Pendapat

Menyingkap tabir pertubuhan Kristian di Malaysia

Umat Islam berhimpun di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober 2011 di majlis Himpunan Sejuta Umat sebagai usaha mempertahankan akidah umat Islam.
Umat Islam berhimpun di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober 2011 di majlis Himpunan Sejuta Umat sebagai usaha mempertahankan akidah umat Islam.

Apabila kita menyebut tentang kristianisasi, maka ia tidak boleh berpisah dengan golongan Evangelis. Persoalan pokoknya di sini, adakah kita memahami apakah yang dimaksudkan dengan kristianisasi dan Evangelis? Adakah benar ia sekadar mainan politik untuk menakut-nakutkan orang Islam di negara kita?

Kristianisasi secara umumnya membawa maksud proses mengajak seseorang kepada agama Kristian, ataupun mencairkan pegangan orang dan mengeluarkan mereka daripada agama asal tanpa perlu memeluk agama Kristian.

Samuel Zweimer, pengasas pertubuhan Kristian Amerika di Semenanjung Arab pernah berkata, “Sejarah telah membuktikan bahawa orang Islam tidak akan menjadi seorang Kristian yang hakiki akan tetapi matlamat kita adalah untuk mengeluarkan mereka daripada agama Islam supaya mereka menjadi Mulhid (tidak bertuhan) dan menjadi penentang kepada agama mereka sendiri.” Katanya lagi,“Sesungguhnya tujuan missionary Kristian ini adalah untuk menghapuskan Islam dan memperhambakan orang Islam.” Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai ‘Christian Missionary’ dan ia dipelopori oleh golongan Kristian yang lebih sinonim dengan gelaran Evangelis.

Dalam konteks Malaysia, kita boleh lihat mazhab-mazhab Kristian bersatu dalam satu pertubuhan. Di samping menjaga kebajikan penganut mereka, pertubuhan ini juga mempunyai agenda menyebarkan ajaran Kristian di seluruh Malaysia.

Antara persatuan yang bergerak aktif melakukan misi kristianisasi ini adalah National Evangelical Christian Fellowship Malaysia (NECF). NECF dianggotai oleh beberapa gereja di Malaysia dan mazhab mereka berorientasikan evangelical. NECF merupakan salah satu organisasi yang kuat menentang larangan penggunaan kalimah Allah dalam Bible Bahasa Melayu. NECF juga secara jelas menyatakan bahawa misi mereka adalah untuk menyebarkan fahaman Kristian.

Mereka sangat bersungguh-sungguh dalam menjayakan misi mereka. Antara perkara yang telah mereka lakukan adalah mewujudkan Suruhanjaya Evangelisme. Tugas suruhanjaya ini adalah untuk membantu gereja-gereja untuk menyusun strategi dan cara-cara melalui perundingan, penyelidikan dan dokumentasi maklumat yang berkaitan dengan misi mereka dan evangelisme. Mereka juga banyak melakukan kempen, antaranya adalah kempen Malaysia MyHome yang mengajak semua gereja di Malaysia untuk turun dan menyampaikan mesej Jesus. Hanya risalah yang berbahasa Melayu sahaja yang menggunakan kalimah Allah. Antara kempen kontroversi lain yang dianjurkan mereka adalah kempen Malaysian National Prayer Network (MNPN).

index

Selain itu, antara organisasi besar Kristian yang giat dalam usaha ini adalah Christian Federation of Malaysia(CFM). Persatuan ini tertubuh pada tahun 1986 dan berjaya menyatukan 40 mazhab gereja terbesar termasuk Roman Katolik. Antara organisasi yang berpayung di bawahnya termasuklah NECF yang berorientasikan Evangelical, Council Churches of Malaysia (CCM) yang mewakili Protestan dan Roman Catholic Church yang mewakili Katolik.

CFM dianggap unik kerana berjaya membawa Mazhab Katolik bersama mazhab lain. Antara resolusi perhimpunan CFM pada bulan Febuari 1987 adalah meramaikan ahli politik dari kalangan pemimpin Kristian. Mereka ini wujud dalam parti pembangkang mahupun parti pemerintah, bahkan ada di antara mereka menjawat jawatan menteri dalam kabinet. Selain itu, dalam sepucuk surat bertarikh 18 Julai 2012 yang ditulis oleh Bishop Datuk Ng Moon Hing, Pengerusi CFM menyeru supaya umat Kristian mengundi kerajaan yang akan membentuk sebuah negara di mana kebebasan agama merangkumi kebebasan untuk menganut, mengamal dan menyebarkan agama di mana ia dibenarkan berkembang tanpa sebarang pembatasan yang tidak wajar dari undang-undang, penegahan ataupun larangan. Ini bertentangan sama sekali dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia hari ini.

Council Churches of Malaysia (CCM) juga adalah satu badan organisasi yang bernaung di bawah CFM. CCM telah ditubuhkan sejak dari tahun 1948 dengan nama Malayan Christian Council (MCC). Ia menukar namanya kepada CCM pada tahun 1965. CCM dianggotai oleh lapan mazhab yang kebanyakannya mewakili mazhab Protestan. Mereka juga mempunyai visi yang sama dengan NECF. Antara perkara yang mereka lakukan adalah melakukan seminar dan bengkel untuk paderi samada dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin.

header_ccm

Daripada cebisan maklumat yang sedikit ini, kita dapat melihat betapa jeliknya perancangan musuh-musuh Allah dalam memastikan agama Allah lenyap di muka bumi ini. Pendedahan ini tidak termasuk berkaitan pertubuhan Kristian antarabangsa seperti International Christian Mission (ICM), Church of Latter-Day Saint (Mormon Church) dan banyak lagi yang mendapat dana daripada gerakan Kristian antarabangsa.

Sebagai orang Islam yang memahami hakikat ini, seharusnya kita menginsafi keadaan orang Melayu Islam yang berpecah-belah hanya kerana perbezaan ideologi politik, sedangkan mereka mampu bersatu walaupun berlainan mazhab.

Mohamed Izzat Syafiq Mohd Nasir
Kuliyyah Usuluddin, Universiti Al-Bayt

Unit Kajian Kristianisasi ISMA Jordan

Menyingkap tabir pertubuhan kristian di Malaysia


Sumber rujukan :
1- http://www.necf.org.my/
2- http://ccmalaysia.org/
3- http://www.anwaraidc.com/?p=26425
4- http://helenang.wordpress.com/2012/07/26/pesanan-persekutuan-kristian-msia-kepada-gereja-gereja-berhubung-pru/
5- http://eemalaysia.net/
6- http://helenang.wordpress.com/2012/10/28/biskop-evangelis-bersabit-doa-kalimah-allah/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Selagi kumat Islam berpegang kukuh pada al-Quran dan Hadis, insya-Allah Islam akan sentiasa menang. Yang benar dan yang batil – yang batil pasti kecundang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker