Wanita pencorak generasi hadapan
Tidak hilang dari kebijaksanaan wanita Islam bahawa tanggungjawab ibu dalam mendidik anak-anak dan membina keperibadian mereka adalah lebih besar daripada tanggungjawab bapa. Ini adalah kerana anak-anak lebih rapat dengan ibu mereka dan kebanyakan waktu mereka dihabiskan bersamanya. Di samping itu, pengetahuan ibu yang mendalam tentang semua keadaan dan pergerakan mereka, semenjak waktu dia membesar dan remaja yang amat penting dalam kehidupan anak-anak dari sudut akal, perasaan dan keperibadian.
Oleh itu wanita yang sedar dan mengetahui petunjuk dari agamanya, memperakui risalah pendidikan untuk dirinya dalam kehidupan bagi mendidik anak-anaknya sebagai generasi di masa akan datang.
“Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap orang daripada kamu akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya. Suami adalah pemimpin dipimpinnya. Wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan dia akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya, dan setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang orang yang dipimpinnya.” (Muttafaq ‘Alaihi)
Ini bererti kedua ibu bapa dijadikan bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka, khususnya ibu dengan pendidikan Islam yang teratur, membesarkan mereka dalam suasana pembesaran yang solehah yang berdiri di atas asas-asas akhlak mulia yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.
Wanita Islam yang telah menyedari tanggungjawab mendidik anak-anaknya sepanjang zaman, mahir dalam membentuk lelaki sejati, memberi kesan terhadap mereka sampai ke hati mereka dan menanam nilai-nilai mulia dalam jiwa mereka. Tidak ada yang lebih membuktikan perkara ini daripada wanita yang bijaksana dan unggul daripada kalangan mereka yang melahirkan dan mendidik anak-anak, bahawa mereka adalah lebih unggul, lebih mulia serta lebih utama daripada anak-anak lelaki yang bijaksana dan unggul ini. Hinggakan kita tidak akan mendapati seorang tokoh daripada tokoh-tokoh umat kita yang telah berjaya melalui kesusahan kehidupan, redha dengan kesulitannya, tunduk kepada kelelakian mereka segala punca masalah melainkan kita akan mendapati mereka ini berhutang dengan ibu mereka yang agung.
Lihatlah Abdullah, Al-Munzir dan Urwah anak-anak Al-Zubair merupakan hasil semaian ibu mereka Asma’ binti Abu Bakar. Setiap orang daripada mereka mempunyai kesan yang kekal dan kedudukan yang terpuji.
Ali bin Abi Talib r.a. mempelajari hikmah, keutamaan dan akhlak yang mulia daripada ibunya yang dipenuhi hikmah dan keperibadian yang unggul iaitu Fatimah binti Asad.
Sejarah juga telah mengabadikan dua orang tokoh lelaki daripada Bani Umayyah di mana yang pertama dikenali dengan kekuasaan, keupayaan, akal, hikmah dan ketegasan. Manakala yang keduanya teah menggariskan budaya adil, kebaikan, pembaikan dan ketakwaan. Kedua-duanya merupakan hasil didikan wanita bijaksana lagi agung.
Pertama ialah Abdul Malik bin Marwan dan ibunya adalah Aisyah binti Al-Mughirah bin Abu Al-Ash bin Umayyah yang terkenal dengan kekuatan peribadi, keazaman yang kukuh dan hati waja.
Kedua ialah Umar bin Abdul Aziz r.a, Khulafa’ Al-Rasyidin yang kelima dan ibunya ialah Ummu Ashim bin Ashim bin Umar bin Al-Khattab yang merupakan wanita yang paling mulia lagi sempurna akhlaknya pada zamannya. Ibunya diambil oleh Umar sebagai isteri anaknya Ashim apabila beliau melihat sifat benar menjasadi dirinya dan istiqamah yang praktikal padanya, pada hari dia tidak redha untuk mencampuri susu dengan air sebagaimana diminta oleh ibunya kerana Allah sedang melihatnya.
Apabila kita menyelidiki sejarah keagungan kesemua lelaki ini, kita akan menemui seorang wanita dan ibu yang agung yang telah mengetahui bagaimana menanamkan keazaman, keagungan dan semangat yang besar kepadanya.
Di dalam sejarah kita terdapat ramai lagi wanita bijaksana yang menyemai ke dalam anak-anak mereka rahsia keunggulan, menghujamkan pada mereka akhlak yang agung, mereka berada di sebalik anak-anak pada kemuliaan yang mereka hasilkan, ketinggian akhlak yang mereka capai dan usha agung yang mereka bina. Maka kerana itu sangat jelaslah wanitalah yang sangat penting dalam mencorak setiap individu generasi masa hadapan. Dengan berkualitinya wanita zaman sekarang, maka akan berkualitilah juga mereka atau sebaliknya. Ayuh semua wanita bermirip-miriplah seperti mereka, wanita generasi Al-Quran yang unik.
Oleh:
Siti Nafisah bt Tajuddin
Aktivis ISMA