Pendapat

Bab bertunang – “Biarlah ustazah tak moden”

kak chemah gambar edit
Hari ini hari Ahad. Sekolah-sekolah di negeri Kedah sudah memulakan persekolahan. Sambil memandu dan mendengar tazkirah, siaran ulangan dan bicara DJ radio IKIM yang sentiasa menyuntik semangat kerja sebagai ibadah dan dakwah, terasa tanggungjawab sebagai seorang guru semakin hari semakin mencabar. Apa tidaknya, teringat ragam murid yang pelbagai ketika hendak menyampaikan tajuk-tajuk yang sangat mencabar dalam sukatan pelajaran Pendidikan Islam Tingkatan 5.

Maklum sahaja apabila mengajar pelajar di kawasan luar bandar, atau di sekolah harian biasa, ragamnya tidak dijumpai di sekolah-sekolah seperti SBP, Sekolah Kluster, SMKA, MRSM dan lain-lain sekolah bertaraf elit.

Walau bagaimanapun, di bandar pun tidak kurang juga masalahnya. Ramai yang merasakan memang sukar juga hendak memberi kefahaman yang benar kepada anak didik. Menanamkan  keimanan yang membumikannya dalam  diri seseorang bukannya kerja mudah. Yakin dan percaya adalah kerja hati yang tidak dapat diteroka oleh mata kasar. Kerja-kerja hati dan hidayah berkait rapat dengan izin Allah s.w.t jua.

Teringat satu kisah ketika mengajar bab perkahwinan; bahagian bertunang, adab-adab bertunang dan pergaulan semasa tempoh bertunang. Apabila kita terangkan pergaulan semasa bertunang hukumnya adalah seperti hukum  ajnabi, ramailah anak didik yang mencebik bibir. Masing-masing menunjukkan mimik muka tidak bersetuju.

“Ala, takkan tak boleh kot …” sampuk pelajar A.

“Ustazah ni.. tak moden lah …” sampuk pelajar B pula.

“Habis tu bila kita boleh berkenalan dengan bakal suami, ustazah…? Soal pelajar yang lain pula.

Bertubi-tubi soalan keluar daripada pelajar-pelajar remaja yang kreatif ni. Ustazah pun, nak tak nak, berceritalah tentang kesyumulan Islam. Kisah batas pergaulan dan pertunangan jadi pokok perbincangan.

Fahami batas pergaulan

Dalam tempoh pertunangan, perhubungan dan pergaulan antara lelaki dan perempuan masih sebagai orang asing (ajnabi). Mereka diharamkan bergaul bebas dan keluar berdua-duaan tanpa mahram seperti yang banyak berlaku sekarang ini. Budaya bertunang dan keluar berdua-duaan ini adalah sangat dilarang oleh syarak.

Ibu bapa yang soleh dan prihatin mesti mengawal suasana yang membawa kepada gejala yang lebih buruk seperti khalwat dan zina. Sentiasalah mengawasi anak-anak yang sudah mula meningkat remaja ini. Fahamkan kepada anak-anak masalah remaja dengan sebaik-baiknya.

Amaran keras Allah s.w.t. pastinya menyentuh hati orang-orang yang beriman:

“Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah perbuatan yang keji dan seburuk- buruk  jalan.” (Surah Al Isra’ , ayat 32)

Hadis Nabi yang mulia juga sentiasa memberi peringatan:

“Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Tidak berdua-duaan  seorang lelaki dan perempuan  melainkan yang ketiganya adalah syaitan.” (Riwayat Imam Ahmad dan At-Tirmizi)

Hadis ini melarang berdua-duaan, dan ayat Quran di atas melarang kita menghampiri zina, kedua-dua perbuatan ini adalah haram.

Ada orang berkata, “Kami bukan berdua-duaan di tempat sunyi pun. Kami beramai-ramai dengan orang lain di pasaraya, di taman-taman rekreasi …,  pandailah kami menjaga diri.”

Ya. Kita kata kita pandai menjaga diri, tapi tahukah anda sekalian remaja dan semua ibu bapa, syaitan yang menggoda Nabi Adam a.s masih ada sehingga kini. Mereka sangat licik dalam tipu dayanya. Mereka punyai wawasan yang jauh untuk melalaikan umat Islam. Mereka juga mencipta pelbagai istilah untuk mengelirukan sesuatu yang diharamkan. Ada yang menggunakan istilah “Couple Islamik” dan sebagainya.

Itulah sebabnya dalam Al Quran kita dilarang melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Daripada situlah akan membuahkan perasaan ingin berterusan berjumpa. Rasa rindu yang menerjah jiwa hingga dengan kepesatan teknologi ‘smartphone’ kini, manusia mampu untuk tidak tidur demi memenuhi tuntutan nafsu gejolak jiwa yang membara. Bukankah ini permainan syaitan untuk menyeret kita untuk bersama-sama mereka di Neraka?

Pertunangan yang disalah erti

Bertunang bukanlah tiket untuk bergaul bebas, apatah lagi atas nama memberi barang keperluan perkahwinan seperti set baju, barangan bilik tidur dan sebagainya. Tempoh pertunangan juga adalah tempoh ujian sama ada selamat sampai ke garisan penamat dengan ikatan perkahwinan atau terungkai di tengah jalan.

Larangan ini bukanlah bermaksud menyekat kebebasan, tetapi biarlah kebebasan itu patut dan kena pada tempatnya. Banyak cara yang boleh dilakukan, itulah sebabnya Islam mengharuskan lelaki melihat rupa paras wanita yang akan dikahwini, tetapi kita janganlah pula berlonggar-longgar dalam perkara ini, sehingga menimbulkan masalah lain pula.

“Ya, memang macam tu. Biarlah ustazah dikata tak moden, kolot. Yang penting, biarlah kita berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar-benarnya.”

Memang bukan senang berhadapan cabaran zaman sekarang, tapi  jika kita tidak mempertahankannya, siapa lagi?

Kepada semua anak-anak remaja:

  • Didiklah diri mentaati perintah Allah s.w.t dan Rasul
  • Bersabarlah dengan kritikan dan ujian manusia dalam mencari redha Allah
  • Sebarkanlah kebaikan, serulah kawan-kawan remaja kita ke arah kebaikan
  • Terimalah teguran yang baik daripada ibu bapa dan kaum keluarga yang berpegang dengan peraturan Islam

Kepada para ibu bapa:

  • Didiklah anak-anak remaja dengan ketegasan terhadap peraturan syariat.
  • Jadikanlah diri kita ibu bapa atau ibu bapa mertua yang soleh dan solehah.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang diredhai di sisi Allah s.w.t.

Ustazah Siti Rahmah bt Rahmat
Ketua Wanita ISMA Alor Setar

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker