Pendapat

2014: Bersama mendepani ancaman kepada Islam

Tahun 2014 dan tahun-tahun yang mendatang pasti menjanjikan cabaran yang lebih hebat kepada usaha mempertahan dan memartabatkan Islam di Malaysia. Walaupun masyarakat Melayu muslim adalah majoriti dan Islam adalah agama persekutuan, namun kita terus menerima asakan bertali arus dari segenap sudut. Malang sekali asakan-asakan ini hanya menampakkan kelemahan kita umat Islam di Malaysia, bukan kekuatan dan kesatuan seperti yang sepatutnya.

Musuh-musuh Islam telah berjaya pada satu tahap, membahagikan kita kepada blok-blok tertentu tanpa disedari oleh kebanyakan daripada kita. Kita gagal membentuk satu kesepakatan suara dan gagal menghantar isyarat yangg tegaskepa da pihak-pihak yang mencabar kedaulatan Islam dan keistimewaan orang Melayu. Lebih malang apabila ancaman-ancaman tersebut datang dari kalangan kita sendiri, yang telah menjadikan ‘ketamadunan’ Barat dan logik akal semata sebagai hujah menyanggah ketetapan syarak yang menjadi pegangan kita selama ini.

Telah lahir ‘pemikir-pemikir Islam’ berfikiran liberal dengan pendapat-pendapat yang jauh menyimpang dari kefahaman Islam sebenar dan telah wujud pula medium-medium yang mengangkat idea golongan ini untuk diketengahkan secara meluas. Masyarakat dihidangkan dengan pelbagai input yang secara halus cuba mempengaruhi bahawa Islam tidak berlaku adil, menzalimi hak golongan minoriti, tidak mengikut peredaran zaman dan sebagainya. Tambah mengelirukan, ayat Quran dan hadis digunapakai sesuka hati untuk menyokong hujah sedangkan dipetik dalam konteks yang salah. Seruan dan nasihat alim ulamak dan pihak berautoriti dipermainkan kerana merasakan pandangan akal fikiran mereka lebih tepat walaupun mereka sebenarnya mempunyai pengetahuan yang amat cetek tentang hal agama mereka sendiri.

‘Fikrah’ golongan Islam liberal ini mendapat sokongan golongan bukan Islam berkepentingan dengan memberi pengiktirafan bahawa inilah Islam sebenar yang sesuai untuk masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Manakala pihak-pihak yang tampil bertegas dan membangkang versi Islam liberal mereka ini terus menerus dilabelkan sebagai pelampau agama, jumud dan sebagainya.

Tidakkah kita merasakan ini sebagai satu ancaman yang besar? Walaupun pertembungan begini hampir keseluruhannya berlaku di alam siber, namun memandang sebelah mata dan merasa selesa dengan keadaan sekarang bukanlah tindakan yang bijak. Dengan kebolehcapaian internet yang semakin meluas, ia tidak akan mengambil tempoh yang lama untuk sampai ke setiap pelusuk kota dan ke segenap ceruk desa.

Tidak dapat tidak, umat Islam perlu tampil menentang ancaman-ancaman sebegini secara berdepan dan konsisten, bukan hanya bermusim. Tidak sepatutnya perkara yang melibatkan survival umat Islam dilihat sebagai agenda tersirat pihak tertentu. Duduklah dalam parti dan persatuan masing-masing tetapi marilah tampil bersama-sama bilamana kedaulatan Islam dicabar dan bilamana maruah umat ini dicalar.

Semoga tahun 2014 menjanjikan lebih kesepakatan sesama pejuang Islam yang ikhlas di bumi tercinta ini.

Melayu Sepakat Islam Berdaulat.
Mohamad Syauqi Saidin
Pengarah Biro Dakwah, ISMA Shah Alam

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker