peluang kepada saya berkhidmat kepada masyarakat. Tengah malam Sabtu tanggal 7 Disember, saya mendaftar sebagai sukarelawan dan bertolak pada petang keesokannya.
08/12/13 (Ahad)
Pada hari Ahad, saya berangkat ke pejabat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Bangi. Takut. Resah. Saya bersendirian dan tiada teman yang dikenali. Risau juga andai kata tidak diterima kehadiran saya. Tapi Alhamdulillah. Saya dapat berkenalan dengan rakan-rakan yang baru. Satu UPM. Dua orang ‘adik’ tahun satu yang mengambil kursus yang sama iaitu statistik dan seorang ‘akak’ yang cukup hebat keperibadiannya. MasyaAllah.
Ada hikmah di sebalik segala sesuatu. Saya juga berkenalan dengan seorang lagi rakan yang duduk bersama saya di dalam bas. Cukup hebat insan-insan yang pergi bersama saya. Cukup terbuka dalam menerima rakan baru membuatkan saya berasa sangat selesa. Saya juga belajar sedikit sebanyak bahasa Arab. Para sukarelawan lelaki sangat menghormati dan mengutamakan keselamatan para sukarelawan perempuan. Keperibadian para sukarelawan perempuan sangat-sangat membuat saya segan dan malu sebenarnya untuk berada di samping mereka. Ilmu dunia mereka jangan dipandang sebelah mata. Ilmu akhirat mereka usah dipandang rendah. Kecil saya rasakan apabila bersama-sama mereka. Bahasa yang mereka gunakan antara satu sama lain. Sifat dan akhlak sesama mereka. Cukup tenang rasanya. saya berasa seolah berada di sebuah negara Islam yang sangat aman, damai dan tenteram. Lembaran baru dibuka.
Kami bertolak pada jam 5 petang untuk pergi ke Darul Insyirah terlebih dahulu untuk mengambil barang-barang sumbangan untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir. Agak penat juga mengangkat barang-barang yang berat itu tetapi kepenatan itu berbaloi. Kami dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu kumpulan ke Kuantan dan satu lagi ke Kemaman. Selepas maghrib kami bertolak menuju ke destinasi kami. Lebih kurang jam 1 pagi kami tiba di Kuantan. Para sukarelawan lelaki kumpulan tersebut tidur di pusat ADABI manakala para sukarelawan perempuan tidur di rumah yang disediakan.
Kami kembali meneruskan perjalanan kami ke Kemaman dan tiba pada jam 2.30 pagi. Kami disambut riang oleh penghuni rumah Balai Ukhuwah dan Dakwah ISMA (BUDI) Kemaman yang menjadi tempat penginapan para sukarelawan perempuan manakala para sukarelawan lelaki pula menginap di rumah yang disediakan. Kami dimaklumkan air dan elektrik tidak ada sejak banjir melanda. Oleh itu, mereka hanya menadah air hujan dan memakai lilin sahaja. Tetapi pada malam kami datang, air dan elektrik dapat disalurkan ke kawasan kami menginap. Syukur kepada Allah.
Kami berkenalan terlebih dahulu dengan penghuni rumah tersebut. Hanya tinggal dua keluarga sahaja pada masa itu kerana yang lainnya telah pulang ke rumah mereka untuk mengemas barangan mereka. Kanak-kanak kecil pula telah tidur. Maklumlah kerana kami tiba sangat lewat.
Tepat jam 3.30 pagi kami melelapkan mata.
09/12/13 (Isnin)
Selesai solat subuh, kami menyediakan sarapan. Para sukarelawan lelaki turut membeli nasi lemak untuk menambah menu sarapan kami. Sarapan kami pada pagi itu adalah roti sardin dan nasi lemak. Kami dimaklumkan bahawa mereka banyak membuat menu bertemakan sardin dan telur kerana itu merupakan salah satu bahan yang paling mudah didapati dan dimasak. Nasi goreng sardin, kari sardin, sambal sardin, telur dadar, telur kicap, telur goreng dan menu lain bertemakan sardin dan telur. Selesai bersarapan, kami diberi taklimat tentang tugasan kami. Kami dipecahkan kepada 3 kumpulan dan kami akan membantu membasuh dan membersihkan rumah-rumah mangsa banjir di situ. Kami memulakan perjalanan ke rumah-rumah pada jam 9 pagi.
Sepanjang perjalanan, boleh dikatakan keadaan rumah-rumah tidak seperti tempat kediaman lagi. Air telah surut tetapi kerosakan barang usah dikata. Saya difahamkan air di kedua-dua sungai di kampung tersebut telah naik dan bertembung keduanya. Rumah yang saya tuju merupakan salah seorang ahli ISMA. Paras air di rumah beliau adalah pada paras leher saya. Sangat tinggi. Jika saya, telah lemas rasanya. Sudahlah saya tidak pandai berenang. Air yang masuk pula bukanlah setakat air jernih tetapi air lumpur. Barang-barang seperti pinggan, beg, buku semuanya disalut lumpur. Lumpur itu pula tebal dan perlu digosok kuat untuk dihilangkan betul-betul.
Paras air yang tinggi.Lihat tanda air.
Para sukarelawan lelaki kumpulan kami ditugaskan membersihkan bahagian dalam rumah manakala para sukarelawan perempuan pula ditugaskan untuk membasuh barang-barang. Sayang sekali kerana banyak barang yang rosak seperti gambar perkahwinan mereka, almari, tilam dan perkakas elektrik. Rumah-rumah di sekitar itu juga turut giat melakukan pembersihan pada rumah mereka. Di sebelah rumah kami ditugaskan, saya melihat seorang anak kecil duduk dan makan di hadapan rumah. Menyesal pula kerana saya tidak membawa apa-apa makanan pada masa itu. Selepas itu, saya melihat ayahnya datang dan ingin makan tetapi apabila dibuka periuk nasi itu, makanan telah habis. Maka ayahnya hanya meneguk air sahaja sebelum menyambung kerja semula. Kita di sini?
Kami pulang pada tengah hari dan menyambung tugas di rumah lain pula pada sebelah petangnya. Kami bertolak selepas Zuhur. Selesai sebuah rumah, kami pergi ke sebuah rumah warga emas yang sangat memerlukan bantuan tenaga. Kasihan saya lihat. Yang tinggal di situ adalah seorang atuk dan nenek. Yang ada ketika itu hanyalah anak perempuan mereka yang pulang seketika. Terlalu banyak barang di dalam rumah tersebut. Keadaan rumah pula bergelap kerana ketiadaan elektrik. Para sukarelawan perempuan ditugaskan mengemas bilik mereka. Banyak barang simpanan dan pakaian yang rosak. Kami mengambil masa selama dua jam untuk meng’clear’kan barang-barang tersebut tetapi masih terdapat lagi banyak barang. Jadi, kami hanya mampu membersihkan setakat yang kami mampu dan para sukarelawan lelaki akan menyambung pada keesokan harinya. Kami pulang pada waktu maghrib. Namun, atuk dan nenek terpaksa bergelap kerana ketiadaan elektrik dan lilin mereka juga telah habis. Atas jasa baik, para sukarelawan lelaki pergi pada malam hari untuk memberi lilin kepada atuk dan nenek tersebut. Syukur.
Antara barang yang rosak terkena lumpur.
Menu makan malam kami adalah sup sayur, sardin dan telur kicap. Apabila difikirkan kembali, kasihan melihatkan banyak barang yang rosak walaupun sebenarnya nyawa itu lebih penting. Dalam perjalanan ke Kemaman dan Kuantan, saya melihat banyak kereta dan lori serta motosikal tersadai di jalan-jalan. Perabut-perabut juga hanyut dibawa air. Barang-barang yang rosak. Buku-buku. Tiada elektrik dan air. Kita di sini?
Nikmat Tuhan apa lagi yang hendak kita nafikan?
Hujan turun pada malam hari.
10/12/13 (Selasa)
Pada pagi ini, para sukarelawan perempuan pula menyediakan sarapan. Akak comel yang memasak dibantu oleh adik-adik. Nasi goreng sardin, nasi lemak dan bihun. Syukur.
Kumpulan saya ditugaskan untuk ke Kampung Air Putih. Namun, jambatan masih lagi ditenggelami air dan para sukarelawan perempuan tidak dibenarkan mengikuti misi itu atas faktor keselamatan. Dalam perjalanan, terdapat sebuah trak tentera yang membawa bantuan banjir kemalangan. Alhamdulillah tiada yang tercedera.
Oleh kerana para sukarelawan perempuan tidak dibenarkan mengikuti sukarelawan lelaki ke pusat penempatan, kami menunggu di sebuah rumah. Kami bersiar pergi ke kedai untuk membeli air. Dalam perjalanan, kami berbual. Kebetulan, seorang ustazah mendengar perbualan kami lalu menjemput kami untuk minum di pusat asuhan beliau. Ya Allah. Segan kami kerana kamilah yang sepatutnya menjemput beliau. Beliau mengatakan telah seminggu ketiadaan air tetapi beliau masih mampu menjemput kami minum di sana. Sebaik mungkin beliau melayan kami. Memberi kami biskut. Baiknya hati beliau. Minum dan mandi mereka hanya bertadahkan air hujan dan jika tiada, air mineral menjadi pengganti. Mereka masih mampu untuk senyum dan berbakti lagi kepada tetamu sedangkan harta benda mereka rosak teruk. Inilah yang dinamakan bersyukur dan bersabar atas ujian Allah.
Setelah itu, kami pergi ke sebuah pusat penempatan yang mana kebanyakan penghuni di situ adalah warga emas dan kanak-kanak. Kami ke sana sebagai ‘cikgu sehari’ untuk menceriakan anak-anak kecil. Alhamdulillah. Pengalaman mengajar saya untuk bersama mereka. Saya tertarik dengan seorang anak kecil yang namanya Hakim dan adiknya Hazif. Saya duduk bersama mereka ketika mereka diberi kertas lukisan untuk melukis dan mewarna. Hazif tidak kekok malah sangat ramah tetapi Hakim sangat pemalu. Dia cuba menyorokkan lukisan yang dilukis kerana dia berkata pada saya lukisan dia buruk. Tapi saya buat tak tahu kerana saya tidak mahu dia berasa putus asa begitu sahaja dan saya tinggalkan dia. Riang kami lihat anak-anak itu. Telatah mereka mencuit hati. Nakal tapi mesra. Apabila diberi belon, masing-masing bermain dengan gembira dan bersungguh-sungguh. Tiup belon besar-besar. Ada belon yang meletup.
Riang bermain belon bersama teman-teman
Kemudian, kami menemani beberapa anak-anak kecil makan. Berselera sungguh. saya sempat memberikan biskut oat coklat kepada mereka tetapi hanya sedikit sahaja yang saya bawa. Sekali lagi, saya alpa untuk membawa banyak-banyak. Rugi rasanya terlepas peluang itu. Anak-anak suka dapat makan biskut tu. Lega juga rasanya. Sayu saya melihat mereka memilih-milih pakaian untuk dipakai. Kita di sini?
Apabila tiba masa untuk pulang, mereka bersalam dengan kami. Seronok dapat menjadi ‘cikgu’ pada anak-anak untuk seharian itu. Sehingga kami turun dari bukit, mereka melambai-lambai ke arah kami. Sayu pula rasanya. Sudah cukup bersyukurkah kita dengan nikmat yang Allah beri selama ini?
Kami pulang ke Selangor dan selamat tiba pada jam 1 pagi.
Saya berasa sungguh seronok kerana dapat mengenali insan-insan yang hebat belaka. Dapat juga saya membantu sedikit sebanyak kepada yang memerlukan. Segalanya dengan izin Allah.
Antara kenangan yang indah yang akan diingati. Pengalaman keemasan yang jarang didapati.
Alhamdulillah…
December 12, 2013 at 12:49am
Nur Rabiatul Adawiyah binti Abdul Halim. Sarjana Muda Sains (Kepujian) Major Statistik, UPM