Pendapat

Persoalan-persoalan di sekitar isu semasa

Isu tuntutan COMANGO dan penyalahgunaan kalimah Allah telah menimbulkan kekalutan dan kekacauan yang tidak pernah dialami sebelum ini oleh masyarakat Islam di Malaysia. Masyarakat Islam pula diasak dengan pelbagai persoalan yang mengelirukan, sehingga menzahirkan beberapa sikap yang ditunjuk oleh pelbagai pihak seperti pemimpin-pemimpin politik dan badan bukan kerajaan yang hasilnya membuatkan umat Islam berasa serba-salah dan terpinga-pinga apa yang harus mereka lakukan.

Kenapa tidak berdialog?

Soalan ini lebih patut dilontarkan kepada COMANGO dan Pihak Gereja. Adakah COMANGO berdialog atau meminta pandangan majoriti masyarakat Malaysia yang beragama Islam sebelum mereka ke luar negara dan mendesak tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah serta bercanggah dengan Perlembagaan seperti membenarkan kebebasan untuk murtad, mengiktiraf budaya hidup LGBT (budaya zina dan liwat), menuntut hak keistimewaan orang Melayu dalam perlembagaan dipinda, mengiktiraf ajaran sesat Syiah di Malaysia, menuntut agar mana-mana ibu bapa yang memeluk Islam tidak diberi hak penjagaan anak, mendesak penghapusan hukuman syariah? Mereka sudah pun melangkah dan mengambil tindakan tetapi kita diseru untuk ajak berdialog?

Adakah akidah umat Islam begitu lemah?

Soalan ini sudah terjawab dengan bukti-bukti di depan mata. Jika akidah umat begitu kukuh, kita tidak akan dapat melihat umat Islam berpegang dengan nilai-nilai kehidupan yang merosakkan yang dizahirkan melalui cara hidup yang jauh daripada Islam atau menjadikan selain Quran dan Sunnah sebagai rujukan membuat pendirian. Lihat saja berapa banyak pertubuhan-pertubuhan atau individu-individu Islam yang lebih mengutamakan Hak Asasi Manusia versi Barat berbanding Quran dan Sunnah.

Kenapa tak kukuhkan saja akidah umat Islam? Kenapa salahkan orang lain?

Jika kita menanam pokok, sudah tentu kita akan terus membaja dan menyiram untuk menyuburkannya. Kadang-kadang kita terlupa untuk siram, kadang-kadang kita terlupa untuk membaja, itu kesilapan kita. Tetapi bila ada orang datang untuk merosakkan tanaman, adakah kita akan menyalahkan diri sendiri kerana tidak membaja dan menyiram, atau kita menghalang orang yang ingin menebas tanaman kita? Benar, kita perlu terus menyiram dan membaja akidah umat Islam dengan menggiatkan aktiviti dakwah tetapi adakah kita akan terus membiarkan pihak pelampau melanggar hak-hak kita dan merosakkan keharmonian?

Kenapa berburuk sangka?

Soalan yang lebih tepat adalah kenapa memilih dalam berburuk sangka? Apabila JAIS menyita kitab-kitab Bible yang jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan kalimah Allah, mengapa ada sesetengah pihak, yang sentiasa menyeru kepada baik sangka, tanpa segan silu memangsakan JAIS? Pernahkah mereka bertanya adakah JAIS mengikut prosedur? Adakah JAIS melanggar apa-apa peraturan? Persoalan ini telah pun dijawab oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi. Kenapa diseru pula supaya kita berbaik sangka dengan pihak yang melanggar peraturan dan melanggar titah Sultan?

Kenapa terlalu ekstrem dan merosakkan keharmonian sedia ada?

Persoalan yang perlu dilontarkan adalah siapa sebenarnya yang ekstrem? Orang Islam yang menuntut hak mereka yang termaktub dijaga, atau pihak yang telah melanggar hak-hak ini? Pihak Gereja telah terlebih dahulu membawa isu Penyalahgunaan kalimah Allah ke mahkamah, kemudian pihak mahkamah telah pun memutuskan keputusannya. Dengan sombong sekali keputusan mahkamah dibakulsampahkan dan titah Sultan diabaikan. Orang Islam yang bertegas dalam menjaga hak majoriti pula dilabel ekstrem.

Umat Islam diserang penyakit apologetik yang dasyat

Umat Islam diserang penyakit apologetik yang dasyat sehingga mereka sentiasa berasa serba salah untuk memperjuang hak-hak yang sudah sedia termaktub. Umat Islam lebih cenderung untuk menyalahkan diri sendiri walaupun pihak-pihak yang faqih dalam agama telah pun mengeluarkan fatwa dan pendirian daripada hasil muzakarah dalam isu Kalimah Allah. Umat Islam begitu tertekan kerana diasak dengan label ekstrem dan sebagainya oleh media yang tidak bertanggungjawab. Penyakit ini haruslah dirawat dengan mencontohi semangat dan izzah para Sahabat yang sentiasa berbangga dengan kedudukan Islam yang lebih tinggi daripada agama-agama lain dan tidak merasa kecil serta bertegas dengan kumpulan yang mempersenda Islam.

Soalan kepada pemimpin-pemimpin politik

Kepada pemimpin-pemimpin politik yang mempersoal adakah akidah rakyat Malaysia begitu lemah, penulis selaku rakyat Malaysia ingin mempersoal semula pemimpin-pemimpin politik tersebut, adakah kamu semua begitu lemah dalam mempertahan hak kami yang sudah sedia termaktub? Adakah kamu begitu lemah dalam menahan asakan-asakan pihak pelampau dan tidak bertanggungjawab? Adakah kamu begitu lemah dalam mempertahan kedaulatan undang-undang? Jika permainan politik seperti ini berterusan, siapa lagi yang akan memperjuang dan mempertahan kedudukan Islam dan identiti tanah ini?

Eqwan Roslan,
Aktivis ISMA Eropah,
Pelajar MSc Renewable Energy and Clean Technology di University of Manchester.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker