Takut azab Allah jika tidak bertudung
Coretan yang terlalu ringkas ini, tidak bertujuan membalas apa yang diperkatakan oleh penerbit filem Raja Azmi, cuma rasa terpanggil untuk membetulkan cara berfikir seorang wanita muslim.
Kandungan Al-Quran banyak sekali menyebut tentang nikmat syurga dan azab neraka.
Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa setiap perintah Allah amat penting dalam kehidupan.
Seandainya soal menutup aurat ini dianggap remeh ,mengapa Allah secara jelas menyebut dalam Surah An-Nur:
“Wahai wanita yang beriman hendaklah kamu melabuhkan tudung kamu sehingga menutup dada-dada kamu…”
Mungkin ramai di kalangan kita dan termasuk anda, yang tidak sempat membaca bagaimana azab Allah ke atas wanita yang tidak menutup aurat.
Di akhir Surah An-Nur ada menyebut: “Bertaubatlah kamu…”
Seperkara lagi,sudahlah tidak menutup aurat ditambahkan lagi dengan rasa bangga tidak akur kepada arahan Allah.
Jangan kita bina helah diri dengan menuding jari mereka yang bertudung tetapi perangainya buruk.
Perangai buruk akan dapat azab, tidak bertudung pula akan menambah lagi azab, bahkan tidak menunaikan solat akan menambah lagi keperitan azab seksa.
Justeru saya merayu kepada semua wanita muslimah, ayuh kita berganding bahu memelihara “maruah kehormatan diri” dan pastinya keamanan, ketenangan diri dan masyarakat akan dikecapi.
Jauhilah dari menjadi insan yang lupa akan siapakah penciptanya yang sebenar.
Ini jelas kepada kita soal azab neraka dan nikmat syurga adalah di antara persoalan yang amat besar yang mesti dititikberatkan oleh umat Islam.
Ia bukan isu semasa tetapi agenda utama dalam kehidupan kita.
Ustazah Norakhilah Baharin
Ketua Wanita ISMA Seri Iskandar