Soalan: Dunia Islam pada hari ini berada dalam keadaan tidak stabil, antara puncanya adalah disebabkan kita memanggil pihak luar menyelesaikan segala permasalahan kita, bahkan menyelesaikan masalah kezaliman yang berlaku sesama kita. Maka kalaulah negara-negara barat boleh menubuhkan tentera dan kekuatan mereka tersendiri seperti dalam NATO, mengapa kita sebagai umat Islam tidak menubuhkan tentera kita sendiri bagi menyelesaikan masalah campur tangan luar dan memelihara sempadan umat Islam, adakah perkara ini terlalu susah dan adakah cara fikir ini adalah cara fikir yang betul?
Jawapan:
Bismillah,
Sesungguhnya isu yang dinyatakan ini iaitu isu penyatuan umat adalah satu isu yang akan sentiasa berlegar di kalangan umat Islam, dan boleh dikatakan soalan dan cara fikir ini timbul disebabkan tolakan iman yang sedar akan kepentingan berlakunya penyatuan di antara dunia Islam. Tetapi ingin penulis katakan: Sesungguhnya penyatuan dunia Islam dan Umat Islam adalah satu perkara yang susah untuk berlaku. Antara punca kepada susahnya penyatuan ini berlaku adalah kerana:
1. Jauhnya umat Islam daripada kefahaman Islam yang sebenar, terutama tentang kefahaman yang berkait tentang mengurus umat Islam (siyasah syariah) seperti yang diajar oleh agama ini. Seperti mana Allah berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 46:
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu.”
Juga di dalam sebuah hadis Nabi berkenaan suasana yang sepatutnya bagi orang Islam:
” كالبنيان يشد بعضه بعضاً”. صحيح البخاري (481)”
Sesungguhnya orang Islam itu seperti sebuah binaan dengan mengukuhkan antara satu sama lain” (Riwayat Bukhari)
Jika kita perhatikan dalam sejarah, penyatuan umat Islam ini berjalan dalam bentuk dipimpin oleh satu kepimpinan (khalifah), kemudian sistem tersebut berjalan untuk suatu tempoh sehinggalah umat Islam berpecah berdeaarkan pecahan geografi. Jadi pada asalnya umat ini adalah bersatu, dan perkara inilah yang diajarkan oleh Islam tetapi pada hari ini kita lihat umat Islam ini berpecah dan terputus ikatan penyatuan (aqad wehdah) selepas berpegang pada ikatan tersebut. Maka atas dasar perpecahan ini bermusuhlah umat Islam sesama mereka dan hilanglah kemulian dan keagungan umat ini.
2. Terkebelakang dari segi pembangunan dalam semua sudut.
3. Berlakunya projek atau agenda yang berterusan dari musuh Islam untuk menghancurkan kekuatan umat. Serangan ini berlaku terutamanya dari perikatan barat, dan serangan atau projek ini berlaku dalam nama yang berbeza tapi dengan tujuan yang sama, pada suatu tempoh pernah dinamakan sebagai projek “mengembalikan Al-Quds dari tangan orang Islam” yang digelar sebagai Peperangan Salib. Pada suatu tempoh lain dinamakan sebagai peperangan untuk menjajah (zaman Kolonialisme) dan kemudian dinamakan kononnya sebagai membebaskan rakyat dan menanam demokrasi dalam sesebuah negara (Neokolonialisme). Semua ini dinamakan dengan nama yang berbeza tetapi dengan tujuan yang sama iaitu menghapuskan umat Islam.
Dan ingin aku katakan, sesungguhnya umat Islam ini pernah sedar akan masalah perpecahan dan keperluan untuk menyatukan umat Islam tetapi kesedaran itu adalah sementara, perkara ini terjadi apabila berlaku peristiwa pembakaran masjid Al-Aqsa pada tahun 1969 yang membawa kepada tertubuhnya OIC, dan tujuan pertubuhan ini adalah seperti cita-cita engkau, dan cita-cita umat kesuluruhan iaitu penyatuan umat, namun berlalunya masa kepentingan peribadi melebihi kepentingan umat dan maslahat peribadi dilihat lebih besar daripada maslahat ummat jadi pertubuhan tidak dapat berperanan apa-apa melainkan menjadi satu lambang akan cita-cita umat supaya berlaku penyatuan umat suatu hari nanti.
Terus terang dinyatakan kalaulah penyatuan umat boleh terjadi maka sebenarnya kita tidak perlukan bantuan barat kerana setiap dari kita mempunyai kekuatan tersendiri. Dan juga ingin penulis berterus-terang : Susaana umat pada hari ini dilihat sangat jauh daripada apa yang kita idam-idamkan iaitu penyatuan umat, namun Allah swt mengajar pada kita supaya tidak berputus asa seperti dalam surah Yusuf ayat 87 :
إنه لا ييأس من روح الله إلا القوم الكافرون
Sesungguhnya tidaklah golongan orang yang berputus asa dari rahmat Allah melainkan golongan Kafir
Maka cita-cita kita supaya berlakunya penyatuan umat Islam itu hendaklah dibumikan, hendaklah disalurkan dalam kehidupan kita, pada kadar kemampuan kita supaya tidak menjadi cita-cita kosong. Penyatuan umat ini hanya akan berlaku apabila setiap dari kita berperanan dan beramal ke arah tersebut, walaupun dengan kata-kata yang baik, projek mengislamisasi ekonomi Islam atau dengan apa-apa idea yang boleh membangunkan umat Islam ini. Dan apabila kita mula bergerak ketika itulah cahaya penyatuan Umat akan bersinar.
Ini merupakan terjemahan kepada artikel asal ditulis oleh Syiekh Abdullah bin Bayyah iaitu bekas Naib Persatuan Ulama Sedunia dari laman web: http://www.binbayyah.net/portal/fatawa/363
Penterjemah:
Ustaz Mohd Firdaus Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)
cita-cita kita supaya berlakunya penyatuan umat Islam itu hendaklah dibumikan dan bukannya dikebumikan.