Pendapat

Hari Valentine: Jangan cemari Jumaat kali ini

Hari ValentineCINTA mana yang diagungkan?

Segala puji-pujian kepada Allah S.W.T, Tuhan yang menciptakan Adam dan Hawa, mempersatukan hati Yusuf dan Zulaikha dan yang mentautkan kasih antara Muhammad dan Khadijah. Selawat dan Salam buat junjungan nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda, para sahabat dan seluruh penegak syiar Islam. Jumaat yang bakal tiba 5 hari lagi pasti akan ramai yang bercerita mengenai halnya. Namun, sedihlah andai yang dikisahkan itu bukanlah keistimewaan penghulu hari tersebut, bukan juga sirah peperangan nabi dan syahidnya para mujahidin yang menjadi topik perbualan pemuda dan pemudi kita. Sebaliknya, yang meniti bibir ana-anak muda adalah luahan cinta, sayang, rindu dan kepuasan jiwa melayan nafsu tanpa sedikit pun terdetik dihatinya untuk mengembalikan perasaan itu kepada Allah yang Maha Memelihara dan Pemberi Rahmat. Naudzubillah.

Jangan cemari Jumaat kali ini

Tanggal 14 Februari adalah tarikh yang dinantikan bagi kebanyakan pasangan kekasih seluruh dunia terutamanya penganut Kristian. Ia dinamakan ‘Festival of Love’ atau ‘Valentine’s Day’ yang disambut bersempena dengan tarikh kematian Saint Valentine. St. Valentine adalah seorang lelaki Kristian yang dikatakan syahid kerana mempertahankan cinta dan keamanan. Oleh itu, penganut Kristian akan mengambil kesempatan pada hari tersebut untuk mengekspresikan rasa cinta, kasih sayang dan  penghargaan sama ada kepada pasangan atau rakan-rakan dengan memberikan ros merah, kad ucapan dan hadiah. Simbol hati berwarna merah atau merah jambu, bunga ros dan lukisan ‘cupid’ adalah merupakan simbol kemestian di setiap pemberian mereka. Di Finland, Valentine’s Day dinamakan juga sebagai ‘Friend’s Day’, manakala di Guatemala ia disebut sebagai ‘Day of Love and Friendship’.

Di tahun 2014 ini, 14 Februari telah jatuh pada hari Jumaat iaitu hari istimewa bagi seluruh umat Islam daripada Allah s.w.t. Hari Jumaat yang dikatakan penghulu segala hari ini mengganjarkan pahala dan keberkatan yang banyak kepada muslim yang ikhlas beribadah.

“Dari Abu Lubabah bin Ibnu Mundzir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:  Hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan hari paling mulia di sisi Allah …” (HR. Ahmad)

Justeru, umat Islam dituntut agar ridak mencemari Jumaat kali ini dengan meraikan perayaan Hari Valentine kerana ia sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan ajaran Islam.

“Dan Kami telah menurunkan Kitab (Al-Qur’an) kepadamu (Muhammad) dengan membawa kebenaran yang membenarkan kitab-kitab yang diturunkan  sebelumnya dan menjaganya, maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang telah diturunkan Allah dan janganlah engkau mengikuti keinginan mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu….” (5:48)

“Bagi setiap umat telah Kami tetapkan syari’at tertentu yang (harus) mereka amalkan, maka tidak sepantasnya mereka berbantahan dengan engkau dalam urusan (syari’at) ini, dan serulah (mereka) kepadaTuhanmu. Sungguh, engkau (Muhammad) berada di jalan yang lurus.” (22:67)

Bahkan sekiranya membantu dalam menjayakan program sambutan Hari Valentine ini juga dilarang seperti menjual barangan yang dibalut kemas khusus untuk perayaan tersebut, memberikan hadiah, membalas ucapan  kepada rakan sempena hari tersebut meskipun dengan niat memberi bantuan, persahabatan apatah lagi keuntungan kerana ia seolah-olah meniru dan menyokong amalan penganut kepercayaan itu.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan orang Yahudi dan Nasrani sebagai teman setia(mu); mereka satu sama lain saling melindungi. Barangsiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman setia, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka. Sungguh Allah tidak member petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (5:51)

Rasulullah bersabda, “Sungguh kalian akan mengikuti sunnah-sunnah yang ada pada umat sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta. Hingga seandainya mereka masuk ke lubang biawak, nescaya kalian akan mengikutinya pula’. Kami (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah mereka orang-orang Yahudi dan Nasrani?’ Baginda menjawab: ‘Siapa lagi?’ [Muttafaqun ‘alaih]

Oleh itu, perlu diingatkan kepada semua umat Islam agar tidak melakukan perkara yang menjadikan kalian sebahagian daripada mereka (Yahudi dan Nasrani). Selain itu, penganut bukan Islam juga harus difahamkan mengenai hal ini agar mereka dapat menghormati umat Islam di negara ini dengan tidak memberikan sesuatu sama ada sekadar ucapan apatah lagi hadiah kepada rakan muslim mereka  yang bermotifkan sambutan Hari Valentine kerana ia boleh membawa kepada ketidakselesaan muslim itu sendiri.

Pihak yang berkewajipan seperti khatib masjid, guru-guru, pengusaha pengusaha kedai muslim dan keluarga muslim perlulah mengambil peranan untuk menjelaskan kepada masyarakat Islam khususnya remaja dan belia di negara ini.

Bagi muslim yang beriman, penzahiran kasih sayang sesama umat Islam yang diajarkan oleh Nabi Muhammad adalah sepanjang hayat dan  tidak pula terhad pada hari-hari tertentu.

Anas berkata: Rasulullah bersabda, “Tidak sempurna iman kalian sampai ia mencintai saudaranya sebagai mana ia mencintai dirinya sendiri.” (HR. Bukhori).

Namun begitu, bagi mereka (umat Islam) yang berpegang teguh dengan firman Allah dalam surah Al Israa’ ayat 32 dan ditambah pula dengan kefahaman surah Ar- Rum ayat 21, akan berusaha menjauhkan diri mereka daripada perbuatan-perbuatan yang membawa kepada zina dengan sentiasa menjaga batas pergaulan dan keimanannya. Mereka inilah orang-orang yang akan diselamatkan daripada api neraka Allah.

Sikap kita

Bagi umat Islam yang telah pun sedar, semoga saling menyedarkan antara satu sama lain. Tidak perlu menyertai atau menyokong kerana sikap ini sebenarnya boleh melemahkan personaliti dan jati diri seorang Muslim. Seolah-olah dengan segala kebaikan yang Allah berikan kepadanya masih belum cukup dan puas malah lebih mengangungkan cara hidup kepercayaan lain berbanding agama sendiri.

Rafidah Isa
Aktivis ISMA Kuala Lumpur

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

2 komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker