Pendapat

DNA Polinesia ditemui dalam tulang orang asli Amerika

DNA Polinesia telah ditemui di dalam tulang orang asli Amerika yang telah pupus yang mana suatu ketika dahulu tinggal di kawasan pedalaman Brazil. Penemuan mengejutkan ini menyebabkan pelbagai pihak memberi jawapan yang berbeza tentang bagaimana perkara ini berlaku, termasuk perjalanan pelaut purba atau perdagangan hamba yang lebih terkini.

Penyelidik molekular genetik, Sergio Pena di Universiti Persekutuan Minas Gerais di Brazil dan rakan-rakannya menganalisis DNA daripada Botocudo, yang tinggal di tempat yang kini tenggara Brazil. Mereka hidup nomad, gaya hidup pemburu-pengumpul, memakai perhiasan di bibir dan telinga mereka. Penjajah Portugis mengelar mereka sebagai “botoques” dan telah menghapuskan mereka sepenuhnya pada akhir abad ke-19 semasa perang Portugal diisytiharkan pada semua suku asli Amerika oleh kerana mereka tidak mahu menerima undang-undang Eropah.

Para penyelidik mengekstrak DNA dan sebahagian urutan mitokondria DNA dari gigi yang diperolehi daripada 14 tengkorak Botocudo ditempatkan di Universiti Persekutuan Rio de Janeiro. Menariknya, dalam dua daripada tengkorak, mereka menjumpai urutan mitokondria yang berasal dari keturunan Polinesia.

“Semuanya adalah sangat mengejutkan dan menarik dari awal lagi,” Pena berkata. “Perkara pertama yang datang dalam fikiran saya adalah walaupun ianya sukar tetapi kemungkinan terdapat beberapa pencemaran, kerana tidak ada individu Polinesia dalam rantaian jagaan.” Akhirnya satu lagi makmal telah mengesahkan penemuan ini secara terang-terangan.

Penjelasan paling menarik tentang penemuan DNA ini ialah berkemungkinan besar nenek moyang Botocudo telah berkahwin campur dengan orang-orang Polynesia sebelum penempatan penduduk di Amerika 15,000 hingga 20,000 tahun yang lalu, Pena berkata. Kajian awal daripada bentuk tengkorak membayangkan bahawa dua kumpulan yang berbeza memasuki Amerika, pertama ialah orang Asia dilihat sekarang di mana majoritinya masih ada orang asli Amerika, dan kedua ialah orang yang lebih awal dilihat dalam rangka di Brazil dan di tempat lain yang menyerupai beberapa kumpulan Afrika, Australia, Melanesia, dan Polynesia seperti Pulau Paskah.

“Malangnya, terdapat beberapa garis bukti yang menyebabkan hipotesis ini sangat lemah,” kata Pena. Terutamanya, urutan DNA Polinesia di Botocudo kelihatan kekurangan mutasi dan menjangka ianya terkumpul dari masa ke masa sekiranya ia diperkenalkan sebelum penempatan penduduk di Amerika. Mutasi seperti itu tidak dilihat dalam sebahagian DNA yang dikaji oleh penyelidik. Namun, mereka tidak menolak kemungkinan mutasi sebegitu wujud dalam DNA yang belum dikaji.

Satu lagi senario, pra-Columbia dibayangkan mempunyai hubungan secara langsung dengan Polynesia dan Amerika Selatan sebelum orang Eropah tiba. Sebagai contoh, tulang ayam Polinesia telah ditemui di Chile, dan tanda-tanda pra-Columbia ubi keledek dan labu botol, yang biasanya di Amerika Selatan, telah ditemui di Pulau Paskah. Namun, di sebalik penemuan tersebut, Pena dan rakan-rakannya mendapati ianya adalah mustahil bagi keturunan Polinesia menyeberangi Andes dan menetap di Brazil.

“Kami akan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menggunakan data kami untuk membuat kesimpulan bahawa migrasi trans-Pasifik berlaku dari Polynesia ke benua Amerika,” Pena berkata.

Terdapat dua lagi penjelasan timbul selepas kedatangan orang Eropah. Satu melibatkan “perdagangan blackbirding” di mana lebih 2000 Polisenia telah diperdaya dan diculik lalu dibawa ke Peru untuk dijadikan buruh sekitar tahun 1860. Walau bagaimanapun, para penyelidik memberitahu tiada bukti menunjukkan mana-mana hamba Peru dihantar ke Brazil.

Di samping itu, antara tahun 1817 dan tahun 1843, perdagangan hamba Afrika telah membawa kira-kira 120,000 hamba dari rantau Madagascar ke Brazil untuk bekerja berdekatan dengan Botocudo. Di kawasan-kawasan ini, orang asli Amerika telah diarahkan untuk bekerja bersama dengan hamba Afrika di ladang-ladang dan mungkin telah berkahwin campur. Hamba perempuan dari Madagascar mungkin juga telah diculik oleh Botocudos atau melarikan diri dan mendapat perlindungan di kalangan mereka. Malah, penculikan seorang perempuan oleh Botocudos menjadi tema utama satu pementasan opera pada tahun 1870 di Brazil.

“Kami tidak percaya bahawa senario ini merangkumi semua kemungkinan dan kami berfikiran terbuka bahawa senario kelima atau keenam mungkin akan hadir,” kata Pena.

Diterjemah daripada artikel asal bertajuk “Polynesian DNA found in old Native American bone”.
http://firstlook.pnas.org/polynesian-dna-found-in-ancient-native-american-bones/

Penterjemah: Nur Hafiza Pakhurdin

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker