Menjawab kekeliruan ‘Li-Taarafu The Sequel’
Berikut respon awal saya terhadap artikel Prof Rozhan Othman bertajuk ‘Li-Taarafu The Sequel’ yang disiarkan The Malaysian Insider pada 26 Mei 2014:
1. Isu assabiyah yang diterangkan Ibnu Khaldun bukan semata-mata konsep yang terikat dengan apa-apa bentuk sistem. Bagi saya ia adalah penerangan mengenai sunnatullah dalam kestabilan kerajaan, dan lebih kepada faktor dokongan masyarakat terhadap sesebuah kepimpinan yang mendapat mandat daripada majoriti rakyatnya. Mengikat suatu formula hanya semata-mata dengan keadaan tertentu tanpa mengambilkira relevansinya pada keadaan lain adalah tidak tepat.
2. Isu assabiyah bukanlah paksi perjuangan risalah Islam seperti yang didakwa – dakwa yang saya fahami secara jelas beliau memaksudkan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Ia adalah pendirian bersifat politik yang menjamin kestabilan dan ketenteraman awam dalam membina sesebuah pemerintahan. Ia juga pandangan berdasarkan kepada kitab-kitab Siyasah Syar’iyyah karangan Al-Juwaini dan yang sewaktu dengannya dalam perbahasan ‘syaukah’ yang menjadi asas kepada keabsahan pemimpin.
3. Isu ini juga tidak harus dipandang secara tersendiri dan mengabaikan kata-kata ulamak lain dalam membincangkan isu Quraisy ini. Rujuk pandangan Al-Juwaini dalam perihal ‘bila baiah dianggap sah?’. Di sini beliau menerangkan sesiapa sahaja yang punyai ‘syaukah’ (kekuatan dokongan yang mampu membawa kestabilan yakni dalam erti kata mampu melawan sebarang pemberontakan ke atasnya), walaupun yang berbaiah padanya hanyalah seorang (isu Abu Bakar RA yang dibaiah oleh Umar Al-Khattab pada mulanya). Sedangkan ulamak lain ada yang mensyaratkan bilangan tertentu dalam pengesahan baiah seperti 40 orang, 4 orang, atau 3 orang.
4. Zaman Rasulullah SAW dan para sahabat lagi isu syaukah sudah diambil kira. Tiada pula ketika itu sistem monarki ataupun kerajaan beraja yang sudah muncul dalam era pemerintahan Islam?
5. Saya cadangkan Prof Rozhan Othman untuk berfikir secara objektif dan membezakan kerangka perbincangan di antara konsep dakwah dan konsep politik. Konsep dakwah lebih mencapah dan meluas, capaiannya kesemua kaum dan puak, termasuk semua agama lain. Namun dalam berdakwah di sana ada pertimbangan-pertimbangan lain yang bersifat politikal untuk memastikan dakwah mencapai matlamatnya tertinggi selari dengan tujuannya.
6. Mengenai isu hadis-hadis asabiyah yang dihuraikan juga tidak kena pada konteks yang dimaksudkan. Kisah sahabat seperti Bilal bin Rabbah RA bukanlah konteks perbincangan asal. Tiada siapa-siapa (muslim yang sahih akidah dan kefahamannya) mendakwa sesetengah kaum lebih mulia dan suci daripada kaum yang lain hanya semata-mata kerana kulit dan keturunannya. Kesesuaian dan kemunasabahan menjadi pemimpin utama tidak bermakna dia lebih awal masuk syurga dan lebih dicintai oleh Allah SWT. Isu ini harus dilihat secara objektif. Orang yang sesuai menjadi PM tidak semestinya dia paling sesuai masuk Syurga Firdaus. Kalau begitu maksudnya PM ramalan pihak Pakatan Rakyat iaitu DS Anwar Ibrahim akan dikira masuk lebih awal ke syurga berbanding Presiden PAS ‘TG Haji Hadi’ dan Presiden IKRAM ‘Dr Parid Syeikh Ahmad’ itu sendiri. Itu adalah sifir yang songsang.
7. Dalam melihat secara objektif, saya suka ambil kata-kata seorang muhaddith apabila dia mahu menerima atau menolak sesebuah hadis daripada seseorang ; beliau berkata : “Boleh jadi orang ini lebih dimakbulkan doanya di sisi Allah SWT namun aku tidak menerima hadis daripadanya”. Jelas melihat bagaimana beliau mengklasifikasikan konteks perbincangan dan isu yang dimaksudkan. Bukan semata-mata menggunakan kaedah generalisasi seperti kaedah ABU dan seumpamanya yang merosakkan cara berfikir rakyat dan membodohkan mereka.
8. Isu ciri-ciri pemimpin yang disebutkan dalam Al-Quran seperti Al-Quwwah dan Al-Amanah itu juga tidak harus dilihat secara bersendiri. Ia wajib dilihat secara gabungan iaitu mesti Muslim, tidak fasiq, tidak mengambil Yahudi dan Kristian sebagai teman rapat, tidak bersekongkol dengan pihak kuffar yang ingin mencelarukan umat Islam serta tiada syubhat persekongkolan dengan agenda-agenda jahat mereka. Agar tujuan kepimpinan Islam itu dapat dicapai.
9. Al-Quwwah juga boleh dimaksudkan dengan dokongan kaum sepertimana yang disebut oleh Nabi Lut AS ketika dikepung oleh kaumnya ; “Beliau mengatakan : Alangkah baiknya sekiranya aku ada kekuatan yang boleh menolak bencana kamu (wahai kaumku) ataupun aku meminta pertolongan daripada sudut yang kukuh (rukn syadid)”. Sebahagian ulamak tafsir seperti Abu Jaafar At-Tabari menafsirkan maksud ‘sudut yang kukuh’ itu adalah dokongan kaumnya yang boleh melindunginya daripada ditimpa bencana kaumnya. Ada juga yang mengatakan ia bermaksud Allah SWT.
10. Siapa kata Rasulullah tidak menyokong dokongan kaum? Ada satu hadis riwayat Bukhari dan Tirmidzi selepas ayat itu diturunkan yang membawa maksud “Moga Allah merahmati Lut, beliau telah meminta perlindungan kepada sudut yang kukuh (dua-dua maksud sesuai). Selepas kisah Nabi Lut, Allah tidak mengutuskan suatu nabi pun melainkan dia mempunyai ‘man3ah’ (dokongan) daripada kaumnya”
11. Isu pendirian perkauman ini saya kira lebih jelas diungkapkan oleh Al-Banna dalam Majmuat Rasail, boleh buka Risalah Dakwah Kita di Era Baru, Risalah Muktamar Kelima dan Risalah Menuju Cahaya. Di ketiga-tiga risalah ini jelas menunjukkan pendiriannya berhadapan dengan isu asabiyah. Lebih-lebih lagi Prof Rozhan adalah ahli IKRAM yang pastinya sudah masak dengan pemikiran dan penulisan beliau.
12. Sebagai tambahan juga, saya cadangkan untuk Prof Rozhan Othman buka buku Al-Masar karangan Abu Ammar dalam bab Fiqh Istifa’ (bab ke-9) dalam mensyarahkan mengenai strategi dalam memilih anasir-anasir pendokong dakwah. Moga ia mampu mencerahkan lagi bagaimana agenda pihak yang didakwa memperjuangkan asabiyah ini merangka perjalanan dakwah dan memimpin umat.
13. Akhir sekali saya ingin bertanya soalan, adakah konsep Li-Taarafu ini jika diaplikasi di Malaysia dalam konsep politik, akan menjadikan PM diharuskan dilantik dari kalangan orang Cina dan India tidak kira agama? Atau yang lebih spesifik, apakah dia tasawwur negara Islam dalam kerangka pemikiran Prof Rozhan Othman? Adakah negara berbilang bangsa yang menghapuskan hak istimewa bumiputera dan membawa konsep meritokrasi serta meleburkan segala pengkategorian bangsa yang ada serta menuju konsep Malaysian Malaysia seperti yang dibawa oleh Lee Kuan Yew suatu ketika dahulu?
Moga menjawab beberapa kekeliruan.
Ustaz Syamil Esa
Aktivis ISMA
Pelajar Master Universiti Al-Azhar
Demi Allah. Selamanya saya tidak akan setuju ketua Negara ini (PM) dan timbalan PM disandang olih orang bukan berugama Islam. Apa yang saya faham Negara Islam ini hanya dipimpin olih orang2 berugama islam sahaja.