Berita UtamaPendapat

MH370 – Hukum ke atas orang hilang (al-mafqud)

Muhammad Firdaus Zalani Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Sejak 8 Mac 2014 yang lalu, negara kita hangat membahaskan isu kehilangan pesawat MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal. Di kalangan penumpang dan anak kapal penerbangan tersebut, ada sebahagiannya beragama Islam yang mempunyai harta dan keluarga sendiri.

Maka dalam situasi ini, timbul persoalan di kalangan masyarakat mengenai status penumpang atau anak kapal tentang beberapa perkara seperti: 

Adakah hilang itu dianggap sebagai mati dalam Islam? Apakah status perkahwinan mereka? Adakah boleh dilakukan solat jenazah ghaib ke atas mereka? Adakah harta mereka perlu dibahagikan kepada waris? Bilakah orang hilang ini akan diiktiraf mati? Dan pelbagai lagi persoalan lain.

Saya akan cuba menerangkan apakah yang dimaksudkan “orang hilang” dan implikasinya di dalam kefahaman Islam secara mudah difahami untuk bacaan masyarakat umum. Moga tulisan ringkas ini dapat memberi kefahaman serba sedikit dalam menilai isu yang sedang berlaku ini dari dimensi syarak.

“Orang yang hilang” menurut Islam

1. Di dalam Islam, perbincangan mengenai orang yang telah mati adalah sangat penting, kerana matinya seseorang itu akan memberi implikasi yang sangat besar seperti berkenaan status perkahwinannya, pembahagian hartanya, wasiatnya dan lain-lain.

Maka perbincangan mengenai orang yang hilang juga sama pentingnya, kerana situasi orang yang hilang ialah tidak diketahui mati atau hidup. Atas dasar itu, kesemua imam 4 mazhab dan ulamak-ulamak terdahulu telah meletakkan satu tajuk khusus di dalam fiqh yang membincangkan mengenai orang yang hilang yang disebut sebagai al-Mafqud.

2. Yusuf Ata Muhammad Hilwa telah menyatakan maksud al-Mafqud yang jamik manik (ringkas dan padat) dari segi istilah ialah apa yang disebut oleh Ibnu Maudud  iaitu :

“Orang yang telah hilang dari ahli keluarganya dan negaranya, ataupun menjadi tawanan kemudian tidak diketahui tempatnya dan situasinya samada dia masih hidup atau mati dan ianya berterusan untuk suatu tempoh.”

Berdasarkan takrif diatas, jelas akan penilaian akan al-Mafqud itu pada 3 perkara:

i)        Tidak diketahui tempatnya.
ii)       Tidak diketahui situasinya hidup atau mati.
iii)     Berlalu suatu tempoh zaman.

3. Kemudian di dalam perbincangan al-Mafqud, ulamak fiqh telah bersepakat (mahal ittifaq) bahawa :

i. Hukum ke atas orang yang berada dalam situasi al-Mafqud adalah diiktiraf sebagai orang yang masih hidup. Maka pasangannya akan kekal diiktiraf sebagai status berkahwin dengannya, hartanya tidak akan dibahagi dan tidak perlu dilakukan solat jenazah ghaib keatasnya kerana dia diiktiraf sebagai masih hidup walaupon mafqud (hilang).

Perkara ini selari berdasarkan kaedah fiqh :

الأصل بقاء ماكان على ماكان

Asal kekal sesuatu itu mengikut apa yang ada sebelumnya. 

Dan juga kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Suatu yang telah diyakini, ianya tidak akan hilang dengan perkara yang syak. 

Kerana pemilikan harta dan hubungan perkahwinan itu berlaku secara pasti (yakin), maka tidak boleh tidak hanya perkara pasti (yakin) sahaja yang boleh mengubah status asal perkara tersebut. Sedangkan orang yang hilang atau mafqud ialah berada dalam situasi tidak pasti (syak) iaitu tidak pasti dia hidup atau mati. Hukum diiktiraf sebagai orang yang masih hidup ini juga diistilahkan oleh Imam Maliki sebagai sinnu ta’mir (umur yang terus bertambah).

ii. Al-Mafqud boleh dinilai sebagai orang mati oleh hakim dengan dua cara, samada:

(a) Terdapat bukti terhadap kematian orang tersebut (bayyinah ala mautihi). Maka jika terdapat bukti yang sah disisi syarak akan kematiannya dan hakim iktiraf bukti tersebut, maka orang tersebut boleh distihar mati walaupon tempoh menunggu yang munasabah belum lagi sempurna.

(b) Berlalunya suatu tempoh menunggu yang munasabah bahawa orang tersebut telah mati. Maka apabila habis tempoh tersebut dalam keadaan tidak dijumpai sebarang bukti yang sah, hakim boleh mengiktirafkannya sebagai mati.

iii. Hanya hakim (qadhi) sahaja yang boleh menentukan seseorang itu mati samada dengan cara pembuktian atau berlalunya tempoh  yang akhirnya memberi implikasi selepas itu seperti penceraian, wasiat, pembahagian harta warisan dan lain-lain.

Jadi walaupun ulamak telah meletakkan sesuatu tempoh untuk menunggu orang yang hilang sebelum diiktiraf mati, tempoh tersebut adalah sekadar panduan dan bukannya kata putus. Ataupun jika ada orang yang menjumpai bukti yang menunjukkan kematian orang yang hilang tersebut namun bukti tersebut tidak diiktiraf di sisi hakim mungkin kerana bukti itu tidak diiktiraf syarak, maka orang tersebut masih dinilai al-Mafqud. Kata putus terletak pada hakim untuk menentukan kematiannya.

iv. Implikasi mafqud itu perlu dilihat dalam 2 perkara berbeza iaitu pada hartanya dan juga pada pasangannya (suami/isteri).

4. Sudut yang ulamak selisihkan (mahal niza’) adalah pada :

i) Jenis mafqud samada hilang di negara Islam atau tidak, hilang yang secara zahirnya tidak logik untuk hidup atau tidak, dan hilang disebabkan peperangan atau tidak. Perbincangan mengenai jenis mafqud ini memberi kesan pada tempoh menunggu sebelum ditentukan kematiannya. Contohnya, Maliki berpandangan golongan yang hilang di dalam negara Islam diberi tempoh menunggu selama 4 tahun berbanding orang yang hilang di dalam negara kafir yang diberi tempoh 70 tahun.

ii) Tempoh menunggu yang diletakkan sebagai panduan dalam menentukan kematian seseorang. Ada ulamak yang meletakkan 4 tahun, 50 tahun, 70 tahun, 100 tahun, 120 tahun dan lain-lain. Perselisihan ini berpunca tiadanya dalil khusus yang menyebut mengenai tempoh menunggu untuk al-Mafqud, jika pun ada seperti berdasarkan perbuatan Saidina Umar RA, pada pandangan sebahagian ulamak perbuatan Saidina Umar tersebut hanyalah sekadar ijtihad beliau terhadap situasi ketika itu.

iii) Bilakah orang yang hilang itu diiktiraf sebagai mafqud iaitu samada sejak hari pertama hilang atau sejak hakim membuat arahan untuk melakukan pencarian. Kesan daripada perbincangan ini adalah tentang penentuan bilakah bermulanya tempoh menunggu.

5. Alasan (illah) ulamak terhadap penilaian tempoh menunggu adalah berdasarkan tempoh yang munasabah bagi menunggu orang yang hilang untuk kembali sebelum diiktiraf sebagai mati, maka penilaian tempoh ini adalah atas ijtihad di kalangan ulamak.

6. Atas sebab penilaian tempoh ini adalah ijtihad, sebahagian besar ulamak masa kini melihat tempoh munasabah di masa sekarang yang dilengkapi dengan pelbagai alat teknologi seperti telefon, internet, satelit dan lain-lain adalah berbeza dengan tempoh munasabah pada zaman dahulu yang tidak dilengkapi teknologi-teknologi semasa. Dr Abdullah Al-Rukban menyatakan :

“Apa yang disebut (mengenai tempoh menunggu al-Mafqud) berdasarkan perbuatan sahabat atau apa yang diselisihkan oleh para ulamak mengenai tempoh ini, pada pandangan saya kalaulah mereka hidup pada zaman sekarang maka sudah tentu mereka akan menukar pandangan mereka kerana teknologi semasa yang wujud pada hari ini memberi kesan yang sangat besar (dalam menentukan tempoh menunggu al-Mafqud).”

Kesimpulan

1. Situasi yang berlaku kepada anak kapal dan penumpang MH370 adalah selari dengan kefahaman mafqud kerana mereka itu tidak diketahui situasinya (hidup atau mati), tidak diketahui tempatnya dan telah berlalu suatu tempoh sejak kehilangan tersebut.

2. Anak kapal dan penumpang MH370 berada dalam hukum mafqud iaitu diiktiraf sebagai masih hidup sehingga hakim membuat keputusan berdasarkan bukti atau berdasarkan berlalunya satu tempoh. Maka pasangannya masih lagi diiktiraf dan hartanya masih lagi dimiliki olehnya.

3. Perbincangan mengenai kematian krew dan penumpang yang hilang berdasarkan data satelit yang disebut oleh Perdana Menteri pada 24 Mac yang lalu  perlu dibincang berdasarkan adakah data tersebut layak untuk menjadi bukti bagi mengesahkan kematian mereka yang hilang (anak kapal dan penumpang) dan bukan mengenai tempoh menunggu yang munasabah bagi al-Mafqud. Salah dalam memahami titik perbincangan yang sebenar akan melahirkan keputusan atau pandangan yang salah.

4. Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan tidak perlu untuk melakukan solat jenazah ghaib pada waktu ini kerana pada penilaian mereka, situasi penumpang dan anak kapal adalah masih mafqud (hilang) iaitu hukumnya diiktiraf masih hidup. Solat jenazah hanyalah pada mereka yang diyakini (pasti) sudah mati.

5. Peletakkan tempoh menunggu oleh ulamak terdahulu adalah berdasarkan pada ijtihad kerana tidak ada dalil khusus mengenai waktu menunggu dan situasi di zaman tersebut yang tidak ada pada mereka teknologi seperti yang wujud hari ini. Maka boleh jadi tempoh menunggu pada zaman sekarang adalah lebih pendek berbanding zaman dahulu.

6. Dalam menentukan samada orang masih mafqud atau diiktiraf mati memerlukan kepada keputusan hakim, jadi dalam pengamalan Malaysia, hanya Mahkamah Syariah yang boleh menentukan kematian krew dan penumpang tersebut seperti termaktub dalam seksyen 54 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Ustaz Muhammad Firdaus Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker