Bismillah,
Saudara-saudaraku yang dikasihi Allah,
Saya mengikuti segala perbincangan di media sosial, perkongsian idea beserta latihan amali kalian jalankan di medan dakwah di Malaysia.
MashaaAlah! Sahabat-sahabat ahli ISMA dan Pembina cukup hebat dalam bekerja. Sentiasa berusaha untuk membumikan fikrah kita. Saya cukup segan dan cemburu dengan kalian yang berada di medan sekarang! Allah Taala memilih kalian untuk bergerak pada saat ini.
Sekadar perkongsian dan peringatan dari jauh agar saudaraku semua sentiasa mengingati peringatan Umar Al-Khattab ketika sebelum peperangan di mana beliau tidak takut kepada kekuatan musuh, akan tetapi beliau amat takuti dosa-dosa pejuang agama itu sendiri. Begitu juga Solahuddin Al-Ayyubi sebelum melakukan serangan kepada musuh pada hari esok, pada malamnya itu beliau melihat tentera-tenteranya yang bangun qiamullail bermunajat kepada Allah.
Perjuangan itu berat dan Allah Taala sendiri yang memenangkannya samada adanya kita atau pun tidak. Tapisan Allah pada pejuangNya sedang berjalan. Allah Taala melihat hati hamba-hambaNya ketika hambaNya itu memulakan langkah dalam setiap amal. Adakah ia kerana Allah atau pun kerana nafsu.
Kata-kata pejuang Islam Muhannad At-Tahir bergema di telinga ketika ini:
“الإسلام عظيم لا يحمله إلا العظماء”
Islam itu agung, tidak mampu dipikul kecuali orang-orang yang agung!”
Jadilah kita sebagai manusia agung yang sentiasa hatinya terpaut pada Allah Taala dalam setiap amalan.
Tambahkan tadabbur Al-Quran, bangunlah malam, basahkan lidah sntiasa dengan zikrullah, lamakan sujud dan mintalah kekuatan dari Allah, hidupkan amalan bersedekah di jalan Allah, jauhilah dosa-dosa kecil yang sering dilakukan apatah lagi dosa besar!
Ingat,
Kita telah berjanji pada Allah untuk bergerak dan pada saat ini kita perlu menjadi manusia yang paling dekat dengan Allah ( المقربون)
Ketika Ibn Shihab Azzuhri menyebut:
حسنات الأبرار سيئات المقربي
“Kebaikan orang kebanyakan adalah merupakan kesalahan (dosa) bagi golongan yg dekat (dengan Allah).”
Ya, hubungan dengan Allah perlu dipertingkatkan selari dengan amal dakwah kita. Jika tidak, percayalah saudara kita akan semput dan akhirnya ‘mati’.
Bergeraklah dengan niat yang satu tanpa dicampuri dasar nafsu!
Hiduplah sebagai pendekar sejati! Muliamu kerana Allah di sisi!
Tulus ikhlas dr saudara kerdil,
Syed Salahuddin Syed Ayob
Kaherah, Mesir
Aktivis ISMA
Tanya hati kecil kita adakah perjuangan ini salah? Kalau tidak salah teruskan. Allah akan memberkati kita