Pendapat

Sebaran agama Kristian melalui pendidikan di zaman Brooke

Sir_James_Brooke_(1847)_by_Francis_Grant

“In all history, only one man succeeded in coming from the West and making himself King over an Eastern race and founding a dynasty which lasted for a hundred years. This man debonair young Englishman called James Brooke, became the legend in his lifetime.” (Payne, 1960:14).

Penguasaan Keluarga Brooke ke atas Sarawak telah membawa paradigma yang baru kepada kehidupan beragama masyarakat di Sarawak. Walaupun pemerintahan keluarga Brooke dikatakan sangat bertoleransi terhadap agama Islam di Sarawak, namun sikap mereka yang sangat terbuka dalam membawa missionari ke Sarawak telah menyebabkan agama Kristian menjadi anutan terbesar penduduk bumiputera di Sarawak.

Sikap Keluarga Brooke yang dikatakan sangat bertolak ansur dengan penganut agama Islam sebenarnya bertujuan untuk mengukuhkan kekuasaan mereka terhadap bumi Sarawak kerana mereka takut akan hilang sokongan daripada pembesar-pembesar Melayu yang sangat berpengaruh pada waktu tersebut. Jika kita lihat dalam sejarah sejak daripada zaman pemerintahan Rajah Putih yang pertama, James Brooke sehingga ke Rajah Putih terakhir, Charles Vyner Brooke, pelbagai enakmen undang-undang diwujudkan untuk memantau kehidupan masyarakat Islam di Sarawak.

Selain itu, pelbagai jenis hiburan dibawa masuk dengan wujudnya pelbagai persatuan antaranya Kampung Tanjung Kesenangan Club (1926), Sarawak Malay Tennis Club (1929), Sinjan Music Club dan Surabaya Jolly Ministrels untuk mengubah corak kehidupan beragama masyarakat Islam di Sarawak. Kewujudan Balai Datu yang menjadi pusat perbincangan hal ehwal agama Islam juga menjadi medium untuk memantau perkembagan agama Islam oleh keluarga Brooke.

Sebuah catatan di dalam Sarawak Gazette menceritakan keadaan umat Islam yang sangat menyukai hiburan bergendang bertarikh 2 Disember 1935 :

“During the last few years the traditional dress of the Malay appears largely to have given way to gaudy neckties, blazers and bell bottom trousers. This seems a pity. Visitors from Malaya where national dress is far more generally worn that it is here cannot fail to be unfavourably impressed and ut seems Government might take the lead by insisting on all Malay custumes in the office.” (Sanib, t.th.: 185).

Seterusnya, kemasukan missionari yang begitu ramai ke bumi Sarawak memberikan ancaman yang besar kepada masyarakat Islam di Sarawak. Bermulanya kemasukan missionari dengan ketibaan seorang doktor berbangsa Irish bernama Francis Thomas McDougall yang berjaya mengasaskan mazhab Anglican di Sarawak dengan tertubuhnya sekolah missionari Saint Thomas di Kuching pada tahun 1848. Kemasukan mazhab seterusnya pula terdiri daripada mazhab Roman Katolik yang dibawa oleh St Joseph Society for Mission diketuai oleh Edmund Dunn berjaya mengkristiankan sebilangan besar penduduk di bahagian ketiga Sarawak serta tertubuhnya sekolah missionari seperti St Joseph (1883), St Teresa di Kuching dan Sekolah Sacred Heart di Sibu. Seterusnya, penghijrahan bangsa Cina yang menganut mazhab Methodist telah menyumbang kepada penyebaran mazhab Methodist di Sibu di samping membawa kepada penubuhan sekolah-sekolah Methodist (1900) di Sibu.

Kewujudan sekolah-sekolah ini di zaman crown colony telah membawa kepada suatu sistem pendidikan formal yang bercorak sekular di mana sistem pendidikan sedia ada masyarakat Melayu Islam di Sarawak pada waktu tersebut hanyalah pendidikan keagamaan yang tidak formal dan berlainan secara total dengan sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh pihak missionari. Penubuhan sekolah-sekolah missionari ini tidak lain hanyalah bertujuan untuk menyebarkan ajaran agama Kristian terhadap penduduk Melayu di Sarawak sepertimana diungkapkan oleh Holmes seperti berikut :

“[…] the policy of missionaries was to convert people to Christianity, and the school was one of conversion.” (in Taylor, 1983).

Hasil perkembangan pendidikan sebagai cara untuk mengkristian penduduk Melayu telah mencetuskan kebangkitan oleh golongan ulama di Sarawak. Kewujudan akhbar Fajar Sarawak buat pertama kalinya pada Februari 1930 banyak memberikan kesan kepada pemikiran dan kebangkitan masyarakat Sarawak untuk memastikan kelangsungan syiar agama Islam di bumi Sarawak. Akhbar ini banyak menyentuh isu semasa umat Islam di Timur Tengah sepeti Mesir dan Turki serta kemunduran masyarakat Islam di Sarawak ketika di zaman crown colony terutamanya dari aspek ekonomi dan pendidikan. Hal ini telah membawa kepada tertubuhnya sekolah Melayu pertama iaitu Sekolah Encik Buyong pada tahun 1861. Namun, sekolah ini tidak mendapat sambutan yang tinggi daripada masyarakat Islam di Sarawak. Seterusnya, tertubuhnya sekolah-sekolah agama yang terdapat silibus pelajaran sekular di dalamnya antara Sekolah Kampung Jawa (1883), Sekolah Kampung Gersik (1893), Sekolah Merpati Jepang dan lain-lain.

Walaupun pelbagai usaha yang dilakukan oleh barisan ulama di negeri Sarawak untuk menghalang penyebaran dakyah Kristian melalui pendidikan, hakikatnya pendidikan missionari juga yang mendahului sistem pendidikan di bumi Sarawak ketika zaman crown colony. Sekolah-sekolah missionari menjadi pilihan masyarakat Islam di Sarawak dan memberikan kesan yang besar kepada pendidikan masyarakat Islam di Sarawak di mana hanya sedikit sahaja tokoh-tokoh agamawan yang berjaya dihasilkan terutamanya melalui sekolah-sekolah yang diwujudkan oleh masyarakat Islam sendiri.

Selain itu, kejayaan Keluarga Brooke menyekat pengaruh dan kuasa golongan Sharif ataupun pembesar agama di Sarawak telah berjaya menyekat proses islamisasi terhadap kaum bumiputera serta menghilangkan semangat perjuangan Islam dalam masyarakat Islam di Sarawak. Golongan-golongan Sharif ini telah banyak kali melancarkan rancangan penggulingan kuasa terhadap pemerintahan Rajah Putih di mana mereka ini berjaya mendapat sokongan padu daripada penduduk pribumi dan masyarakat Islam di Sarawak antaranya seperti Sharif Masahor di Rajang, Sharif Sahab di Sadong, Sharif Jaafar di Lingga dan sebagainya.

Penguasaan Rajah Putih di Sarawak yang melebihi 100 tahun telah memberikan kesan yang besar kepada sosiobudaya dan pemikiran masyarakat Islam di Sarawak.

Azry Hafify Mustapa
http://azrymustapa.com
Anggota Unit Kajian Kristianisasi ISMA Jordan dan anggota Unit Kajian Isu Sabah & Sarawak ISMA Jordan

Rujukan :

1. Wan Kamal Mujani & Noranizah yusuf, Islam dan Missionari di Sarawak, 2010
2. Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV : Ulama Pemacu Transformasi Negara, 2011

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker