Pendapat

Mengarusperdanakan agenda perjuangan Islam

logo isma
Iktibar MH370

Saya masih ternanti-nanti khabar pesawat MH370 yang masih kehilangan sejak lebih dua bulan yang lalu. Masih boleh membayangkan wajah murung, sedih dan dukacita ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang sentiasa mendambakan kepulangan mereka. Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya menyaksikan bagaimana tragedi ini menyatukan kita dan menjadikan kita rakyat yang bersyukur kerana punyai jiran tetangga dan rakan rakyat jelata yang berkongsi perasaan rindu dan hiba.

Namun, apakah kita mahu menanti tragedi barulah kita mahu sedar dan bersatu?

Kemudian, selang beberapa hari (atau minggu) berduyun-duyun laporan mengenai insiden-insiden melibatkan pesawat MAS, ada yang dilanggar itik (MH114), ada yang berpatah balik (MH192) dan baru-baru ini terdapat pula insiden pesawat MAS dilanggar kereta. Saya memerhati bahawa fenomena laporan insiden pesawat semakin banyak, semakin hangat, semakin menjadi ‘headline’ dan mendapat perhatian.

Saya tidak terkejut. Kerana itu adalah sifat media massa, dan sememangnya itulah tugas mereka. Mencari berita hangat, tema atau topik yang berpotensi menjadi sensasi, dan sudah pasti akan ramai yang menjadi saksi. Oleh kerana itu sesiapa sahaja boleh melihat kitaran yang berlaku dalam dunia media massa kerana mereka akan membuat laporan berdasarkan ‘trend’ dan ‘tendency’. Setiap topik atau cerita ada naik turunnya.

Seruan yang terpinggir

Sedari saat Nabi diutuskan untuk menyebar risalah, sedari itulah bermulanya tanggungjawab menyampaikan seruan Islam. Bagaimana Nabi bermula sendirian sehinggalah Islam menguasai dua pertiga dunia, seruan itu sentiasa ada, segar, membara dan tidak ada titik noktah. Baik di bibir, tingkah laku, minda, jiwa, perasaan, anggota badan sekalipun, semuanya berkisar tentang membawa seruan, menyempurnakan tuntutan dan menyampaikan mesej ke seluruh alam.

Ia tidak pernah berakhir. Namun hari ini masyarakat Islam sendiri yang secara tidak sedar bahkan bertujuan mengakhirinya dan menggantikan dengan semboyan baru, kibaran risalah baru, dukungan qaedah sulbah baru, bahkan asing dari asolah, intipati dan hala tuju perjuangan yang dibawa Nabi suatu ketika dahulu. Umat Islam bergelumang dalam dimensi media massa, tanpa mengerti maksud sebenar membawa risalah. Seruan Islam naik turun, tenggelam timbul, tidak padu, tidak membara lalu kian hilang dalam kepekatan agenda liberalisme, sekularisme, dan seperti yang dikatakan oleh Datuk Seri Najib, human right-isme.

ISMA dan Islam selamanya

Saya berpuas hati kerana bersama dengan ISMA yang semakin hari semakin saya yakin dan percaya kewajaran dan kemapanan agendanya. Ahli-ahlinya menyedari hakikat mengibar risalah, membawa dan memasak panji supaya masyarakat secara amnya dapat mengenal pasti intipati, seruan dan neraca perjuangan yang dibawa.

Islam itu benar, dan selain Islam itu adalah batil. Satu slogan mudah yang mengalir di setiap salur darah, dihela dalam setiap nafas, dibicara dalam segenap kata, bahkan dilaung dengan lantang sehingga menempelak musuh-musuh agama, itulah yang dipercaya dan dibawa ahli-ahli ISMA.

Dalam setiap pertemuan peribadi, dalam setiap program umum, dalam setiap saluran media persendirian, bahkan apabila berdepan dengan kumpulan penentang, ISMA dan ahli-ahlinya tidak pernah menarik balik kenyataan atau pendirian yang telah disampaikan. Lahir dari neraca Islam dan untuk kepentingan agama, setiap daripadanya adalah picisan fikrah, cetusan ilmiah dan analisa semasa berdasarkan prinsip asas, ruang untuk berlapang dada dan garis pemisah yang cukup ketara. Kesemuanya dimeterai dengan teliti, tanpa berbelah bahagi, tanpa kompromi.

Kerana Nabi tidak berdiri di bukit Safa dan berpidato untuk berurus niaga, tetapi untuk melaksanakan amanah Allah, walau pedang di hunus di kepala.

Membenih sinar harapan

Tiada daya mengubah dunia, andai jiwa masih kontang dari cinta dan cita. Agama ini adalah untuk dicintai dengan keindahannya, namun agama ini juga boleh menyabung nyawa, seperi mana kita telah menjadi saksi kesengsaraan dan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di seluruh dunia.

Apabila Nabi berdoa agar dikurniakan salah seorang lelaki antara Saidina Umar dan Abu Jahal, yang akan menjadi pejuang risalah dan pendukung agama, ia melahirkan satu ibrah yang bermakna.

Kita tidak akan pernah mampu mensejahterakan agama mengikut cara dan kehendak manusia. Apatah lagi membawa Islam sinonim dengan hak asasi manusia. Nabi tidak meminta agar dikurniakan kedua-duanya supaya Islam berlipat ganda hebat dan berkuasa, namun Nabi menyedari dengan hikmah yang diberi Allah bahawa urusan agama ini tidak selalunya indah.

Di sana akan sentiasa ada musuh yang merencana kejatuhannya, mengenggelamkan kedaulatannya dan menimbuskan umatnya dengan hedonisme dan pemikiran liar berleluasa. Kerana Allah mentakdirkan Abu Jahal untuk menjadi ketua panglima kaum Musyrikin tatkala Badar menjadi saksi pertempuran antara Nabi dan bapa saudaranya.

Dengan itu, apa cinta dan cita kita? Tertunduk malu di dunia yang menjadi penjara bagi mereka yang tidak beriman, atau merasa izzah dengan risalah yang pernah dipikul Nabi? Tersorok takut sedangkan mati itu pasti, atau lantang bersuara dengan kelunakan agama?

Ayuh bersama ISMA.

Danial Ariff Shaari
Aktivis ISMA
Bachelor of Laws (LLB)
The University of Adelaide
Australia

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker