Pendapat

Tugas wartawan sampaikan seruan Islam

Saban hari, setiap detik waktu dan saat ketika ummah ini berhadapan dengan ledakan informasi maklumat yang tidak putus-putus, malah ianya telah mengubah minda manusia dari satu suasana tidak tahu kepada keadaan tahu melampau.

Suasana ini telah mencetuskan pola pemikiran yang tidak seimbang dalam dunia media, samaada penulisan atau penerbitan yang menjurus kepada menghidupkan jiwa manusia dengan iman dan hidayah atau hanya sekadar untuk publisiti murahan dunia.

Antara dua jalan, antara dua pilihan, terdapat juga penulis-penulis, wartawan-wartawan dan yang seumpama dengannya menggunakan media untuk mencampur adukkan pola pemikiran ummat antara ketauhidan dengan kesyaitanan. Secara jelasnya mereka telah melahirkan ummat yang tidak ada agenda dan tidak ada pendirian.

Sedangkan tugas seorang wartawan atau penulis, ialah menyebarkan dakwah dan hidayah dalam pelaporan berita, penulisan artikel, rencana dan sebarang bentuk sebaran bergambar atau video.

Sepatutnya perasaan takut kepada azab dan kemurkaan Allah sentiasa tumbuh di dalam jiwa-jiwa wartawan dan penulis di bumi Malaysia tercinta ini di dalam pelaporan berita, penulisan artikel, rencana dan sebarang bentuk aktiviti yang berkait rapat dengan dunia media.

Wartawan dan penulis juga bukanlah hanya sekadar mencari sesuap nasi dalam penulisan mereka, bukanlah hanya mencari nama sebagai penulis terkenal atau wartawan tersohor, bahkan mereka bertanggungjawab untuk menyampaikan hidayah Allah dan seruan dakwah islam melalui kemahiran dan kemampuan berkomunikasi dengan dunia media mereka.

Ketahuilah wahai para wartawan dan penulis media sekelian, bahawa setiap huruf yang anda tulis, setiap kalimah yang anda titipkan akan menjadi saksi di hadapan Allah. Biarlah huruf-huruf, bait-bait kalimah kata dan ayat-ayat serta gambar-gambar titipan tangan kalian menjadi pemberat timbangan di akhirat sana.

Ustaz Mohd Al-Hadi Bin Muhamad
NYDP ISMA Pasir Puteh

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker