Pendapat

Fahaman feminisme melanggar acuan syariat

FeminismSS-Post

Wanita masih keliru, mana yang benar dan mana yang palsu. Sifat ingin memimpin dan menjadi penguasa dunia semakin membuak-buak di dalam kalbu sehingga sanggup menggadaikan pegangan yang menjadi bekalan sejak 1400 tahun dahulu lagi.

Dewasa ini, wanita berlumba-lumba mengejar pangkat dan harta. Wanita bersengkang mata berusaha menjadi lebih hebat daripada lelaki dan wanita bersungguh-sungguh ingin mencapai kuasa yang setaraf dengan lelaki. Apakah itu salah di sisi syariat Islam?

Telah banyak hal ini diperbincangkan bahkan menjadi perdebatan antara ahli akademik dan agamawan tentang peranan dan tanggungjawab sebenar seorang wanita Islam.

Rentetan sejarah mencatatkan ketinggian wanita itu diangkat oleh Islam daripada kemelut jahiliyah yang menghitam. Wanita ketika zaman jahiliyah sungguh hina, jijik dan dituduh pembawa bala kematian kepada keluarga. Namun apabila cahaya Islam datang, wanita Islam menjadi mulia dan diangkat martabatnya setara dengan lelaki.

Kesetaraan apakah yang diangkat oleh Islam terhadap wanita dengan lelaki? Di dalam al-Quran, Allah telah mengkhususkan satu surah khas untuk kaum wanita iaitu Surah an-Nisa. Allah juga mencatatkan di dalam al-Quran tentang keserataan pahala dan amalan yang diberikan kepada wanita sama seperti lelaki iaitu, pahala membuat amal kebajikan, berdakwah, menuntut ilmu dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, apa yang menyedihkan hari ini, wanita semakin hilang rasa malu, wanita semakin hilang rasa izzah (bangga) dengan ketinggian mereka yang diangkat oleh Islam. Setiap inci hukum syariat dipertikaikan oleh mereka sehingga seolah-olah Islam sudah tidak adil lagi.

Acuan fahaman liberal yang sedang diseludup masuk oleh barat ke dalam pemikiran wanita semakin membatasi ketinggian syariat. Bahkan hal ini telah menjadi normalisasi dalam masyarakat. Hukum menutup aurat dibahaskan, hukum mentaati suami diperdebatkan, dan hak memiliki harta menjadi untaian pertikaian. Apakah ini suatu perkara yang ‘normal’ pada pemikiran wanita Islam yang sebenar?

Barat telah membawa fahaman liberalisme dengan menjadikan feminisme sebagai alat pertikaian. Sedikit rentetan sejarah tentang liberal feminisme bermula dari kurun ke 19 lagi, Elizabeth Cady Stanton antara feminis yang sungguh aktif memperjuangkan feminisme dari segi pendidikan dan hak-hak wanita yang sangat tidak adil ketika itu.

Kemudian pada kurun ke 20 pula, di Amerika Syarikat, Betty Friedan antara pejuang feminisme moden yang kental dalam memperjuangkan hak wanita bekerja. Friedan menjadi pencetus kepada pemikiran feminisme moden kerana dia merasakan wanita yang telah berkahwin dan bekerja sangat terbeban dengan tanggungjawab untuk menjaga anak dan sebagainya, sedangkan lelaki tidak menanggung beban sebanyak itu. Selain itu, Friedan juga tidak bersetuju dengan John Stuart Mill yang mengatakan, wanita sepatutnya memilih untuk bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa. Pada pandangan Friedan, hal itu sungguh tidak adil bagi wanita. (Sumber: Women in Feminism and politics; New Directions Towards Islamization)

Belajar daripada sejarah. Itu ungkapan yang acapkali dilafazkan akan tetapi sejauh mana kita melihat ia sebagai pengajaran yang harus diambil iktibar. Ya, sejarah itu adalah sejarah dari barat. Tetapi adakah kita sedar bahawa sejarah feminisme yang berlaku di Amerika Syarikat pada kurun ke 20 itu telah berlaku di negara kita hari ini, bahkan lebih buruk lagi?

Pergerakan feminisme Malaysia yang hangat memperjuangkan feminisme hari ini adalah Sisters In Islam (www.sisterinislam.org.my) yang cuba bertopengkan dengan menggunakan nama Islam tetapi dasar pemikiran mereka adalah acuan barat bukan Syariat. Sedarkah kita, Sisters In Islam yang berjuang dengan membawa nama Islam tetapi pejuang-pejuangnya adalah wanita-wanita yang tidak mengamalkan amar maaruf nahi mungkar. Ayat-ayat al-Quran diputar-belitkan dengan menggunakan logik akal dan hukum Islam dijadikan bahan sendaan.

Baru-baru ini, berkenaan isu COMANGO (gabungan NGO-NGO) Sisters In Islam telah menjadi salah sebuah NGO yang terlibat dalam menandatangani UPR oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkenaan dengan Hak Asasi Manusia yang perlu dituntut di dalam sesebuah negara.

Apa yang menyedihkan antara tuntutan hak asasi itu adalah secara terang-terangan bertentangan dengan Islam seperti kebebasan murtad, menghalalkan seks songsang, membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada Kristian dan banyak lagi. Apakah ini masih belum jelas dengan agenda yang sedang dibawa untuk merosakkan Islam?

Ini bukan suatu tuduhan. Bukan juga satu stereotaip yang melampau terhadap golongan ini, akan tetapi apa yang harus kita lakukan adalah cakna dan mengambil tahu serta memahami fahaman feminisme yang sedang menyerang pemikiran kita hari ini.

Apakah cukup hanya tahu dan cakna? Sudah tentu tidak, tugas kita adalah dengan menyampaikannya kepada orang lain supaya penyebaran maklumat yang bercanggah dengan syariat Islam diketahui umum. Isu ummat wajib digembar-gemburkan kerana kita tidak mahu saudara kita yang terlepas pandang tentang isu ini terkontang-kanting di dalam arus kejahilan. Usah biarkan jiwa dan minda kita menjadi selari dengan pegangan mereka tetapi selarikan diri kita dengan perisai syariat supaya dapat menepis fahaman-fahaman seumpama ini.

Nurul Hajjar Binti Atan
Wartawan ISMA DHL
Aktivis PEMBINA Bangi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

7 komen

  1. “Tiada paksaan dalam Islam”

    Saya seorang wanita Muslim yang bersetuju dan bekerja untuk mendapatkan hak sama rata bagi wanita dan golongan minoriti. Saya sangat berbangga dengan kerja saya dan telah/ingin memberitahu ramai orang lagi mengenai kelebihan berfikiran feminisme.

    Tidakkah Ms Nurul merasakan golongan wanita ditindas, sehinggakan nama pun ‘Cik’ atau ‘Puan’ untuk menunjukkan status berkahwin, tetapi lelaki tidak perlu? Tidakkah Ms Nurul merasakan geram kerana lelaki Islam dibenarkan berpoligami tetapi wanita Islam yang merasakan stigma menjadi isteri kedua, ketiga, keempat?

    Fikiran feminisme adalah untuk mendapatkan hak sama rata – bukan lebih, bukan kurang. TIADA negara di dunia ini – walaupun negara Barat – yang ada hak sama rata sesama lelaki dan perempuan. Kerana itu penting untuk mengutamakan feminisme. Perempuan selalu dibayar kurang, dipandang rendah dalam kerja kerana mempunyai kelebihan boleh mengandung, dan dianggap mengutamakan keluarga sehingga promotion pun susah datang. Saya dan golongan fikiran feminisme yang membesar di Malaysia ini akan terus mencabar ‘status quo’ ini.

    Saya sesungguhnya merasakan banyak orang Islam itu sangat paranoid. Memburukkan Islam! Mesti paksa golongan itu kembali ke arah ‘benar’! Mesti berikan hak ekslusif kepada Islam! Saya ingin memberitahu Ms Nurul bahawa orang akan tetap murtad sekiranya dia mahu, orang akan tetap suka pada pasangan sejenis sekiranya dia mahu, orang akan tetap pakai tudung/tidak pakai tuding sekiranya dia mahu – apa yang diminta ialah supaya orang-orang tersebut tidak didiskriminasi (bertentangan dengan Islam btw), kerana ISLAM TIDAK MEMAKSA.

    Saya akan cakap sekali lagi sekiranya tidak jelas – ISLAM TIDAK MEMAKSA. COMANGO BUKAN UNTUK MEMPROMOSI, TETAPI UNTUK MENGELAKKAN DISKRIMINASI DAN MELINDUNGI ORANG DITINDAS. Kalau orang Islam yang minoriti di Malaysia, dan ditindas oleh kerajaan, COMANGO akan tetap tolong juga.

    Saya akhirkan komen ini dengan lafaz yang saya pasti Ms Nurul pernah dengar – “Agamamu ialah agamamu. Agamaku agamaku”. Saya tambah lagi, tiada agama pun lagi baik daripada jadi orang Islam yang menggunakan Islam untuk berlaku jahat pada orang-orang minoriti. Yang bak tu Tuhan tak suruh.

    Wasalam,
    Suraya

  2. Assalamualaikum,

    Saya disini bukan lah uztaz atau alim ulama, tetapi hanya ingin berkongsi pendapat.

    Penulis dah jelaskan dimana Allah sendiri mengangkat martabat perempuan dengan menurunkan surah An-Nisa yg memberi makna perempuan. Jadi martabat perempuan itu akan terangkat sendiri sekiranya dia mengikut acuan Islam dan hukum2 Islam. Berkenaan gaji dan “status quo” itu tidak penting kerana kita akan mati dan semua ini akan ditinggalkan. yang penting iman dan taqwa dan amalan yang akan dibawa ke padang masyar.

    sebenarnya tiada ayat “TIADA PAKSAAN DALAM ISLAM”. ayat itu sebenarnya berbunyi, “TIADA PAKSAAN DALAM BERAGAMA, (Al-Baqarah, 256)”. disini para ulama telah membincangkan dan mentafsirkan ayat tersebut yg membawa maksud islam ini bukan agama paksaan. ORANG BUKAN ISLAM TIDAK WAJIB MENERIMA ISLAM dan mereka boleh mengamalkan agama mereka dan mereka tidak boleh dipaksa untuk memeluk islam. tetapi apabila kita sudah memeluk islam, kita wajib mengikut syariat islam.

    ayat “AGAMAMU IALAH AGAMAMU, AGAMAKU IALAH AGAMAKU”. ayat ini diturukan dalam surah AL-KAFIRUN yang bermaksud kafir. ayat ini diturunkan khas untuk orang kafir quraisy dimana mereka cuba membuat perjanjian dgn Rasulullah supaya beribadah bersama-sama dgn mereka. maksudnya bila orang kafir sembah berhala, orang islam pon sembah berhala, apabila orang islam solat, orang kafir pon solat.

    jadi kedua-kedua ayat ini tidak boleh dipakai utk sesama umat islam kerana ianya adalah ditujukan kepada orang kafir.

  3. “Tidakkah Ms Nurul merasakan geram kerana lelaki Islam dibenarkan berpoligami tetapi wanita Islam yang merasakan stigma menjadi isteri kedua, ketiga, keempat?”

    Berdasarkan petikan kenyataan Ms Suraya di atas, saya nasihatkan Ms Suraya beristiqfar & memohon ampun daripada Allah swt. Hukum poligami ada dalam Islam. Janganlah disebabkan pelakunya yang tidak berlaku adil, hukum asalnya pula dipertikaikan.

    Saya juga menasihatkan Ms Suraya supaya tidak membuat tafsiran ayat Al Quran mengikut fahaman sendiri. Rujuklah kitab-kitab tafsir yang telah dikarang oleh para ulama Islam.

  4. Assalamualaikum Cik puan Suraya,

    Pertama sekali saya ingin mengatakan bahawa saya tidak merasa wanita ditindas hanya kerana gelaran ‘cik’ atau ‘puan’ dibezakan berbanding lelaki. Pada pandangan saya, isu gelaran tidak menjadi pokok utama kepada penindasan terhadap kaum wanita kerana di Malaysia ia bukan masalah utama berbanding di luar negara. Mungkin ada satu atau dua kes yang berlaku akan tetapi perkara itu kita tidak boleh kategorikan sebagai bentuk penindasan yang kritikal. Kedua, saya tidak merasa geram apabila lelaki Muslim diberi hak untuk berpoligami. Sebagai seorang wanita Muslim, kita wajib patuh dan taat kepada apa yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW. Kelebihan yang telah diberikan oleh Allah kepada kaum lelaki dalam berpoligami mempunyai sebabnya yang tersendiri. Kerana Allah tidak akan membuat sesuatu perkara itu tanpa sebab dan musabab. Allah juga ada berfirman, mafhumnya,” Lelaki (suami) adalah pemimpin bagi wanita…” Bagaimana mungkin seorang wanita itu boleh menjadi sama dengan lelaki sedangkan Allah lebih mengetahui sifat hamba yang diciptakan-Nya.

    Feminisme ini datangnya dari barat, dicipta dan diperkenalkan oleh mereka yang beragama yahudi, kristian atau mungkin ada yang free thinker. Mereka memperjuangkan hak yang tidak ada dalam undang-undang negara mereka, ketidakpuasan hati mengenai diskriminasi material dan sebagainya. Akan tetapi golongan feminis di Malaysia memperjuangkan ‘hak’ yang bukan hak sebenarnya sehingga mencabar hukum dan ketentuan Allah seperti kewajipan memakai tudung dan sebagainya.

    Wanita hari ini yang mengatakan mereka ditindas, didiskriminasi adalah mereka yang tidak mahu dijajah lagi setelah sekian lama dimomokkan dengan panggilan ‘lemah’ dan tidak kuat seperti lelaki namun tanpa mereka sedari, mereka sedang dijajah oleh diri sendiri dan hawa nafsu yang mengkhayal diri.

    Sebagai seorang wanita yang mengaku diri sebagai Muslimah, kita wajib tahu apakah benar ‘penindasan’ yang berlaku terhadap wanita itu datangnya dari Islam? Kaji sejarah wanita dalam Islam, bagaimana pada ketika, wanita penuh kehinaan pada zaman jahiliyah, kemudian datangnya cahaya Islam (dengan hukum-hukum dan perintah yang ditetapkan) menjadikan wanita itu mulia..

    Akhir kalam daripada saya, kita (saya dan cik puan Suraya) adalah wanita muslimah yang diangkat mulia oleh Islam.. Marilah sama-sama kita merasa bangga dengan apa yang telah Islam berikan pada kita dan sama-sama juga kita fikirkan apa yang perlu kita buat untuk memberikan sumbangan pada agama Islam yang tercinta.. Wallahu a’lam..

  5. Salam Cik/ Puan Suraya,
    Jika dilihat, salah satu tujuan Rasulullah s.a.w berpoligami juga adalah untuk membela nasib wanita. Janganlah dipandang dari satu sudut sahaja isu poligami ini. Terdapat kupasan yang lebih mendalam tentang isu poligami ini yang dibincangkan alim ulama, bolehlah rujuk kepada yang lebih mengetahui. Kita perlu mengkaji dengan mendalam untuk benar-benar buat keputusan dan mengadili sesuatu itu. Secara rasionalnya perkara yang berkait dengan hukum dalam agama biarlah dirujuk dan dipelajari dengan orang yang lebih tahu. Jangan mudah membuat satu andaian.
    Firman Allah “ Maka kahwinlah wanita-wanita yang kamu senangi dua atau tiga atau empat. Jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja”. (An-Nisa:3)
    Saya juga merasakan seperti saudari Nurul Hajjar tentang isu gelaran bagi wanita. Saya tidak nampak mengapa gelaran yang membezakan status bujang atau sudah berkahwin itu sebagai satu penindasan. Apakah yang anda mahu untuk gelaran seorang wanita? Mungkin boleh nyatakan gelaran yang sepatutnya.
    Jangan lah kita mengganggap orang yg gerun dan takut melihat banyak orang Islam murtad, mahukan orang Islam kembali ke jalan yg benar itu sebagai paranoid. Mereka adalah orang2 yg ambil peduli dan berusaha untuk menegakkan kedaulatan Islam daripada diinjak-injak. Mereka takut melihat umat zaman ini. Anda sepatutnya lebih faham, dan sensitif kerana and juga seorang muslim. Bukankah, membenci kemungkaran itu menunjukkan keimanan kita. Dan anggapan kita boleh berbuat sesuka hati kerana Islam tidak memaksa itu adalah tidak benar. Mengapa Al-quran menetapkan hukum yang jelas tentang aurat,menceritakan tentang kaum Nabi Lut jika bukan untuk peringatan dan sebuah garis panduan. Bukannya kita boleh pilih untuk ikut atau tidak. Ini adalah undang-undang sebuah garis panduan yang ditetapkan bagi umat Islam. Selagi kita digelar Islam wajib untuk kita patuhi. Seperti telah dijelaskan oleh saudara Shamsul, tiada paksaan bererti tiada paksaan dalam beragama yang telah dibincangkan para ulama. Janganlah dibuat main-main sesuatu hukum itu kerana kemahuan kita sendiri dan pemikiran kita yang tidak mahu menerimanya.
    Apa yang saya boleh sarankan adalah anda bacalah isi kandungan tuntutan Comango dgn lebih mendalam dan kajilah sebelum anda mengandaikan ia melindungi golongan ditindas dan mengelakkan diskriminasi ataupun tidak. Kadang-kadang ada maslahat yang lebih besar yang perlu kita lihat daripada apa yang kita nak perjuangkan semata-mata. Ingatlah siapa kita dan di mana kita harus berpihak. Wallahualam.

  6. I am not offended in anyway if people address me as Cik or Puan, as long as they respect me as a Muslimah.

    I am more offended if people say the wrong thing about my religion.

    How much more selfish should we be, that it’s always about me, me and me?

    In Malaysia, female forms > 54% of the job force in support worker category, and based on the salary scheme, I don’t think they can be discriminated.

    You may have cases in private sectors but that should not justify the generalizing that women are poorly paid in Malaysia comparing to their counterparts.

    Feminism fighting for equal pay of women may be the right thing to do in certain 3rd world country but in Malaysia, since the feminists really couldn’t find issues, they targeted Syariah of Islam , just to make sure they ‘have some issues to fight for’, people remember them and they can get award, say…. from France!

    They forgot that the majority of Moslem women, embrace Islam as a way of life without any difficulty, as they understand ‘adil’ in Islam is equitable, not equal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker