Pendapat

Sampai bila jari dituding kepada pihak lain

Gusar hati melihatkan ramai dalam kalangan masyarakat kita yang terlalu taksub pada politik kepartian sehinggakan segala apa yang berlaku mesti dikaitkan dengan parti politik di Malaysia. Jika bukan Pakatan Rakyat (PR), maka Barisan Nasional (BN). Jika bukan BN, maka PR. Apabila tidak mampu menuding jari kepada salah satu, disalahkan pula kepada pelbagai NGO atau badan yang lain. Siapalah yang mencipta sifir dan formula sebegini? Cuba kita tepuk dahi, tanya akal.

Malaysia ‘digegarkan’ dengan perbicaraan kes liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) yang menutup tirai pada 7 Mac 2014 dengan keputusan sabit kesalahan dan hukuman 5 tahun penjara. Menambah gegaran adalah misteri kehilangan pesawat Boeing 777 MH370 semasa penerbangannya dari Kuala Lumpur menuju Beijing pada 8 Mac 2014. Sama ada benar atau palsu pertuduhan oleh Saiful Bukhari Azlan terhadap DSAI, juga sama ada adil atau zalim keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat, timbul kekalutan baru apabila ada rakyat Malaysia yang mengaitkan kes misteri MH370 adalah ‘mainan’ BN untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kes keputusan mahkamah sekaligus pilihan raya kawasan ADUN Kajang.

‘Kekalutan’ baru melibatkan Raja Bomoh Ibrahim Mat Zin yang menjampi di KLIA memperlihatkan ada segolongan masyarakat kita yang menambah-keruhkan keadaan dengan menyalahkan pihak kerajaan BN yang tidak menangkap Raja Bomoh ini. Bagi peminat BN, PR pula yang dipersalahkan terutamanya apabila PAS tidak berjuang untuk menghentikan pengamalan oleh Raja Bomoh yang dikategorikan sebagai syirik dan khurafat. Ada juga yang tidak mahu kalah lantas menyalahkan badan NGO Islam seperti ISMA yang tidak menghentikannya.

Bergegar jantung mendengar cara fikir sesetengah golongan masyarakat di Malaysia seperti ini. Jika gaya pemikiran begini diteruskan, saya tidak hairan jika esok lusa wujudnya golongan masyarakat kita yang menyalahkan pihak pemerintah (tidak kira BN atau PR) atau mana-mana pihak berwajib sebagai penyebab krisis kekurangan air atau masalah jerebu yang sedang melanda negara!

Selepas penggunaan pelbagai teknologi tercanggih untuk mengesan misteri MH370 bahkan wujudnya ‘kekalutan’ oleh Raja Bomoh, juga pelbagai konspirasi yang tidak pasti benar atau salahnya untuk menduga misteri yang berlaku, saya ingin memuji kenyataan ikhlas oleh Kapten Noruddin Abd Majid, bekas juruterbang Boeing 777, yang telah membuka mata masyarakat dengan suatu saranan yang amat berhikmah. Iaitu saranan untuk menggunakan ‘senjata’ doa-doa orang yang soleh. Jawapan extraordinary daripada seorang professional; apabila Sains buntu tiada jawapan, di situlah kita disedarkan kembali bahawa Allah swt-lah pencipta Sains dan segala-galanya di dunia.

Tidak dinafikan kerajaan sekarang mempunyai cacat-celanya, namun sekarang bukanlah masa untuk menuding jari. Bagi pihak kerajaan BN yang tidak mampu memberikan jawapan jelas tentang misteri MH370 (saya kira ini adalah di bawah kuasa pihak kerajaan), saya menyeru bersuaralah sekurang-kurangnya seperti mana yang dilakukan oleh Kapten Noruddin. Kekuatan umat Islam adalah apabila seluruh umat kembali berpadu meyakini kekuasaan Allah swt dan beramal dengan kseyumulan ajaran Islam yang sebenar secara sungguh-sungguh.

Harus disedari dunia kita sekarang adalah dunia akhir zaman. Seluruh dunia sedang memandang Malaysia. Di dalam jutaan mata yang sedang memandang, ada mata-mata yang merupakan mata musuh-musuh Islam yang saban hari sedang melihatkan keruntuhan kesatu-paduan umat Islam. Musuh-musuh ini meneliti satu persatu kejatuhan umat Islam, menanti masa untuk menyerang. Proksi-proksi iblis dan dajal setiap masa akan terus bekerja dalam sistem yang cukup tersusun. Mereka ibarat buaya lapar yang menunggu masa untuk membaham mangsanya dengan lahap. Sedangkan kita umat Islam seolah-olah ‘redha’ menjadi mangsa dengan menutup mata zahir juga menutup mata hati daripada melihat keruntuhan yang berlaku.

Ayuh kita kembali kepada ajaran Allah swt. Jika bukan sekarang, bila lagi?

M Syahrul Fitri Zawawi 
Ketua Biro Tarbiyyah ISMA South Australia 2014
Pelajar PhD (Medicine) The University of Adelaide Australia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker