Pendapat

Methamphetamine gejala penagih urban

Meth Ice
Media semalam melaporkan mengenai kematian enam orang peserta konsert festival musik Asia yang dianjurkan di sebuah stadium di ibu negara.

Empat daripada enam orang yang disahkan meninggal dunia berbangsa Melayu Muslim berumur di antara 22 hingga 28 tahun, seorang lelaki dan tiga yang lain perempuan.

Laporan awal mengesahkan mereka semua mengambil methamphetamine, sejenis dadah kristal jernih diproses berbentuk pil yang sebenarnya diluluskan dan digunakan untuk merawat attention deficit hyperactivity disorder (ADHD) dan obesiti.

Methamphetamine atau biasa dipanggil ‘meth’ tidak asing bagi mereka yang kaki ‘clubbing’, kerana meth mampu meningkatkan keupayaan seksual, meningkatkan mood dan tenaga serta memungkinkan seseorang melakukan aktiviti seksual sehingga beberapa hari lamanya.

Dalam dos rendah dadah moden ini membantu meningkatkan keupayaan, fokus dan konsentrasi tetapi dalam dos tinggi akan menyebabkan psychosis (khayal), rhabdomyolysis (kerosakan sel otot) and cerebral hemorrhage (kerosakkan sel otak).

Dalam kes seperti  konsert tersebut, kematian disebabkan pengambilan meth berlebihan (overdose) yang mungkin menyebabkan tekanan jantung tidak normal, tekanan darah turun naik, hiperthermia, dysuria (susah membuang air kecil) dan kekeliruan (‘confusion’).

Apa yang merisaukan kita ialah trend mengambil dadah jenis ini di kalangan remaja dan belia sebagai aktiviti hiburan, pengambilan yang melampau kerana mahukan stamina tinggi atau ‘party hard’.

Lebih mendukacitakan ramai di kalangan mereka ialah belia Muslim, yang sepatutnya menggunakan masa, tenaga dan kemampuan mereka ke arah pembangunan diri, keluarga dan masa depan tetapi sebaliknya terjebak dengan gejala keruntuhan akhlak, hiburan melalaikan dan akhirnya kematian akibat penyalahgunaan dadah.

Di kala negara bersedih dengan kehilangan MH370 dan suasana jerebu yang belum pulih, mereka masih boleh menganjurkan dan menyertai parti ‘outdoor clubbing’ yang bagi saya sengaja dilabel sebagai ‘festival musik’ untuk menghalalkan aktiviti itu, yang saling tak tumpah seperti di dalam kelab malam.

Kejadian ini perlu diambil sebagai pengajaran penting oleh semua pihak termasuk belia, ibu bapa, bahkan pihak berkuasa agar berhati-hati dengan penularan gaya hidup ala barat yang sememangnya bertentangan dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.

Islam menganjurkan agar kita menggunakan sumber alam ini untuk tujuan kebaikan, perubatan dan merawat penyakit, bukan untuk disalahguna.

Raihlah kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat bukannya bahagia sementara di dunia dan menanggung azab di akhirat kelak.

Hidup hanya sekali, fikirlah banyak kali, bertindaklah berhati-hati, agar kebahagian kekal abadi.

Yudi Kurniawan bin Budi
Biro Media ISMA Kajang

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker