Pendapat

Kempen Jauhi Zina: Mencegah lebih baik dari merawat

UmumKJZ1

Hanya tinggal sehari sahaja lagi sebelum kita semua melangkah ke tahun 2014. Di Malaysia, seolah-olah sudah menjadi satu budaya, kedatangan tahun baru akan disambut dengan percikan bunga api, persembahan hiburan dan aktiviti ‘count down’. Golongan muda khususnya sering menjadikan malam ini sebagai alasan untuk keluar bersama rakan-rakan. Pasangan kekasih pula mengambil kesempatan untuk keluar bersama dan tidak kurang yang akhirnya terlanjur sehingga melakukan maksiat zina.

Satu kerosakan akan membuka pintu kepada kerosakan yang lain. Begitulah juga dengan maksiat zina. Sama ada berakhir dengan anak luar nikah yang dibuang, penyakit kelamin berjangkit yang menjijikkan ataupun zina akhirnya menjadi satu ketagihan, semua kesan-kesan negatif ini pastinya akan merosakkan golongan muda yang merupakan  harapan agama dan bangsa ini.

Menyedari ancaman budaya sambutan tahun baru yang berpotensi untuk mendedahkan remaja dan belia muslim kepada zina, Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Kuantan dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan Kelab Remaja ISMA (KRIM) telah berganding bahu untuk mejayakan Kempen Jauhi Zina sempena kedatangan tahun baru.

Aktivis PEMBINA dan KRIM  telah mengedarkan pamplet ‘Jauhi Zina’ di pasaraya East Coast Mall Kuantan dan pusat peranginan Pantai Teluk Cempedak. Kumpulan sasaran adalah golongan remaja dan belia dan juga golongan ibu bapa agar lebih perihatin akan aktiviti anak-anak mereka pada malam tahun baru. Selain mengedarkan pamphet, aktivis PEMBINA dan KRIM juga mengambil peluang ini untuk mendengar pandangan kumpulan sasaran tentang isu zina, dan menasihati remaja dan belia untuk tidak mendekati perkara-perkara yang akan membawa kepada maksiat mungkar ini dan seterusnya menggalakkan anak-anak muda ini untuk menyampaikan mesej kempen ini kepada rakan-rakan yang lain.

Pelbagai respon diterima. Majoriti kumpulan sasaran sebenarnya mengalu-alukan usaha sebegini dan mengakui masalah zina di kalangan remaja dan belia muslim semakin kritikal. Lihat  sahaja kepada masalah buang bayi yang masih belum menemui titik nohtah, malah kian bertambah. Golongan ibu bapa juga menyatakan kebimbangan mereka kepada trend anak muda hari ini yang gemar bergaul bebas lelaki dan perempuan termasuk di alam maya. Mungkin atas faktor aktivis PEMBINA dan KRIM yang rata-rata adalah remaja dan belia, golongan sasaran lebih mudah menerima dan bersikap terbuka untuk berkongsi pandangan.

Saya sendiri menimba pengalaman berharga sepanjang kempen ini.  Sekiranya di hospital, saya hanya mampu menasihati remaja perempuan setelah mereka mengandung anak luar nikah, dalam kempen ini saya berkesempatan untuk turun ke medan dalam usaha pencegahan. Walaupun sedih melihat realiti remaja semuda pelajar tahun 4 menunggu giliran untuk memasuki pusat hiburan karaoke,  sekumpulan remaja perempuan  tahun enam berpakaian lebih hebat dari artis,  hati saya tetap meyakini kemengangan untuk Islam suatu hari nanti apabila melihat ketekunan para pendakwah muda yang dengan berani dan yakin melawan arus, dengan pakaian mereka yang sopan menutup aurat dengan tenang mendekati rakan-rakan sebaya mereka untuk berkongsi mesej yang penting ini; JAUHI ZINA dan perkara-perkara yang membawa kepada zina.. kerana mencegah itu lebih baik dari merawat.

Bingkisan pengalaman,
Dr Norbaiyah Mohamed Bakrim,
Ketua Beliawanis PEMBINA Cawangan Pahang

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker