Deretan konsert bakal merosak dan mungkin meragut nyawa lagi
Tanggal 19 April 2014, bakal menjadi satu lagi acara gilang-gemilang sempena Konsert Live In Color 2014 anjuran sebuah kelab malam terkemuka negara, atau adakah mungkin juga bakal menjadi tragedi seperti FMFA 2014?
Umum mengetahui FMFA 2014 beberapa hari yang lalu meragut enam nyawa akibat penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine, dikenali juga sebagai syabu atau ‘ice’ dikalangan penagihnya.
Konsert yang menjadi tragedi mengemparkan negara itu hanya diketahui selepas hari ketiga ianya berlangsung, itupun setelah dilaporkan oleh sebuah portal online mengenai kematian peserta konsert yang didakwa berpunca dari sesak nafas.
Kemaksiatan, kerosakkan dan kemungkaran itu dengan izin Allah swt terdedah apabila siasatan lanjut mendapati mereka mati kerana ‘overdose’ mengambil dadah sintetik yang amat merbahaya itu selepas heroin.
Perlu dinyatakan di sini bahawa Live In Color 2014 adalah kesinambungan aktiviti hiburan melalaikan, dan deretan lagi konsert yang bakal merosakkan muda-mudi harapan negara.
Asking Alexandria Live In Malaysia, Judika Live In KL, UB40 Live In KL, Kita 20Forteen Concert, Steve Vai Live In KL, Twin Towers @live 2014 dan Taylor Swift Concert adalah senarai menunggu konsert-konsert yang bakal berlangsung untuk bulan April sahaja.
Ingatlah Allah swt berfirman, “Barangsiapa yang melakukan kejahatan (maksiat dan dosa), niscaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain dari Allah.” (An Nisa’ 123).
Dan firman-Nya lagi, “Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” (Al Maidah 49).
Demikian peringatan dan amaran Allah swt kepada kita agar menjauhi perkara yang jelas bertentangan dengan Islam, agama yang menjadi pegangan dan pedoman muslimin di Malaysia ini sejak zaman-berzaman.
Daun ketupat di atas dulang,
Anak udang mati dituba,
Dalam kitab ada terlarang,
Perbuatan haram jangan dicuba.
Yudi Kurniawan b Budi
ISMA Kajang