Hari Kekasih: Cinta nafsu lawan iman
Walaupun saban tahun kita bercakap tentang Valentine Day atau Hari kekasih, masyarakat masih keliru akan hukum menyambutnya dan terlupa akan kisah di sebalik hari Valentine ini. Adakah mungkin kerana mudah terpengaruh dengan budaya barat yang dipromosikan secara meluas melalui media atau persekitaran masyarakat yang seakan terbiasa meraikan tanggal 14 Februari ini? Penulis tidaklah ingin mengulang kembali sejarah hari Valentine demi memanjangkan artikel ini. Cukuplah sekadar memaklumkan akan kesan buruk yang bakal atau telahpun terjadi akibat perayaan Hari Kekasih ini.
Semasa saya menulis artikel ini, saya baru sahaja kembali dari sebuah resort di pantai Port Dickson yang tidak asing bagi sesiapa yang ingin bercuti. Kebetulan bertepatan dengan tajuk artikel ini, saya dapati betapa masalah sosial dalam masyarakat sedang membarah. Sang lelaki tanpa segan silu bersama anak gadis menyewa bilik yang sama. Belum lagi dikira mereka yang membonceng motor bersama lelaki, seakan ‘Mat Rempit’ di malam hari memecah kesunyian malam. Saya tak sanggup lagi berprasangka baik kepada mereka akan hal ini dengan mendiamkan diri dan menganggap bahawa mereka telah berkahwin. Seakan teringat kata-kata seorang tokoh; berleluasanya kejahatan adalah kerana orang-orang baik berdiam diri. Ya, ayuh bangkitlah wahai jiwa yang sedar, bahawa kita perlu berbuat sesuatu. Kita tidak boleh lagi berasa selesa akan dunia kita sendiri yang kita rasakan sudah cukup baik dan menutup sebelah mata akan kemaksiatan yang berlaku.
Apatah lagi apabila tiba tarikh yang sinonim dengan hari kekasih nanti, sudah tentu masalah seperti ini akan meningkat seperti dijangka. Alangkah risaunya apabila ia membarah sehingga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan. Anak tidak sah taraf, lahir tanpa bapa serta pendidikan anak-anak terabai, sehingga jahiliah menebal dalam masyarakat. Malah yang akan menerima kesannya bukan sahaja mereka yang melakukan kesalahan tersebut, tetapi kesannya turut mengheret mereka yang tidak bersalah. Sebagai contoh, sekiranya masalah sosial seperti seks bebas dibiarkan berlaku, ia akan menimbulkan penyakit berjangkit yang dikhuatiri merebak dan memberi kesan kepada yang lain. Bagaimana pula dengan keturunan yang meragukan sehingga boleh berkahwin sesama beradik. Belum dikira lagi masalah akhlak yang boleh menjejaskan imej agama, banga dan negara.
Memang benar Hari Kekasih atau Valentine Day ini amat sinonim dengan perkataan ‘Cinta’. Apabila bercakap tentang cinta, pasti setiap individu mempunyai definisi dan pengalaman tersendiri. Masing-masing terasa amat dekat kerana ia berkait dengan perasaan dan hati. Oleh kerana itulah ada yang menyambutnya tanpa menyelidik terlebih dahulu asal usul hari tersebut. Tidak ketinggalan juga yang ingin meluahkan perasaan yang selama ini terpendam kerana mengikut tradisi yang dilakukan orang terdahulu dan barat. Tetapi bukanlah cinta namanya jika bersandarkan nafsu semata. Bukanlah cinta namanya tanpa Cinta Ilahi yang mengiringi. Bukanlah cinta namanya jika membawa kemusnahan. Bukankah cinta itu suatu yang suci? Kerana cinta dan rahmat Allah-lah hidupnya kita di dunia ini.
Bak kata seorang dai’e, semakin tinggi iman seseorang, semakin tinggi rasa cintanya pada yang lain. Demikian itu, amat tidak wajar jika seseorang itu mendakwa bahawa dia mempunyai perasaan cinta yang mendalam pada seseorang, tetapi menyalurkan dengan cara yang salah sehingga mengundang kemurkaan Allah serta makhluk langit dan bumi. Jika benar cinta, bukanlah semata hanya pada hari kekasih. Jika benar cinta, cintalah seumur hidup hingga membawa ke syurga. Tingkatkan iman, nescaya kita akan mencintai yang lain lebih dari diri kita sendiri. Iman itu umpama paku yang mencantumkan dua kayu, umpama gam yang melekatkan dua kertas, sebagaimana iman itu perlu ada untuk merapatkan hubungan cinta dua insan.
Nurul Husna Zulkarnain
Aktivis PEMBINA Bangi dan ISMA DHL