Pendapat

Rabi’ul Awwal – Iktibar daripada Seerah Nabi buat umat Islam masa kini

rabiul awal
Bulan Rabi’ul Awwal merupakan bulan kelahiran Nabi yang dikasihi (menurut pandangan sesetengah ulama), Nabi akhir zaman penutup segala Rasul, Nabi Muhammad saw. Apabila disebut seerah Rasul, umat Islam pada hari ini kebanyakannya hanya mengetahui maklumat-maklumat berbentuk luaran yang ringan tanpa mengambil iktibar sepenuhnya. Sedangkan pada setiap peristiwa seerah itu tersembunyi ibrah yang mampu membangkitkan iltizam, menggerakkan hati dan membuahkan keazaman dalam kehidupan seseorang. Malangnya umat Islam kini hanya memuliakan Nabi Muhammad saw dan seerah baginda secara ikutan dengan pengetahuan yang sedikit dan hanya berpada di hati dan lisan, tetapi tidak dizahirkan dengan amal dan perbuatan.

Bagi seorang muslim yang benar-benar mencintai Rasulullah saw, kehidupan baginda bukanlah hanya suatu cerita hiburan untuk mengisi masa lapang, kisah yang dibaca ketika Maulidur Rasul atau digunakan sebagai sumber kajian kritis ilmuan yang ingin mengejar ijazah kedoktoran. Ini bukanlah intipati bagaimana untuk membuktikan kasih sayang terhadap Rasulullah saw. Ikatan hidup seorang Muslim dengan Rasulullah saw lebih mendalam daripada semua ini. Bagi muslim yang mencintai Rasulullah saw, kehidupan baginda dijadikan teladan dan pedoman untuk perjalanan hidup seharian. Begitulah cara seorang muslim membentuk ikatan jiwa dengan Rasulullah saw. Mereka yang benar-benar beramal dengan risalah Nabi Muhammad saw mempunyai ikatan rohani dan akal yang lebih kuat dengan baginda daripada mereka yang  secara fizikal hampir kepada maqam Nabi tetapi saling bertolakan untuk menunaikan solat sunat di kawasan Raudhah yang mulia. 

Marilah kita merenung beberapa kisah daripada mutiara seerah dan bandingkan dengan keadaan umat Islam khususnya di Malaysia untuk dijadikan pengajaran.

Seerah Sepintas Lalu

Sebelum peristiwa Hijrah, setiap kali musim Haji Rasulullah saw telah banyak mendekati pelbagai kabilah untuk menerima Islam. Rasul saw melawat khemah para haji di Mina sambil menyeru setiap wakil kabilah ke arah Islam. Namun, kesemua kabilah Arab tersebut menolak seruan tersebut. Alasan mereka mudah, mengapa mereka mahu menerima Islam sedangkan kabilah Nabi saw sendiri menolak baginda? Hanya ketika tahun ke 11 kenabian baginda, dalam perjalanan Rasul saw terserempak dengan enam pemuda Ansar dari Bani Khazraj yang sedang mencukur rambut. Baginda saw mengambil kesempatan tersebut untuk berdakwah dan mereka menerima dengan mudah. Tahun berikutnya berlaku Perjanjian Aqabah I, diikuti dengan Perjanjian Aqabah II pada tahun 13 kenabian dan seterusnya peristiwa Hijrah.

Marilah kita merenung sebentar mengapa penduduk Madinah mudah menerima Islam. Mereka yang mendalami Seerah telah mengetahui bahawa selain daripada faktor penduduk Yathrib mempunyai hati yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah, antara faktor utama adalah generasi muda Aus dan Khazraj sudah penat bertembung sesama mereka setelah 40 tahun bertempur sedangkan kedua-dua kabilah tersebut mempunyai asal usul yang sama iaitu bani Azd dari Yaman. Pertempuran terakhir kabilah Aus dan Khazraj di dalam perang Buath telah menyebabkan ramai pemimpin veteran Aus dan Khazraj terkorban. Generasi muda ini mahukan perubahan dan mengimpikan perdamaian. Dengan izin Allah, jalan keluar mereka temui dengan kepemimpinan Rasul saw melalui penerimaan Islam.

Faktor seterusnya adalah mereka berjiran dengan kaum Yahudi di Madinah dan terdedah dengan ajaran agama Yahudi yang meramalkan akan datang nabi pada akhir zaman. Malah, seringkali jika kaum Yahudi berbalah dengan bangsa Arab di Yathrib mereka akan mengatakan bahawa nabi akhir zaman akan tiba di kalangan orang Yahudi untuk mengakhiri penguasaan politik Kabilah Aus dan Khazraj di Yathrib. Oleh sebab itulah apabila golongan Ansar berjumpa dengan Nabi Muhammad saw, mereka (Ansar) lebih cepat menerima kerasulan baginda kerana mahu berlumba dengan bangsa Yahudi.

Faktor terakhir, sekalipun bangsa Arab adalah majoriti di Madinah namun penguasaan ekonomi dipegang oleh kaum Yahudi. Di dalam sesuatu perbalahan, Banu Qainuqa di kalangan Yahudi menyokong kabilah Aus manakala Banu Nadhir dan Banu Quraizah pula membantu kabilah Khazraj. Lihatlah kebijaksanaan percaturan politik tersebut yang sekaligus menguntungkan kaum Yahudi yang minoriti. Apabila generasi muda dari kedua-dua belah kabilah sedar bahawa mereka sebenarnya dipermainkan oleh kaum Yahudi, mereka mula berdamai dan berada dalam proses yang hampir untuk melantik Abdullah bin Ubay bin Salul dari kaum Khazraj sebagai raja mereka. Namun, Allah swt mentakdirkan Rasulullah saw berjumpa jemaah haji daripada kabilah Aus dan Khazraj yang menjadi titik permulaan berlakunya peristiwa Hijrah selepas Perjanjian Aqabah ke II.

Saksikanlah keindahan ajaran Islam bagaimana bertitik-tolak daripada permuafakatan yang terbentuk melalui persaudaraan kedua-dua kabilah tersebut melalui aqidah Islam, terlerailah permusuhan asabiyah politik yang telah lama memisahkan mereka. Malah, Islam telah pergi lebih jauh dengan menyatukan golongan Ansar dan Muhajirin membentuk suatu persepakatan yang belum pernah diamalkan oleh mana-mana kabilah Arab sebelum ini – pembentukan satu “kabilah” baru atas dasar aqidah dan bukannya atas dasar kebangsaan ataupun warna kulit. Kesetiaan mereka hanyalah kepada Allah swt dan Rasul saw. Negara Islam Madinah pun terbentuk dan sejak daripada itu kaum Yahudi dan Abdullah bin Ubay bin Salul serta golongan munafiq semakin membenci baginda saw kerana sudah hilang monopoli ekonomi dan peluang penguasaan politik di Madinah Munawwarah.

Saksikanlah juga kesungguhan Rasulullah saw memelihara kesatuan umat Islam setiap kali golongan munafiq yang membenci kesatuan ini seringkali mencuba di setiap kesempatan untuk memecahkannya dengan seruan assabiyah jahiliyyah. Ketika terjadi satu perbalahan kecil antara khadam Saidina Umar ra dan seorang pemuda Ansar dalam perjalanan pulang selesai dari Perang Bani Mustaliq, khadam Saidina Umar ra menyeru “Wahai orang-orang Muhajirin, bantulah aku” manakala pemuda Ansar pula menyeru “Wahai orang-orang Ansar, bantulah aku”. Abdullah bin Ubay yang mendengar teriakan tersebut mengambil kesempatan untuk membangkitkan dendam kesumat dan seruan Jahiliyah yang telah dimatikan oleh Islam. Namun, Rasulullah saw berjaya memadamkan api jahiliyah yang jika dibiarkan akan merebak umpama api dalam sekam.

Saksikanlah juga kebijaksanaan Rasulullah saw ketika perjanjian Hudaibiyah dimeterai. Perjanjian tersebut berlaku ketika kaum musyrikin terpaksa mengiktiraf kekuatan kesatuan umat Islam. Walhal sepanjang Rasul saw berada di Mekah ketika umat Islam benar-benar terhimpit, dipulau dan tersiksa, baginda tidak menerima sebarang kompromi atau berunding dengan pemimpin kafir Quraisy pada waktu tersebut sekalipun untuk meringankan kesusahan yang dialami oleh umat Islam walaupun sedikit. 

