Pendapat

Valentine’s Day bukan amalan & budaya kita

fabric flowers tumblr background

Makan tak kenyang, Tidur tak lena, Mandi tak basah.

Mungkin itulah pepatah yang boleh menggambarkan situasi muda mudi zaman sekarang. Muda mudi yang punya dunianya sendiri, yang kadangkala telahpun melangkaui batasan syariat. Terlupa batasan antara lelaki dan perempuan. Berpasangan tanpa hubungan yang halal. Akhirnya, segala suka dan duka dikongsi bersama. Masing-masing ingin membuktikan cinta mereka dan tidak salah untuk dikatakan Valentine’s Day menjadi hari yang ditunggu-tunggu mereka.

Valentine’s Day yang disambut pada 14 Februari setiap tahun ini mempunyai sejarahnya sendiri.  Secara ringkasnya, sejarah Valentine’s Day berkisar tentang seorang paderi Kristian bernama St Valentine yang dihukum bunuh oleh Kaisar Claudius, Raja Rom pada masa itu kerana menentang perintah raja yang melarang pernikahan di kalangan pemuda. Ekoran peristiwa itu, tarikh 14 Februari terus dihidupkan oleh komuniti Kristian untuk memperingati pengorbanan St Valentine. Sambutan Valentine’s Day ini dihidupkan dengan amalan berunsurkan Kristian dan bercanggah dengan Islam. Amalan ini membawa umat Islam yang meraikannya hanyut ke lembah maksiat dan membuka ruang ke arah penzinaan.

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” [17:32]

Dengan memahami Valentine’s Day sebagai satu ‘acara keagamaan’ Kristian, amat penting untuk kita tidak sama-sama meraikan hari tersebut. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 juga telah memutuskan Valentine’s Day adalah tidak selari dan juga bukan cara hidup orang Islam. Amalan meraikan Valentine’s Day  ini juga boleh menggugat aqidah Islam.

“Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Maka, di sini amatlah jelas bahawa Valentine’s Day bukanlah sekadar meraikan kasih sayang seperti yang dianjurkan oleh Islam, kerana kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam adalah baik malah mendekatkan diri kepada Sang Penciptanya. Implikasi meraikan Valentine’s Day sangat buruk kepada generasi muda yang melihat perayaan ini sebagai satu simbolik cinta yang suci kepada orang yang dicintai sehingga akhirnya telah merosakkan akidah suci Islam di dalam kehidupan masyarakat. Seharusnya budaya ini perlu dan mesti dihapuskan daripada masyarakat kita yang majoritinya adalah berkefahaman Islam. Masyarakat juga seharusnya menyedari siapakah musuh-musuh Islam, agar kefahaman dan fikiran kita tidak mudah diperdaya oleh mereka.

Perhatikan firman Allah:

“Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datang kepadamu ilmu, sesungguhnya begitu, kamu termasuk di dalam golomgam orang-orang yang zalim”….

Apa pun alasannya kita tidak boleh  menerima budaya import yang amat buruk produknya dan lebih nyata sangat bertentangan dengan akidah Islam yang suci ini. Janganlah kita mengotori akidah kita dengan hanya “bertoleransi sedikit dengan mereka apa salahnya” (orang kafir) dengan memberi alasan mereka juga ingin mengenali Islam. Sudah sampai masanya umat Islam bertegas dalam hal-hal yang berkaitan dengan Islam lebh- lebih lagi yang berkaitan dengan akidah Islam itu sendiri.

Perhatikan firman Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 120:

“Orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang sehingga kamu mengikuti agama mereka.”

Justeru, menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk saling menasihati dalam memastikan kita terpelihara daripada unsur-unsur yang bercanggah dengan Islam serta mampu melemahkan jatidiri seorang Muslim. Tiada ruginya meninggalkan Valentine’s Day. Sebaliknya kita harus bersyukur diberi kesedaran akan bahayanya Valentine’s Day yang terpesong dari ajaran Islam. Ingatlah, sentiasa ada ruang untuk memperbaiki kesilapan lalu dan yakinlah kasih sayang Allah pada hambaNya mengatasi segalanya.

oleh:

Noor Husna Abu Khair

Nurul Nafisah Hassan

Nurul Hafizah Abdul Rashid

Noor Husna Abu Khair

Media Pembina KUIS Bangi

Nurul Nafisah Hassan

Biro Luar Negara

Nurul Hafizah Abdul Rashid

Pegawai PSM KUIS

 

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker