Dadah ‘stimulant’: Antara fakta sains dan tuntutan agama
Negara masih dalam suasana sedih dengan kehilangan pesawat MAS MH370 minggu lepas yang sehingga kini belum tahu nasibnya. Kini kita pula dikejutkan dengan enam remaja dan dewasa maut termasuk tiga gadis disyaki akibat mengambil dadah perangsang atau ‘stimulant’.
Mereka adalah antara ribuan pengunjung yang terlibat secara langsung ketika menghadiri sebuah konsert yang dikenali ‘Future Music Festival Asia’ di Stadium Bukit Jalil. Ada beberapa remaja yang masih kritikal dan dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan susulan.
Bila kita melihat isu sebegini di depan mata, secara spontan terlintas di pemikiran bahawa mereka ini sangat keterlaluan dalam pergaulan bebas dan lepas daripada penjagaan ibu bapa mereka.
Fakta ini ada benarnya apabila penulis sendiri yang kebetulan menggunakan jalan utama ke Bukit Jalil untuk ke tempat kerja dan menyaksikan ramai remaja berpeleseran di depan stadium pada hari kejadian.
Acara konsert ini berlarutan selama 3 hari mengikut perancangan awal oleh pihak penganjur yang mampu menampung ribuan pengunjung serentak. Ruang dan peluang ini terbentang luas untuk para remaja mendapat ‘bekalan dadah’ golongan amphetamine dan mereka sangat memerlukannya sebagai ‘perangsang’ untuk mereka bersama menari dan terus menari.
Fakta umum yang perlu diketahui dan diperbetulkan
Sebagai pakar dalam bidang farmakologi serta pengalaman penulis mengajar subjek ini kepada penuntut perubatan, banyaklah fakta yang perlu diketahui dan diperbetulkan.
Fakta pertama, adalah kurang tepat jika kita menyamaratakan kesan ubat-ubatan, racun dan dadah terlarang sepertimana termaktub dalam Akta Racun 1952 (disemak 1989). Kategori ubat-ubatan yang perlu mendapat preskripsi doktor itu sangat berbeza indikasi, cara pengambilan ubat dan kesan kepada pesakit.
Dengan kata lain hanya mereka yang layak sahaja dibenarkan untuk mengeluarkan preskripsi kepada pesakit kerana ubat-ubatan tersebut boleh memberi kesan baik, atau sebaliknya malah boleh membawa maut.
Fakta kedua ialah golongan ubat kategori psikotropik adalah jauh lebih berbahaya berbanding ubat kategori lain. Ini termasuklah dadah perangsang jenis Amfetamina (Amphetamine-Type stimulant). Dos ubat yang diberi perlu diawasi dengan lebih rapi.
Ini kerana kesan buruknya pada sistem tubuh badan terutamanya sistem saraf pusat amat mudah terangsang. Kesan ‘fatal’ dadah stimulant sebenarnya bukan akibat dos berlebihan atau dos berulang-kali semata-mata, tetapi dadah itu sendiri telah dihasilkan dalam proses makmal haram yang ternyata berbahaya walaupun pada asalnya diproses pada dos normal.
Fakta ketiga ialah dos dadah stimulant dan psikotropik pada kadar normal adalah untuk rawatan pesakit sahaja dengan seliaan pihak doktor. Tetapi apa yang berlaku dadah stimulant ini diambil oleh remaja yang sihat. Mereka tidak memerlukan dadah ini.
Namun akibat keseronokan kerana dadah ini boleh memberi ‘tenaga tambahan’ dan perasaan khayal atau ‘euphoria’ tanpa letih walaupun berjam-jam menari beramai-ramai. Keghairahan akibat dadah ini akan bertambah hebat bila persekitaran merangsang seperti festival tari-menari, alunan muzik yang rancak, pesta-pesta liar di disko atau tempat terbuka akan turut menaikkan ‘mood’ seseorang.