Sejarah juga menyaksikan ketegasan Rasulullah saw apabila umat Islam mencapai kemenangan mutlak pada Hari Pembukaan Mekah dan segala patung-patung berhala yang tersergam di Kaabah dihancurkan, maka lenyaplah kebatilan sepenuhnya. Ketika Rasul saw memerintahkan supaya pintu Kaabah dibuka dan melihat adanya gambar Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail alaihimassalam sedang menilik nasib dengan batang-batang kayu seperti anak panah tanpa mata, baginda saw dalam keadaan marah berkata kepada kaum musyrikin sambil memerintahkan agar gambar tersebut dimusnahkan:

“Semoga Allah memerangi kaum musyrikin. Demi Allah, mereka berdua tidak pernah menilik nasib dengan benda ini sama sekali.” Hadith sahih diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibnu Abbas radiallahuanhuma.

Seerah juga telah mencatit pada bulan Rabi’ul Awwal tahun ke 11 Hijrah, sebaik sahaja kewafatan baginda bagaimana umat ini hampir berpecah ketika perjumpaan di Saqifah Banu Saa’dah untuk melantik khalifah pertama umat Islam. Golongan Ansar mahu memilih Sa’ad bin Ubaadah ra memandangkan merekalah anak tempatan yang memberi perlindungan dan bantuan kepada Rasulullah s.a.w dan para muhajirin yang datang dari Mekah. Manakala Saidina Abu Bakar ra yang melihat dengan pandangan yang lebih jauh mengesyorkan agar jawatan khalifah diberikan kepada orang Quraisy berdasarkan pada masa tersebut bangsa Arab secara keseluruhan melihat kepada bangsa Quraisy sebagai tunjang kepemimpinan. Saidina Abu Bakar ra juga menyatakan bahawa kaum Muhajirin merupakan golongan pertama memeluk Islam tanpa menafikan bakti dan segala jasa yang telah dihulurkan oleh golongan Ansar dari kaum Aus dan Khazraj. Akhirnya suasana hangat tersebut berakhir apabila semua yang hadir membai’ah Saidina Abu Bakar ra sebagai khalifah pertama tanpa pertikaian lagi termasuklah daripada Saad bin Ubaadah ra.

Ibrah Buat Umat Ini

Begitulah beberapa permata berharga yang dikutip dari kisah Rasulullah saw. Seerah yang telah diringkaskan secara sepintas lalu itu mempunyai pelbagai pengajaran yang berharga bagi mereka yang ikhlas dan mahu berfikir. 

Perhatikan bagaimana aqidah Islam telah menghilangkan unsur jahiliyah yang memecah-belahkan kepada unsur persaudaraan yang diikat dengan kesetiaan kepada Allah dan Rasul. Perhatikan juga bagaimana berasaskan daripada kesatuan umat Islam, barulah perpaduan nasional dibentuk dengan penduduk bukan Islam menghormati kepemimpinan umat Islam. Perhatikan juga bagaimana musuh-musuh Islam pasti ada yang tidak mahu melihat permuafakatan umat Islam terjalin kerana menyedari persepakatan tersebut hanya akan membawa kepada hilangnya dominasi politik dan monopoli ekonomi golongan tertentu yang mendapat laba keuntungan daripada perpecahan tersebut. Perhatikan juga waktu dan suasana Rasulullah saw duduk di meja rundingan dengan golongan musyrikin – ketika kesatuan Islam mempunyai kekuatan kuasa pendesak untuk mempengaruhi sesuatu perjanjian. Perhatikan juga ketegasan dan kebencian Rasulullah saw dalam sebaran perkara batil yang merosakkan aqidah umat baginda. Perhatikan juga kebijaksanaan para sahabat selepas kewafatan baginda untuk meneruskan kepemimpinan Islam dengan mengambil kira suasana sosio-politik waktu tersebut iaitu kedudukan kaum Quraisy sebagai tunjang kepemimpinan bangsa Arab.

Bandingkanlah dengan suasana umat Islam khususnya di Malaysia sekarang dan kita akan dapati daripada kisah yang disampaikan terkandung formula penyelesaian kemelut di tanahair.

Persoalannya:

– Sudahkah kita bersedia untuk menolak “assabiyah” politik kepartian agar impian untuk umat Islam dapat mencapai kata sepakat di tanah air sendiri di atas dasar aqidah menjadi satu realiti?

– Sudahkah kita bersedia untuk memeriksa kesahihan sebarang berita yang disebarkan melalui media massa atau media alternatif sama ada dari parti pemerintah atau parti alternatif sebelum berkongsi pada status facebook atau twitter kita? Bukankah sejarah dan peringatan di dalam Al-Quran sahaja sudah cukup buat kita untuk mengiktiraf hakikat bahawa umat ini akan sentiasa bertembung dengan kebatilan sama ada di kalangan umat Islam sendiri atau dari musuh luar? 

– Sudahkah kita bersedia untuk menerima hakikat bahawa jalan pertama kepada penyelesaian permasalahan di tanah air ini adalah dengan membentuk perpaduan sesama umat Islam terlebih dahulu sebelum membentuk perpaduan nasional dengan masyarakat bukan Islam?

– Sudahkah kita bersedia untuk bertegas di dalam isu aqidah dan tidak terus membelakangkan isu tersebut semata-mata kerana apabila disentuh oleh parti lawan, isu aqidah menjadi busuk dan kelihatan palsu?

– Sudahkah kita bersedia untuk keluar daripada perpecahan politik dan cengkaman pemonopoli ekonomi dengan meletakkan syariah Islam sebagai garis panduan umat ini?

– Sudahkah kita bersedia untuk menutup segala ruang walau sekecil mana sekalipun untuk musuh Islam merosakkan pemahaman aqidah yang murni ini?

– Sudahkah kita bersedia untuk mengakui bahawa umat islam di Malaysia sebenarnya terbahagi kepada dua kabilah politik dan inilah assabiyah yang merugikan umat Islam? Assabiyah parti politik yang memecahkan umat Islam itulah yang sebenarnya ditegah Islam dan lebih berbahaya daripada seruan ke arah persepakatan bangsa untuk mendaulatkan syiar Islam.

Yakinilah bahawa Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam menyelesaikan kemelut yang sedia ada.

Penutup

Di sinilah kepentingan kita mencari ilmu dan memahami pengajaran di sebalik setiap perjalanan Rasulullah saw .Hakikatnya, tugas Nabi Muhammad saw bukanlah untuk menarik kita ke syurga dengan talian hayat ghaib atau surat pengampunan dosa. Sesungguhnya tugas dan kehidupan Baginda saw ialah mencampakkan ke dalam sanubari kita satu kesedaran yang dengannya kita mampu melihat kebenaran dalam keadaan yang asli. Peranan Nabi Muhammad saw adalah untuk menyampaikan risalah tauhid serta menjelaskan apakah itu kebatilan dan apakah itu haq. 

Namun semasa umat Islam semakin lalai, musuh-musuh Islam telah mengambil kesempatan meretakkan binaan Islam satu persatu agar satu hari ia hanya tinggal runtuhan seperti candi di Lembah Bujang. Bagaimanakah kita boleh membiarkan suasana jahiliyyah berkembang semula di tanah air ini setelah Islam bertapak di Tanah Melayu ratusan tahun yang dahulu? Bagaimanakah  boleh dibiarkan berlaku perubahan yang bahaya sebegini dalam diam-diam sedangkan kita melaungkan slogan cintailah Rasulullah saw ketika maulidur rasul?

Oleh itu, umat Islam hendaklah memahami dengan mendalam seerah Rasulullah saw. Ini tidak mungkin akan terlaksana melainkan dengan memahami tujuan risalah Islam, mempelajari perjalanan hidup baginda dan berpegang dengan teliti ajaran yang telah disampaikan berdasarkan dalil Al-Quran dan As-Sunnah yang jelas. Sempena bulan Rabi’ul Awwal ini marilah kita merenungi keadaan diri kita dan umat ini. Jalan manakah yang akan kita pilih untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat? Di sisi Allah hanya ada dua, jalan kekufuran atau jalan ketundukan.

Alangkah murahnya kasih sayang kepada baginda jika ia hanya sekadar kata-kata. Namun alangkah mahalnya kasih sayang kepada Rasulullah saw andaikata ia dizahirkan dalam bentuk ikutan, kepatuhan dan ketundukan kepada Allah swt sebagaimana yang telah diajar baginda.

Abu Ameen
Aktivis ISMA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker