Tapis siaran lagu berunsur negatif
Membaca berita peningkatan remaja hamil luar nikah semalam membuatkan saya kembali terfikir mengenai gejala sosial hari ini. Agak ‘cliché’ isu ini seolah-olah masyarakat sudah lali dan terbiasa dengan berita-berita sebegini. Mungkin juga ramai lebih tertarik dengan isu kenyataan PM mengenai kangkung.
Jika dilihat pula hiburan-hiburan yang ditayangkan di kaca televisyen atau lagu-lagu yang diputarkan di corong-corong radio tempatan, saya tidaklah begitu terkejut. Mungkin jika pilihan anda ialah radio IKIM atau saluran TV9 atau TV Al-Hijrah, tiada apa yang begitu merunsingkan. Tapi malangnya berjuta golongan belia hari ini lebih terdedah kepada Youtube dan lebih cenderung memilih stesen-stesen radio dan televisyen yang berpaksikan hiburan dan keuntungan semata-mata.
Saya sudah agak lama memerhati dan hanya mengeluh sendirian mendengar sesetengah lagu yang diputarkan khususnya dari negara luar. Beberapa lagu yang cukup popular dan kerap disiarkan pada masa ini, secara langsung atau tidak mempromosi budaya bebas dan pemikiran liberal. Maksud saya pada lirik kata lagunya. Video klipnya jangan cakaplah.
Contohnya, lagu bertajuk “On The Floor” nyanyian seorang artis wanita popular di Amerika yang saya tak ingin sebut namanya, mendendangkan mesej-mesej mempromosi budaya berparti liar, minum arak dan bergaul bebas. Sebuah lagu lagi bertajuk “Scream & Shout” nyanyian oleh seorang artis wanita yang tidak kurang kontroversinya dan imej buruknya juga mempromosi budaya-budaya yang sama.
Paling merunsingkan saya ialah lagu seorang artis remaja perempuan yang dulu imejnya lebih sopan tetapi kemudiannya berubah menjadi liar, kini disiarkan dan diputarkan dengan lirik-liriknya mempromosi mesej-mesej anarki dan budaya liberal. Lagunya yang bertajuk “We Can’t Stop” terang-terangan membawa mesej budaya berparti, hak kebebasan mutlak dan pelbagai idea humanisme songsang. Saya ingin petik satu rangkap sebagai contoh;
It’s our party we can do what we want
It’s our party we can say what we want
It’s our party we can love who we want
We can kiss who we want
We can see who we want
Dengan contoh lagu-lagu tersebut yang diputarkan hampir setiap hari, bayangkan apakah idea-idea yang bakal meresap masuk ke dalam minda anak-anak muda hari ini? Apakah yang mampu diharapkan pada sebuah generasi yang rosak untuk memimpin negara?
Mungkin sukar untuk stesen-stesen radio dan televisyen tempatan tidak menyiarkan lagu-lagu daripada luar negara, tetapi sekurang-kurangnya siarkanlah lagu-lagu yang mempunyai mesej yang baik atau sekurang-kurangnya tidak mempromosi gejala-gejala negatif dan budaya-budaya yang tidak selari dengan norma masyarakat Islam.
Kalaulah sukar untuk semua stesyen radio dan televisyen di Malaysia bertindak sedemikian, paling tidak stesen-stesen radio dan televisyen yang majoriti pendengar atau penontonnya beragama Islam patut mengambil inisiatif melaksanakan semula ‘pemutihan’ senarai lagu-lagu yang disajikan.
Saya kira perkara ini bukan baru, tetapi mungkin pada tahun ini kita boleh mula bertindak. ‘Kita’ yang saya maksudkan merujuk kepada kerajaan (bahagian penapisan), parti pembangkang, NGO-NGO Islam, pemilik-pemilik stesen radio dan televisyen malah semua anggota masyarakat. Janganlah selepas ini kita mula menuding jari pula.
Dalam arus globalisasi dan liberalisasi hari ini, ramai golongan belia kita hidup berlegar di sekitar apakah muzik terbaru, gosip terbaru artis pujaan mereka, trend fesyen terkini atau apa mungkin apa gajet tercanggih di pasaran. Segalanya mengenai apa yang mampu menghiburkan nafsu.
Kita tidak pernah menafikan hiburan, tetapi jika tidak dilaksana dalam format dan sukatan yang betul, nescaya negara ini akan menuju kemusnahan.
Aiman Rosli
Ahli Jawatankuasa Biro Media
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Assalamualaikum
Saya setuju dgn pendapatnya.
Tidak kurang pula filem Melayu sekarang ini memaparkan adegan2 yg melampaui batas. Untuk apa.. untuk memasarkan filem Melayu ke medan antarabangsa? Contohnya filem Sepet yg membuat saya, org yg jarang menonton filem Melayu terkejut. Terfikir sejenak beginikah filem2 Melayu kini.
Kalau nak sebut pasal kualiti, filem Fenomina.. satu2 nya filem unggul yg tidak perlu pada adegan2 yg melanggar prinsip dan budaya kita.
Diharapkan pihak censorship lebih prihatin dan adegan2 tersebut dan juga penampilan artis2 kita. Penampilan artis lokal membawa pengaruh besar kpd remaja kita.