Siapa sebenarnya musuh perlembagaan?
YB Gobind Singh Deo wakil rakyat DAP dalam sebuah berita baru-baru ini telah bertindak dangkal dengan menuduh perjuangan yang ISMA laungkan adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Tuduhan tersebut boleh saya istilahkan seperti dalam pepatah Melayu yang menyebut “mengata dulang paku serpih, mengata orang dia lebih”.
Tuduhan yang dilakukan dengan tujuan untuk menutup segala tindakan biadap serta tidak hormat mereka terhadap Perlembagaan Persekutuan selama ini yang sudah dimaklumi oleh semua pihak. Tindakan ini tiada bezanya dengan pendirian mereka terhadap Akta Hasutan yang mereka tuntut dikenakan ke atas ISMA sedangkan selama ini merekalah penentang kuat kepada akta itu.
Mengistilahkan DAP sebagai penentang kepada Perlembagaan Persekutuan bukanlah suatu perkara yang susah dan payah kerana perjuangan mereka sendiri pada asasnya tidak akan berjaya dengan sempurna melainkan berlakunya pindaan terhadap banyak perkara asasi di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antara seruan mereka yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan ialah :
- DAP konsisten menuntut hapuskan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam perkara 153 Perlemabagaan Persekutuan. Seruan ke arah penghapusan hak ini jelas dan konsisten sejak dari dahulu lagi, bahkan dalam laman sesawang rasmi DAP ada disebut antara polisi parti adalah : Penghapusan pembahagian antara “bumiputera” dan “bukan bumiputera” dan pelaksanaan kesaksamaan etnik.
- DAP konsisten memperlekeh insitusi diraja dalam banyak perkara antaranya seperti menyatakan titah Yang di-Pertuan Agong tidak terpakai terhadap bukan Islam sedangkan dalam perkara 32 di dalam Perlembagaan Persekutuan menyebut Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara. Secara jelas ini memberi maksud bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua terhadap seluruh rakyat Malaysia dan bukannya khusus untuk rakyat yang beragama Islam sahaja.
- DAP konsisten berulang kali menyebut bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaan sekular sedangkan jika kita lihat di dalam perlembagaan tidak pernah disebut perkataan sekular walaupun sekali. Adapun perkataan Islam itu secara jelas disebut dalam banyak perkara bahkan disebut di bahagian awal perlembagaan iaitu Perkara 3 bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan.
Cukuplah penentangan DAP terhadap tiga perkara tunjang dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam, Melayu dan Raja (IMR) manjadi lambang permusuhan mereka terhadap perlembagaan. Misi dan perjuangan DAP pada hakikatnya adalah ingin merubah dan meminda Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada. Misi DAP tidak akan berjaya melainkan dihapuskan 3 perkara tunjang Perlembagaan Persekutuan tersebut.
Adapun ISMA meletakkan perjuangan Islam dan Melayu sejajar dengan kedudukan kedua perkara tersebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan Islam mengikut perlembagaan yang dipegang ISMA adalah seperti mana yang ditafsirkan oleh Hakim Mohd Noor Abdullah dalam kes Meor Atiqulrahman v Fatimah Sihi and others (2000):
Islam ialah ugama bagi persekutuan tapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di negara seperti Kristian, Buddha, Hindu. Islam bukan setaraf dengan ugama lain. bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh, dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah ugama bagi persekutuan, tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di wilayah ini, dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan mana-mana ugama yang dianuti. Tiada lebih di antara satu sama lain.”
Kedudukan Melayu pula ISMA lihat seperti mana yang disebut dalam perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu :
“Orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu.”
Jadi, antara DAP dan ISMA, siapakah yang sebenarnya sedang bersungguh-sungguh mempertahankannya? Dan siapa pula yang hidup dengan tujuan hanya untuk mengubah prinsip-prinsip perlembagaan negara kita?
Ustaz Muhammad Firdaus Zalani
Aktivis ISMA
Jom sepakat demi kedaulatan islam yg tercinta. Saya sokong isma.
Kalau kita sudah tahu musuh kita, kita harus bertindak…Kadang-kadang terlampau banyak bercakap musuh kita akan menganggap kita seperti anjing menyalak bukit..Apa lagi bangsa melayu rapatkan barisan dan tentang mereka habis-habisan sebelum kita berputih mata..Ini peluang terakhir kita.