Fakta seterusnya ialah dos terapeutik perlu dibezakan dengan dos akibat kesan racun atau toksin (toxic dose). Merujuk kepada kes terbaru ini, oleh kerana dadah tersebut bukanlah ubat yang disahkan selamat untuk diambil, maka ianya tidak termasuk dalam kategori dos terapeutik. Ubat ini yang melalui proses pembuatan secara haram iaitu tidak mematuhi ‘Amalan Pengilang Terbaik atau GMP’ tergolong dalam kategori racun dan toksik.
Peranan ibu bapa dan agama
Perasaan sangat sedih dan hiba bila dimaklumkan remaja yang maut itu 4 daripada mereka adalah sebangsa dan seagama dengan penulis! Pelbagai soalan tertanya di benak penulis.
Antaranya, di manakah ibu bapa mereka pada waktu itu? Adakah ibu bapa di rumah yang membenarkan anak-anak remaja tersebut untuk berhibur sambil mengambil dadah terlarang? Adakah ibu bapa sedar anak-anak remaja mereka ini terdedah dan berada di hujung ‘maut’? Adakah ini yang dikatakan kebebasan dan hak remaja masa kini mengikuti arus moden dan kesan urbanisasi?
Bila kita telusuri sendi-sendi agama dalam penjagaan anak-anak, ibu bapalah pihak pertama sebagai pencegah di samping mendidik mereka ke jalan yang benar. Ini antara tuntutan agama yang wajib dipenuhi oleh ibu bapa.
Adalah tidak wajar melihat isu ini hanya dari sudut undang-undang pencegahan semata-mata, kerana sudut tersebut agak terhad dan mungkin terlewat. Sebaliknya pengawalan dan didikan remaja ini bermula dari rumah. Ini sangat bertepatan dengan syariat Islam iaitu asas didikan anak-anak pasca-baligh masih di bawah tanggungjawab ibu bapa.
Sesibuk mana ibu bapa sekalipun, perlu ada sikap ingin tahu siapa rakan mereka, di mana mereka dan apa aktiviti mereka selepas waktu sekolah.
“Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” As-Syura ayat 49 dan 50
Sikap mengambil berat persoalan anak-anak dan mendidik mereka sebagai bukti syukur pada Allah sepertimana kenyataan ayat Al-Quran di atas. Justeru akan terjalin hubungan harmoni dalam keluarga, lahirlah anak yang taat kepada dua ibu bapanya serta terbentuklah watak anak soleh yang dapat membangunkan agama, bangsa dan negara.
Hadis Abu Hurairah r.a katanya: “Setiap anak yang lahir itu adalah dalam keadaan fitrah (Islam; suci bersih). Maka ibu bapanya lah yang bertindak menjadikan ia Yahudi atau Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis di atas sangat jelas memperakui peranan yang wajib dimainkan oleh para ibubapa. Ini merupakan satu perintah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Untuk mempertahankan fitrah mulia ini, maka anak-anak kita sewajarnya ‘dikepung’ dan disirami dengan ajaran yang termaktub dalam Al-Qu’ran dan sunnah Rasulullah SAW. Kita sangat yakin dengan memegang sungguh-sungguh dua sumber ini untuk pendidikan anak-anak, ianya mampu menyelesaikan banyak masalah manusia.
Penulis berpendirian isu dadah ‘stimulant’ di kalangan remaja dan dewasa tidak cukup dengan bersandarkan undang-undang kawalan dadah yang sedia ada. Didikan awal berkenaan agama serta kawalan dari ibu bapa itu sangat penting. Begitu juga peranan pihak berkuasa, para pemimpin dan penganjur yang perlu sama-sama sensitif untuk membendung gejala buruk ini.
Disediakan,
Prof Dr Azizi Ayob
MD (UKM), PhD (IIUM)
Pakar Farmakologi Klinikal
SUA, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)
Persoalan, di manakah pihak berwajib yg meluluskan dan menghalalkan konsert seperti itu?