SJKC Nan Ya – Di manakah pembelaan maruah muslimah?
Pada zaman Nabi Muhammad saw, sebaik sahaja umat Islam kembali ke Madinah selepas kemenangan perang Badar kebencian kaum Yahudi terhadap umat Islam semakin memuncak. Ketika seorang muslimah berada di pasar Bani Qainuqa Madinah, salah seorang kaum Yahudi di situ menganiaya kehormatan muslimah tersebut. Tanpa disedari Muslimah tersebut, ketika beliau ingin beredar tersentaplah kain beliau menyebabkan auratnya tersingkap. Saat itu, seorang pemuda Islam kebetulan berada di sana dan dengan perasaan marah membunuh Yahudi tersebut. Kemudian orang-orang Yahudi keluar dan membalas dengan membunuh orang muslim itu. Keluarga pemuda Islam tersebut pun memanggil kaum Muslimin yang lain untuk membantu dan Nabi Muhammad saw mengirimkan pasukan melawan kaum Yahudi Bani Qainuqa. Setelah 15 hari pengepungan seluruh suku Bani Qainuqa diusir dari Madinah dan berhijrah ke Khaibar.
Begitulah mahalnya maruah seorang wanita Muslimah sehingga seluruh musuh Islam diusir dari perkampungan mereka.
222 tahun berlalu, kita renungi pula kisah teladan Khalifah Abu Ishaq Al-Mu’tasim bin Harun. Seorang wanita Islam yang sedang berjual beli di pasar di bandar Ammuriyah (Amorium – kini sebahagian dari Turki) telah dimalukan, ditangkap dan ditawan. Wanita tersebut pun berteriak “Wa Mu’tashamah!” – “Di mana kau ya Mu’tasim, bantulah aku!”. Wanita tersebut diejek-ejek sambil mereka berkata, khalifah kamu tidak akan tahu. Namun, dengan izin Allah kejadian tersebut dilihat oleh seorang lelaki muslim yang kebetulan melalui kawasan tersebut. Beliau berasa marah lalu beliau terus ke Baghdad untuk menghadap Khalifah dan memaklumkan kepada Khalifah:
“Wahai Khalifah, ketika aku di Ammuriyah aku terlihat seorang wanita Islam dimalukan dan ditawan oleh orang kafir dan ketika wanita tersebut ditawan beliau berteriak “Wa Mu’tasim! Tolonglah aku!”
Khalifah Al-Mu’tasim sekalipun mempunyai kesalahan peribadinya, mendokong pemikiran Mu’tazilah serta terkenal sebagai seorang khalifah yang bertanggungjawab terhadap penangkapan dan penyeksaan para ulama termasuk Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah namun keimanan beliau, perasaan izzah beliau terhadap Islam, perasaan ghairah dalam menjaga harga diri seorang Islam dan kewibawaan seorang Islam daripada musuh Islam tidak membiarkan khalifah hanya berdiam diri ketika seorang umat Islam dalam keadaan teraniaya. Ini mendorong Khalifah untuk bangun dan berkata: “Labbaiki ya Umma!” “Ya wahai ibu, aku akan menyahut seruanmu.”
Lalu beliau menggerakkan bala tenteranya dan menulis surat kepada pemerintah Ammuriyah – “Daripada hamba Allah bernama Al-Mu’tasim kepada anjing Rom. Apabila surat ini sampai kepadamu, maka bebaskanlah wanita Islam yang berada dalam tawananmu. Jika engkau tidak membebaskan beliau, aku akan mengerahkan seluruh kekuatan tentera milikku untuk menyelamatkan seorang wanita yang telah engkau tawan” .
Setelah bandar tersebut dikepung selama 5 bulan, akhirnya askar Rom di Ammuriyah tewas dan menanggung malu yang besar. Wanita Muslimah yang menjadi tawanan akhirnya berjaya dibebaskan.
Begitulah mahalnya maruah seorang wanita Muslimah sehingga seluruh musuh Islam ditewaskan dalam keadaan hina akibat tingkah laku mereka. Lihatlah bagaimana seorang Khalifah bangun memelihara kemuliaan seorang wanita Islam yang beliau tidak kenali. Tanggungjawab seorang pemerintah Islam adalah untuk memastikan bahawa tidak ada mana-mana rakyat Islam di bawah pemerintahannya teraniaya oleh mana-mana musuh Allah dan Rasul-Nya. Hanya kerana maruah seorang wanita Islam, khalifah sanggup mengisytiharkan perang.
Itulah zaman kegemilangan kedaulatan Islam. Khalifah yang lemah dari segi dosa peribadi, namun ia tidak sekali-kali lemah untuk mempertahankan maruah dan kemuliaan Islam.
Hari ini, maruah dan keadaan umat Islam berada dalam keadaan yang lebih lemah daripada itu. Tiada langsung pemimpin yang berani bangkit dan dengan tegas bersuara mempertahankan maruah umat Islam yang tercalar serta teraniaya di Palestin, Syria, Iraq, Mesir, Sudan, Libya, Afghanistan, Rohingya, selatan Thailand dan di pelbagai pelusuk kawasan. Malah, yang lebih menyedihkan, peristiwa penghinaan terhadap wanita Muslimah boleh berlaku di tanahair sendiri.
Seorang ahli jemaah pengurus sekolah SJKC Nan Ya, Kota Tinggi Johor telah memaksa seorang guru wanita Muslimah untuk membuka tudungnya dan diancam keselamatannya jika enggan berbuat demikian. Guru tersebut melaporkan kepada kepada pihak polis namun apa yang berlaku guru berkenaan pula ditukarkan serta merta ke sebuah sekolah lain. Tiada sebarang tindakan disiplin terhadap ahli jemaah pengurus tersebut malah kejadian ini seakan berlalu begitu sahaja tanpa kedengaran sedikitpun amaran apatah lagi dengusan marah daripada mana-mana pimpinan politik di negara kita. Diam seribu bahasa.
Seakan-akan kita lupa pada tahun 2010 apabila pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Kulaijaya didakwa mengeluarkan ‘ucapan rasis’, ketika mengulas masalah disiplin pelajar – seluruh media alternatif dan penyokong totok mereka akan menghentam habis-habisan pengetua tersebut. Tiada peluang langsung diberikan. Malah, dipindahkan ke sekolah lain tidak mencukupi, beliau seharusnya dipecat dan dijadikan contoh teladan.
Seakan-akan kita lupa pada bulan Julai 2013 apabila gambar murid bukan Islam SK Sri Pristina “makan di tandas” semasa bulan ramadhan tersebar, sekali lagi seluruh media alternatif dikerah untuk melondehkan isu tersebut sehingga habis FB Guru Besar digodam. Pelbagai tuduhan diberikan tanpa langsung memberi peluang kepada beliau. Beliau dan keluarga dimalukan, dihina dan dikecam sehingga anak beliau sendiri merayu dan menulis di status FB jangan diganggu ayah beliau lagi.
Namun, apabila kita mahu membangkitkan isu tudung di SJKC Nan Ya ini dan menuntut keadilan, waktu itulah pula dikatakan kita ini masyarakat majmuk, jangan digembar-gemburkan isu ini. Apabila kita mahu menjaga dan mempertahankan maruah wanita muslimah tersebut, dikatakan pula kita harus siasat dulu dan jangan terburu-buru, mungkin Ahli Jemaah SJKC Cina itu tidak faham agama Islam. Umat Islam harus berlemah-lembut dan berhikmah dalam menyelesaikan perkara ini. Apabila kita keluarkan kenyataan agar tindakan disiplin yang tegas harus diambil terhadap ahli jemaah SJKC Nan Ya, dikatakan pula ini isu kecil dan hanya permainan politik untuk mengalihkan pandangan rakyat dari isu ekonomi yang lebih meruncing.
Ya Allah, mengapakah begitu selektif sekali golongan ini? Di manakah pula sensitiviti umat Islam? Di manakah sebenarnya terletak maruah umat Islam di Malaysia? Sudah begitu buta politikkah kita sehingga isu umat Islam tiada langsung di dalam agenda kecuali apabila menguntungkan tujuan politik untuk menjatuhkan parti lawan?
Sudah lupakah peristiwa di pasar emas Bani Qainuqa? Sudah lupakah kisah Khalifah Abu Ishaq Al-Mu’tasim?
– Wahai ummah, belum tibakah masanya untuk kita bangkit daripada lamunan cinta dunia ini dan berubah berdasarkan manhaj nubuwwah?
– Wahai ummah, belum tibakah masanya untuk kita keluar dari kepompong kehinaan ini dan merawat jiwa umat yang lemah ini?
– Wahai ummah, belum tibakah masanya untuk kita membangunkan maruah generasi Islam yang meletakkan agama sebagai rujukan dan sandaran?
– Wahai ummah, belum tibakah masanya untuk kita benar-benar memilih pemimpin yang berani, berwibawa dan ghairah mempertahankan izzah dan syiar Islam?
Wahai umat Islam, sedarlah akan kemuliaan agama yang tercinta ini. Takutilah ancaman Allah dan janganlah kita termasuk dalam golongan yang dimaksudkan Allah untuk digantikan seperti dalam Firman-Nya: Surah Al-Maidah ayat 54:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.”
Dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan. Bagi Allah jualah segala kemuliaan.
Abu Ameen
Aktivis ISMA
Saya sendiri pelik dgn PARTI ISLAM yg katanya membela Islam. Parti sekular jgn ceritalah.. Saya sudah tidak berbangga menjadi rakyat malaysia.
Ahli jemaah pengurus SRKC itu mesti dipaksa utk letak jawatan!!